Monday, June 20, 2011

di situ, di pintu CM itu...

...dia muncul lagi tahun berikutnya. Di pintu yang sama pada bulan Ramadhan. Dengan t-shirt putih vest coklat dan jeans biru, dia memang ayu. Tersenyum menikmati nyanyian Sidek (Al Fatihah). Cuma kali ini aku bukan lagi budak kilang haram. Aku penuntut kolej. Tapi masih lagi berselipar. Berjeans-tidak bawa dompet, hanya bawa 3 keping syiling emas seringgit dan sekeping kad pengenalan lama yang liat. Cukup untuk belanja pada waktu itu. Tengok wayang kadang-kadang Anis atau Arip belanja. Persis gagak kudung dari neraka, aku terbang senget menghampiri merak nirwana.
"Awak pekerja KFC Taman Pertamakan?" tanya dia.
"Taklah..saya kawan Anis!"
"A'ah ye!"
"Jom join kitorang berbuka puasa?"
Dia mengangguk dan kami berbual-bual sementara menunggu teman-teman lain. 6.30 petang sudah cop tempat duduk di warung lorong katak. Siapa boleh lupa enaknya roti canai, nasi ayam lorong katak sebelum mereka dihambat kemajuan dan McD menawan kawasan itu? (hari ini McD juga lingkup di situ).
Kami menikmati makanan bersama Arip dan Is. Anis, seperti selalu kata nak datang tapi takde. Dating tempat lain kot.
Mungkin tuah lorong katak agaknya, kami pulang ke destinasi yang sama kerana tinggal di kejiranan yang sama. Bas mini 32 selalunya penuh. Dia berdiri di pintu masuk sedang aku di belakang. Berdiri juga. Sesekali kami bertentang mata dan dia melempar senyuman. Senyuman yang meruntuhkan Tursina.
"Apa tu?" tanya aku sewaktu kami turun dari bas dan berjalan pulang. Harus menempuh rumahnya dulu manakala rumah sewa bujangku 300 meter lagi di hadapan.
Dia mengeluarkan pita video dari beg tangannya.
"Tremors. Best ke? Kevin Bacon..." tanya aku.
"Nak pinjam? Ambillah tapi janji mesti pulangkan balik."
Aku tak minat filem itu tapi meminjamnya bermaksud mesti pulangkan semula. Dan peluang berjumpa dia lagi ada.
"ok." Aku mengambilnya sebelum kami berpisah. Dia menunjukkan mana satu rumahnya yang terletak di tingkat dua flat itu.
Aku berjalan pulang ke rumah bujangku dengan pita video di tangan. Menyanyi riang dengan menyemai benih harapan yang mula berbunga. Dan aku lihat bintang-bintang di langit cemburu memandang aku.

3 comments:

Cikli said...

gua rasa gua pun ada kat pintu cm tengok hamdan boli menyanyi lagu maghrib sebelum sama-sama naik sembahyang di bumbung cm.

sharouk said...

Ate ape kabo Sham Pak Mat Boye yang Pelukis Realis tu, menangis dia melihat tepi sungai sebelah sayong dirogol oleh pembangunan.

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

sokong bro kulup