Jika bercakap soal demokrasi, ya benar sesiapa sahaja ahli (anggota) Parti Keadilan Rakyat yang memenuhi syarat layak bertanding. Sama ada Wan Azizah, Anwar Ibrahim atau Nurul Izzah boleh bertanding kerusi presiden. Atau Razali dari Gombak pun. Tetapi seperti apa yang dipanggil KajangMove baru-baru ini yang menyaksikan Pilihanraya Kecil N25 Kajang berkesudahan dengan Wan Azizah menang, ia tetap ada semacam kelucuan dan tidak kena. Ya! Kalau hendak dicari lawaknya maka jadilah lawak. Jika hendak ditegakkan teori-teori demokrasi memang tiada apa salahnya. Seperti kita lihat KajangMove yang tenggelam lalu hilang punca apabila Wan Azizah muncul mengambil tempat Anwar yang hilang kelayakan dan hujah-hujah cuba mengolah persetujuan oleh pakar-pakar politik pro mereka, pemilihan kali ini juga seolah memberi tanda bahawa Anwar mahu menjaga legasinya di dalam parti tersebut. Apakah Anwar dan Azizah tidak membincangkan perkara ini? Apa yang cuba mereka lakukan atau pertahankan atau lindungkan?
Semua orang bercakap tentang Azmin yang cuba menguasai. Wan Azizah selama ini memang presiden yang 'senyap' dan suaranya adalah suara Ketua Umum. Wan Azizah dikatakan dalam proses mengundur diri dan memberi ruang untuk Anwar menerajui parti tetapi hukuman penjara yang menanti menyebabkan pelan berubah. Azmin boleh sahaja bertanding menentang Wan Azizah akan tetapi jika Anwar yang masuk, Azmin yang dikenali sebagai orang kanan yang paling setia akan beri laluan dan menyokong sepenuhnya. Jika kita ingat pemilihan parti sebelum ini pun berlaku perkara yang sama. Azizah selamat apabila Anwar saat akhir main drama meminta anggota parti keluarkan pandangan apakah beliau patut bertanding dalam keadaan undang-undang tidak membenarkan. Pungutan suara memberi keputusan jelas Anwar mesti diselamatkan dan mesti undur diri. Nasib lebih bertambah baik apabila seorang lagi calon Abdul Rahman Othman turut menarik diri di saat akhir. Berpelukan mereka dan bertepuk gamat seluruh anggota parti di dewan sekolah cina di Seremban ketika itu.
Kali ini Azmin tidak bertanding presiden dan mempertahankankan jawatan Timbalan Presiden. Seperti diajak bertarung di tengah gelanggang getir, enam nama menawar diri bertarung. Mata mula tertumpu ke arah musuh tradisi Azmin, Tan Sri Khalid Ibrahim. Dan kemasukan Tian Chua bersama Saifuddin Nasution dilihat bagai ada pakatan 'Lumberjack match'. Bersatu untuk memukul Azmin.
Inilah episod menarik PKR. Maka saya melihat pemilihan kali ini adalah medan menguji kekuatan Azmin. Walau banyak desas-desus Azmin mahu dipotong, hati kecil saya tetap berasakan Azmin adalah pakar strategi yang pintar. Azmin kuat. Itu saya rasa. Kita tunggu.
No comments:
Post a Comment