Saya tidak tahu dengan sahih apabila saya lahir, saya ini campur-campur dari darah apa. Saya pernah diberitahu bapa saudara saya bahawa keturunan datuk sebelah ayah saya berasal dari India, malah pernah diceritakan puluhan tahun dahulu ada surat dari kerajaan India sampai kepada moyang-moyang saya agar menuntut lima buah kedai kain sarung dan ladang lembu di sana kerana kawasan itu hendak diambil kerajaan waktu itu. Sejauh mana benar, wallahua'lam. Tapi sebelah kami kuat mempercayai yang kami berdarah keling. Ada pula mengatakan opah keturunan jawa.
Waktu kecil-kecil saya sentiasa diajar oleh kelompok Melayu yang Cina dan India sentiasa berniat jahat menggugat negara. Malah untuk menggambarkan jahatnya mereka, saya diperkenalkan dengan istilah 'mampus' untuk orang cina dan 'mati' untuk keling jika mereka meninggal dunia. Cina dikaitkan dengan kongsi gelap, india kuat mabuk dan penipu. Malah kami juga takut dengan Chahu, benggali yang selalu membawa sabit untuk menyabit rumput buat lembu belaannya makan. Kata kaum-kaum ibu, Chahu mencari kepala untuk disabit dan kepala itu dijadikan bahan asas membina jambatan.
Prasangka buruk ini hilang ketika saya masuk sekolah rendah kebangsaan kerana kami di sini bercampur dengan semua kaum. Kanak-kanak belajar, bermain, bersukan dan berpersatuan tanpa prejudis. Sehingga masuk sekolah menengah, perkauman marak semula. Pelajar yang majoritinya cina kerap membuli kami. Seringkali kami bergaduh dan berlarutan sehingga ke luar pagar sekolah. Oleh kerana jumlah mereka lebih ramai, kami selalunya beralah dan kalau boleh akan mengelak untuk bergaduh. Ketika masuk sekolah berasrama yang majoritinya Melayu, kami kembali berkuasa dan tidak membiarkan cina atau keling naik tocang. Mereka pula terpaksa berbaik-baik dengan kami.
Tamat persekolahan saya merantau ke ibu kota dan menjadi mekanik di Petaling Jaya. Taukeh dan penyelia berbangsa cina dan rakan sejawat saya semuanya india kelas rendah. Saya seorang saja Melayu dan paling muda. Mereka sering meminjam duit kepada saya pertengahan bulan sebelum gaji kerana saya masih bujang sedang mereka ramai sudah berkeluarga. Gaji kami pekerja am pada era awal 90an sekitar RM300-350. Beberapa bulan kemudian mereka ini berhenti kerja dan masuk pula pekerja india yang lain. Saya perasan waktu itu memang kaum india walaupun sudah berumahtangga tetapi tidak bekerja tetap, gaji murah dan sering bertukar-tukar kerja.
Kemudian saya bekerja kilang haram milik taukeh cina di Taman Shamelin. Buruh Indonesia dan Myanmar juga bekerja di sini. Penyelia (supervisor) terdiri dari bangsa Melayu dan Cina. Saya berasa pelik ketika itu kerana gaji penyelia berbeza mengikut bangsa. Penyelia Melayu gajinya RM600 sementara cina yang sama peranan dan tanggungjawabnya bergaji RM1000-1500. Malah pekerja am seperti kami yang berbangsa cina gajinya lebih mahal daripada kami. Pendatang asing tak usah cakaplah, lebih rendah. Sering juga saya mendengar rungutan sebegini di tempat kawan-kawan saya bekerja.
Apabila hari ini kita sering dipertontonkan dengan mainan politik perkauman oleh umno dan penyokongnya yang kononnya mempertahankan Melayu, saya tidak boleh menafikan hati saya bahawa rasis juga masih diamalkan oleh kompeni-kompeni cina atau juga india dan lain-lain. Untuk mengubat hati saya, saya mencipta teori sendiri bahawa penindasan bukan bersifat perkauman. Tidak Melayu, cina atau india. Tetapi penindasan adalah dari orang yang memegang kuasa sama ada politik dan ekonomi terhadap golongan bawahan. Ia adalah kaum penindas Melayu, cina dan india yang menindas Melayu, cina, india yang susah.
Soalnya apakah orang lain tak kira bangsa apa pun, berfikiran seperti saya? Ahh! Saya sebentar lagi mahu ke Oldtown Whitecoffee berbual, minum kopi dan bergurau dengan Adam, Isham, Kecik, Siew Ki, Mandeep, Sara, Naz atau bertukar fikiran dengan Lawrence Jayaraj, Johnny dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment