Wednesday, October 30, 2013

wak jono kembali

Selama dua tahun menyepi, Wak Jono sang pengembara rohani kembali berblog? sila ke http://kealamtaknyatatapiada.blogspot.com/
kepada yang belum pernah membaca diharap baca dari awal entry dan bagaimana aku terlibat juga bersahabat dengannya.

Siapa Wak Jono? Apa yang dia cari? Apa yang cuba dia sampaikan?

wak jono

Rokok dan Ruku'

Sarapan di restoran mamak sementara menunggu nombor giliran di sebuah jabatan kerajaan sampai. Orang ramai. Memang aku malas kalau berurusan begini tapi nak buat macamana.

Duduk semeja denganku seorang anak muda awal 20an. Dia minta pemetik api tetapi aku jawab tidak merokok.

" Baguslah bang! Saya ni susah nak berhenti. Hari ni rokok besar dah lebih dari RM10 maknanya kita kena keluar dua not kertas, satu merah satu lagi not kecil. Peh! Saya hisap batang-batang je sekarang." katanya.

" Sebatang berapa sekarang?" tanyaku.

" Rm1" jawabnya. Teh tarik hampir tersembur dari mulutku. Masa aku awal-awal rmerokok 20 tahun dulu 15-20 sen sebatang.

" Seringgit sebatang? Gila!" kataku. " berapa batang sehari kau hisap?"

"8-10 batang sehari semalam" jawab dia.


....lama dia diam kemudian dia sambung lagi " hisap rokok lagi banyak dari ruku' kat Tuhan" .

Aku ketawa dengar lawak spontan dia. Dia hanya tersengih gelengkan kepala. Aku makin tergelihati melihat gigi depannya yang sompek.

Sunday, October 27, 2013

bukan apa-apa

Seorang lelaki tua sekitar 80an usianya berjalan perlahan tetapi kemas langkahnya menuju sebuah meja kosong di warung tempat aku membasahkan tekak di tengah matari terik. Pakaiannya lusuh tetapi bersih. Rambut, janggut dan misai yang memutih meskipun panjang tetapi tersisir. Dia menunduk sahaja tidak mempedulikan orang lain juga sepertimana orang lain tidak pedulikannya. Tiba-tiba dia mengangkat kepala memandang aku yang memerhatikannya asyik sejak tadi. Sebelah matanya dikenyitkan dan menghantar senyuman isyarat. Aku tersentak. Apakah dia boleh membaca situasi?

Aku bangun berpindah ke mejanya. "Mahu ke mana Aki?" tanya aku. Dia menggeleng kepala sambil tersenyum. "Sini aje..." suaranya perlahan. "Kejap lagi belum tahulah. Ikut Kudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama', Basar dan Kalam-lah ke mana tujuannya lepas ini". Pekat loghat Pahang belah-belah Lanchang. Tapi bukanlah loghat itu menarik perhatianku. Tetapi kata-katanya.

"Itu sifat ma'ani." kataku. Dia senyum lagi menampakkan giginya yang masih penuh. Pekedai meletakkan secawan kopi o kepada dia. Oh! Barangkali aki ini biasa di pekan kecil ini. Aku yang orang luar. Patutlah orang lain seakan tak ambil kisah.

Diam. Tiada apa hendak dibicarakan. Setengah jam berlalu aku meminta diri meneruskan perjalanan ke pekan seterusnya. Aku menghulurkan tangan bersalam. Dia menyambut dan senyum. Mata berbalas renung. Sedikit renjatan listrik di dada kiri aku rasakan. Mungkin sebuah isyarat. Tanpa kata dan hanya menggunakan bahasa ghaib. Terasa ketika bersalam, ibu jarinya lembut.

Aku mengengkol enjin motosikal dan beredar. Panahan pandangan mata aki terkenang-kenang. Yang aku perasan dia tidak bertanya bukan-bukan atau menyibuk akan hal aku seperti "Mau ke mana?", "dari mana?", "Kerja apa?".

Sepatah katanya itulah membongkar dunia batin sehingga diriku berdialog dengan diriku juga malam itu...

Friday, October 25, 2013

Sembelih korban dan agamaku agamaku agamamu agamamu

Kamalanathan: Tak perlu pekeliling larang sembelihan http://www.malaysiakini.com/news/244752

Abdul Rahim Sabri
12:34PM Okt 24 2013

VIDEO l 1:47 minit

Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan menegaskan bahawa sekolah tidak dibenarkan menjalankan ibadah penyembelihan korban seperti yang dijalankan di SK Puchong Jaya semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Bagaimanapun, larangan itu bagaimanapun tidak dinyatakan dalam pekeliling tetapi hanya dalam bentuk nasihat kepada pihak sekolah "dari semasa ke semasa".

