Thursday, August 2, 2012

Mawar untuk Merdekareview

Hari ini Merdekareview.com versi Bahasa Melayunya menutup operasi manakala Bahasa Cina akan turut ditutup pada hujung bulan. Sebelum 2009 aku hanya tahu laman portal online ini di dalam bahasa cina sahaja tetapi ketika majalah Gedung Kartun kami meletup kerana diharamkan kerajaan, Lim Hong Siang editor Bahasa Melayunya mempelawa aku menyumbangkan kartun di situ ketika beliau melawat pejabat kami untuk mewawancara Zunar. Aku yang mengenali Hong Siang sejak era turun ke jalanraya lagi menerimanya dan mula mengkaji bentuk dan idealisme Merdekareview. Aku terkejut Hong Siang bukan sekadar boleh menulis dalam Bahasa Malaysia dengan baik malah mempunyai gaya bahasa peribadi dan skop yang dipersembahkannya sangat menarik. Aku kagum.
Aku melukislah di situ untuk tempoh yang agak lama juga. Kadang-kadang Hong Siang yang bagi cadangan idea untuk aku kembangkan mengikut kesesuaian konsep. Sesekali kartun aku ditolak kerana tidak sesuai. Salah satunya lukisan karikatur Anwar yang semakin gagah seperti Superman yang sedang membelasah musuh politiknya disifatkan editor ini sebagai terlalu membodek. Ini untuk mengelakkan tuduhan liar beberapa pihak yang Merdekareview ditaja orang Anwar. Satu lagi kartun aku ditolak apabila aku melukis Anwar menjadi boneka yang dikawal Azmin. Ini ketika suasana pemilihan parti PKR di mana ketika itu kelihatan Anwar seolah pengurus kempen Azmin yang menyerang Zaid Ibrahim selaku pencabar dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden parti. Aku akur penolakan kartun itu tetapi aku siarkannya di facebook aku. Ada ketikanya cadangan Hong Siang aku tolak tetapi sikap saling menghormati dan memahami mengatasi perbezaan ini. Adakalanya aku agak lewat siap maka Hong Siang meninggalkan pesanan kepada Sham untuk mengingatkan aku.
Sehinggalah setahun kemudiannya ruangan kartun ditutup kerana kantong dana sudah kosong.
Ketika aku di Beijing aku cuba menghantar artikel dan Hong Siang terus mempelawa aku menjadi kolumnis yang menulis tentang seni, budaya, agama dan politik. Sedikit pemerhatian di Beijing aku selitkan di dalam tulisan-tulisan aku. Ketika itu aktivis senior seperti kak Nashita Md Noor juga menulis dan anak muda yang bintangnya sedang naik, Adam Adli turut menjadi kolumnis. Hafiz yang sebelum itu menulis mencari tapak di Roketkini milik DAP.
Bulan lepas Hong Siang beritahu Merdekareview semakin hampir ke kubur dan kali ini tidak nampak lagi jalan untuk menyelamatkannya. Artikel tentang Rock dan ketakutan pemerintah adalah yang terakhir yang mampu mereka bayar. Aku tidak pernah memikirkan soal bayaran dengan sebuah portal online tanpa untung seperti Merdekareview. Artikel yang benar-benar terakhir aku poskan beberapa hari lepas tentang Apa Seni Islamik.
"tiada bayaran." kata Hong Siang.

Ahhhh!!!! Aku respek kamu semua. Kita di jalan
yang sama, apa kira semua itu...

Merdekareview...selamat bersemadi dengan aman. Sekuntum mawar untukmu. Di dalam diari sejarah reformasi - kamu ada!
Al fatihah...

1 comment:

Zainulfaqar said...

Saya juga peminat tulisan editor Cina itu...