Tuesday, March 18, 2014

Kami dan Alleycats

Rock N Roll tidak sampai ke corong radio Malaysia biarpun dunia pada 70-80an bergegar dengan irama itu. Radio kita masih mainkan lagu-lagu pop. Band seperti Sweet Charity, The Unwanted, Black Dog Bone pun kita hanya tahu lagu cinta mereka. Masa itu band-band kelab seperti Flybaits, Carefree, Steps, Headwind, Freedom, Gingerbread, Sweet September dan lain-lain sangat popular.

Alleycats istimewa. Walaupun sudah punyai album tetapi Alleycats popular apabila lagu Senandung Semalam yang dibawa peserta pertandingan Bintang RTM iaitu Jamal Abdillah menjadi juara pada tahun 1979. Alleycats terasa dekat di hati kami kerana ia merakam peristiwa ketika itu. Apabila memutarkan kembali lagu-lagu lama Alleycats terasa hati ditusuk sayu. Bukanlah lagu Sekuntum mawar merah sebuah puisi, Kerana, Sekiranya kutahu, Cinta sambal belacan, Rayuan di puncak Genting dan puluhan lagu lain itu ada kena mengena dengan percintaan kami. Kami masih di sekolah rendah waktu itu. Bercinta pun tak pandai. Tetapi lagu-lagu itu merakam apa kami lalui ketika itu.

Mendengar Hingga Akhir Nanti mengingatkan kami yang baru berpindah ke rumah kos rendah tetapi belum dimasuki elektrik. Dengan bateri 'Eveready' besar enam biji, radio jiran kami memasang lagu itu. Kami yang masih di sekolah rendah terbahak-bahak mendengar bait "Cinta itu boleh diumpamakan bagai makan sambal belacan, kalau pedas hingga mengalir air mata tapi masih dimakan jua". Kami juga pelik dengar lagu Suatu Hari di Taman Haiwan. Mengapa ada rangkap "Burung-burung berkicauan mengibarkan sesayapnya pabila sang kancil merayu kepada kekasihnya, harimau cemburu kerna kesepian lalu ia meraung, si monyet bertempiaran". Tak faham tetapi terhibur dengan rangkap seterusnya " manusia melihat telatah si beruk yang sedang berdansa atau mungkin si beruk yang tertawa melihat ragam manusia".

Lagu Alleycats ada cinta, kritik sosial dan lagu rakyat. Irama joget, zapin, keroncong juga diadun dengan gaya tersendiri.

Di tangan penerbit Eric Yeo dan lagu gubahan M.Nasir dan lirik S.Amin Shahab dan komposer lain, lagu Alleycats malar segar (evergreen). Suara David Arumugam unik, mendayu boleh, serak ala rock boleh dan lunak. Suara Loganathan juga memikat. Ketika majalah hiburan sibuk menayang foto artis cun, seksi dan kacak, dua lelaki India berambut afro tonggak Alleycats menjadi ikon. Mereka menolak mitos yang comel sahaja boleh masyhur. Alleycats meruntuh tembok perkauman. Tiada prejudis perkauman apabila mendengar dan menonton Alleycats. Kesinambungan semangat muhibbah rakyat Malaysia melayan lagu Melayu dengan jujur berterusan berikutan muncul lagi penyanyi bukan Melayu seperti Royston Sta Maria dan Francisca Peter, Moses dan Chris Vadham, Ben Nathan, trio Kenny, Remy dan Martin.

Muzik dan lagu Melayu menyatukan kaum di Malaysia. Band-band pelbagai bangsa seperti Headwind, Freedom, The Revolvers sudah lama ada. Mendengar lagu kita tak perlu fikir fasal warna kulit, kepercayaan agama yang selalu dibakar. Alleycats dianggotai bukan Melayu tetapi masyhur ternama menyanyikan lagu Bahasa Kebangsaan. Alleycats seperti cermin wajah anak Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

Sangat-sangat bersetuju segalanya tentang Alleycats.

Anonymous said...

terima kaseyyyyy