Baru-baru ini
Muhyiddin Yassin yang entah mengapa masih tidak cukup dengan jawatan
Timbalan Perdana Menteri tetapi mahu terus jadi Menteri Pelajaran
mengatakan sistem pendidikan kita lebih baik dari Amerika Syarikat,
Britain atau Jerman. Kita perlu menyambut kenyataan ini penuh seronok
apatah lagi keputusan Sijil Perguruan Malaysia (SPM) sudah pun diumumkan
minggu lepas dan seperti biasa, wajah-wajah sukses akan disiarkan di
kaca televisyen dan akhbar tentang kehebatan pencapaian mereka.
Kecohlah
sekolah dengan naik turun peratusan pencapaian pelajar, gred purata
serta itu ini. Guru-guru kelam-kabutlah menyiapkan laporan jika subjek
yang mereka ajar jatuh prestasinya. Akan dihempapkanlah segala
kesalahan kepada mereka. Jika peratus lulus sesebuah sekolah meningkat
maka akan naiklah nama pengetua, sekolah dan guru-guru sekaligus menjadi
batu loncatan kenaikan pangkat atau jawatan.Nanti dulu! Itu sahajakah yang difikirkan dalam sistem pendidikan kita? Statistik, angka atau gred sahajakah? Bagaimana dengan Falsafah Pendidikan Nasional yang objektifnya untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI)? Apakah sekadar menjadi hiasan mural di dinding sekolah atau maktab sahaja? Jika seseorang pelajar mendapat 8A apakah itu petanda cemerlang tahap keintelektualan mereka? Bagaimana jika pelajar ini sekadar menghafal fakta ataupun menyeludup masuk nota kecil (biasanya ini dipanggil membawa toyol) ke dalam dewan peperiksaan untuk ditiru? Apa pula skala hendak digunakan bagi mengukur kecemerlangan emosi, rohani dan jasmani?
Inilah
padahnya apabila sistem pendidikan juga dipolitikkan dengan tujuan
untuk mencari nama. Apabila bertukar sahaja seseorang ketua atau
menteri maka akan berubahlah sesuatu dasar sedangkan dasar yang lama
belum pun dapat dilihat kejayaannya. Ikut kepala sahaja. Sekejap PPSMI
sekejap mansuh. Sekejap aliran vokasional kemudian bertukar ke aliran
teknik. Lepas itu berpatah semula menjadi vokasional. Tidak sampai
tiga tahun diubah lagi. Yang menjadi mangsa eksperimen tidak berfaedah
ini adalah pelajar.Dasar tidak konsisten ini dicacamerbakan lagi di peringkat sekolah apabila pengetua dan guru-guru menjadikan peratusan sebagai matlamat pengajaran. Selain strategi untuk memajukan semua pelajar ada juga strategi "menyusun" pelajar di mana tumpuan sepenuhnya diberikan kepada pelajar-pelajar yang berpotensi mengharumkan nama sekolah. Yang kurang berpotensi, kuranglah perhatiannya. Hendak mendidik mereka menjadi seorang insan yang berprinsip, jati diri, mampu berfikiran kreatif dan kritis serta bertindak matang-tiada masa. Beban tugas terlalu banyak.
Pelajar-pelajar
yang keciciran akan terus tercicir. Ibu bapa yang mampu boleh
kemudiannya menghantar anak-anak yang kurang berjaya ini ke pusat
pengajian swasta. Asalkan ada duit. Pusat pengajian swasta berlambak
di pasaran meniagakan sekeping kertas dipanggil sijil. Yang tidak mampu
terus masuk ke alam pekerjaan, makan gaji. Selamat! Hanya sedikit
yang berbakat berjaya menempuh hidup dengan berani tanpa mengikut arus
perdana.Pelajar-pelajar yang berjaya telah diskripkan oleh sistem pendidikan kita untuk melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti. Disuruh mereka belajar dan mencari sekeping kertas bergulung bernama ijazah. Beri mereka PTPTN untuk beli telefon bimbit, motorsikal atau apa-apa dan ikat mereka dengan AUKU. (Sayugia disebutkan ada juga penuntut IPTA dan IPTS tidak tahu kewujudan AUKU dan apa tujuannya). Ini kerana generasi ini telah dizombikan oleh sistem pendidikan kita yang didalangi orang politik, bukan hendak memajukan bangsa, negara dan agama tetapi untuk kepentingan sendiri sehingga generasi rosak berkecai. Menjadi robot sekurang-kurangnya masih boleh bekerja mengikut apa yang diprogram, tetapi menjadi zombi langsung tidak berguna malah tambah merosakkan.
Kata orang Cina "Nang Bu Ti Nang, Kui Mu Ti Kui
- Orang Bukan Orang, Hantu Bukan Hantu". Teruskanlah berpolitik.
Marilah kita berbangga mempunyai seorang Menteri Pelajaran yang juga
menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri dengan pencapaian pelajar yang
ramai memperolehi A sebagaimana ramainya pelajar kita yang suka
ponteng, buli pelajar lain, memukul guru, melibatkan diri di dalam
gangsterisme, buang anak, lari dari rumah, dadah dan seribu satu masalah
lagi.
*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis dan kartunis, juga pengasas Kempen Hope2walk.
No comments:
Post a Comment