"Tak (ada pekeliling). Kita akan menasihati dari masa ke semasa. Tak perlu ada perkara itu," katanya ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.

Jelasnya, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menasihati sekolah untuk bekerjasama dengan surau berhampiran apabila pihak sekolah memaklumkan mengenai aktiviti tersebut.

"Sebenarnya benda itu (sembelihan korban) tidak boleh. (Perkara) itu dah kementerian siasat. Biasanya tidak boleh, tetapi masalah yang berlaku apabila PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) tidak dimaklumkan.

"Kalau dimaklumkan di pejabat PPD, biasanya, mereka akan menasihatkan pihak sekolah bekerjasama dengan surau-surau berhampiran. Itu yang digalakkan," katanya.

Selanjutnya boleh baca di Malaysiakini di link yang diberikan.

Begini:-

Bagi saya, masalah yang berlaku di Malaysia ialah terlalu banyak kekacauan yang dilakukan ahli politik dan banyak perkara yang tidak diselesaikan menyebabkan perkara seremeh dan serendah ini terjadi.
Soal pemahaman beragama tidak kira agama yang dianuti individu itu sendiri apatah lagi agama orang lain menyebabkan kecoh-kepoh ini berlaku. Peranan agamawan tidak kira Islam, Kristian, Buddha atau Hindu pun kabur dalam memberikan ketenteraman kepada rakyat. Saya tidak tahu agama lain maka saya tidak berhak campurtangan dalam ibadah agama lain. Tetapi dalam soal ibadah korban ini, benar soal tempat seperti di sekolah boleh dibincang elok sama ada sesuai atau tidak. Ini kerana persoalan akan menjadi meleret apabila penganut agama sentiasa bertekak itu ini tidak boleh. Jika ibadah korban menakutkan pelajar agama lain di sekolah akan timbul pula komplen acara Thaipusam akan menakutkan anak-anak agama lain yang melihatnya di jalanraya. Berulang-ulang, bertaki-taki lagi dengan kesesakan jalanraya ketika umat Islam solat Jumaatlah, isu mendirikan kuil haram di tanah rezablah sehingga apabila tanah hendka diambil semula maka protes berlaku dengan alasan penindasan agamalah. Banyaklah lagi!

Letih! Dan tidak selesai. Sebab orang politik sentiasa menyimpan isu ini untuk dilepaskan apabila mereka tersepit. Agamawan juga sudah hilang formula berdakwah. Agamawan Islam misalnya entah mana yang dipraktikkan kaedah Rasulullah berdakwah dengan Siddiq (Benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan) dan Fatanah (Kebijaksanaan). Kata datuk saya jika mahu berdakwah baca susunan saranan Rasulullah itu secara terbalik. Fatanah-> Tabligh->Amanah->Siddiq.
Pasti cantik.

Saya bukanlah pandai tetapi kepada rakan-rakan Hindu, jika agamawan Islam tidak memberitahu anda akan ini, biarlah saya beritahu. Lembu yang dianggap suci bagi agama anda juga tetap dianggap suci oleh agama Islam. Sama seperti haiwan lain yang patut disayangi. Walaupun ada haiwan haram dimakan tetapi Islam melarang menzalimi. Dalam konteks ibadah korban misalnya, sembelih adalah kaedah terbaik, tidak zalim dan ia sangat berakhlak ketika hendak mengambil nyawa haiwan untuk dijadikan makanan. Itu kaedah Islam yang diajarkan. Sembelih bukan suatu pembunuhan sebaliknya haiwan yang diambil nyawa secara tidak sembelih itulah suatu kezaliman bagi umat Islam. Tetapi umat Islam tidak boleh mengatakan sebegitu kepada agama lain kerana mesti menghormati apa pun cara mereka.

Kedua, lembu dikategorikan di dalam Islam sebagai haiwan ana'am. Haiwan ternakan berkaki empat. Dalam sejarah bagaimana Allah ingin meletakkan amanah khalifah bumi ini kepada makhluk, semua makhluk menolak sama ada gunung, haiwan, tumbuh-tumbuhan kerana tidak sanggup memikul amanah. Hanya manusia mampu. Makhluk yang lain bersedia berbakti kepada manusia, makhluk ciptaan Allah paling mulia demi kecintaan kepada Allah. Sebab itu makhluk seperti jin, haiwan beria-ia mahu berbakti kepada manusia agar Allah redha kepada mereka. Dalam soal korban, memang manusia melakukan korban tetapi haiwan juga seperti lembu diberi penghormatan berbakti untuk manusia dengan mengorbankan diri mereka. Lihat betapa redhanya haiwan-haiwan ini ketika disembelih. Tenang. Yang dikesalkan adalah sikap segelintir umat Islam yang tidak faham menjadikan ibadah ini pesta-pestaan, sesetengahnya menakut-nakutkan haiwan ini kerana tidak faham tertibnya.

Jadi tanggapan ibadah korban suatu pembunuhan haruslah dikikis dan haiwan yang dianggap suci oleh apa jua agama lain turut juga suci pada kaca mata Islam kerana ibadah korban adalah semata-mata tiada lain selain mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa. Wallahualam.



Sunday, October 20, 2013

Lakum diinukum waliyadiin

Berita di Malaysiakini

Ibu bapa Hindu bantah korban lembu di sekolah

Koh Jun Lin
4:32PM Okt 18 2013

Tindakan sebuah sekolah di Kuala Lumpur menyembelih lembu korban di perkarangan kawasannya semasa waktu sekolah semalam mendapat bantahan daripada ibu bapa bukan Islam.

Memetik anaknya, S Dineswary memberitahu Malaysiakini, upacara itu dilakukan pada waktu pagi sebelum kenduri sempena sambutan hari raya Aidiladha.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kerana ini sekolah kebangsaan, bukan sekolah agama. Itu sebabnya kami terkejut kerana terdapat murid Hindu dan Cina di situ.

"Ia bukan hanya isu agama, tetapi juga kerana terdapat kanak-kanak di sekitarnya. Mungkin ada yang tertekan dengan pembunuhan itu," katanya ketika dihubungi.

Lembu dianggap haiwan suci bagi penganut Hindu. Malaysiakini tidak menamakan sekolah itu sementara menunggu respons daripada sekolah.

Sementara itu, di Internet pula tersebar meluas rakaman perbualan seorang pemanggil dengan guru besar berhubung kejadian hampir sama.

Dalam perbualan hampir 10 minit itu, pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai "Saravanan" mempersoalkan tindakan sebuah sekolah melaksanakan acara itu kerana terdapat murid Islam di situ.

Dia juga menyoal sama ada tindakan itu bertepatan dengan peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mungkin kebetulan, seorang pembaca Malaysiakini yang memperkenalkan dirinya sebagai "Saravanan Forever" turut mendakwa banyak insiden seperti itu berlaku di seluruh negara pada sambutan Aidiladha.

"Di Malaysia, sekolah kebangsaan, di mana kanak-kanak pelbagai kaum belajar dan kita patut hormat semua bangsa dan agama," tulisnya lagi.


Bagi aku:-


Isu ini boleh diselesaikan dan tak perlu menjadi besar. Jangan kebingitan isu -isu bodoh sebelum ni dalam soal agama meleret-leret. Bertoleransilah! Cuma saya agak tidak senang dengan kenyataan yang berbunyi:-
" "Ia bukan hanya isu agama, tetapi juga kerana terdapat kanak-kanak di sekitarnya. Mungkin ada yang tertekan dengan pembunuhan itu," katanya ketika dihubungi."

Harus sesiapa khususnya yang bukan Islam kena ingat, menyembelih binatang bukan PEMBUNUHAN. Ia proses yang cukup cantik, tidak kejam malah bersih menurut garispanduan Islam ketika hendak menjadikan haiwan sebagai makanan. Maksud pembunuhan adalah kejam. Bagi muslim, mencabut nyawa binatang yang hendak dijadikan makanan itulah pembunuhan tetapi muslim diajar tidak melecehkan amalan agama lain lalu kami tidak memanggilnya pembunuhan. Kami memanggilnya makanan yang 'tidak disembelih' iaitu tidak mengikut syarat-syarat yang digariskan.

Perkataan PEMBUNUHAN sangat SALAH dan menghina.

Thursday, October 17, 2013

Tuhan berdiam saja?

Tuhan masih berdiam. Ketika mereka berebut siapa pemilik nama alif lam lam ha, Yang Empunya Diri tidak menzahirkan apa petanda. Dan apabila keputusan mahkamah menyatakan Allah hanya milik umat Islam, Yang Maha Berkuasa diam juga. Penyokong 'kalimah Allah hanya untuk orang Islam' bersyukur di atas keputusan ini yang memberi tanda Allah merestui perjuangan mereka lantas memberi kemenangan. Tetapi kemudiannya apabila respon marah memuncak di Sabah dan Sarawak, kerajaan mengumumkan keputusan ini hanya untuk Semenanjung. Pejuang nama Allah diam....seperti Empunya Diri.

Lihatlah kebodohan umat Melayu sehingga tara ini berpolitik. Menjadi bahan ketawa satu dunia. Dari yang bingung sehingga mengaku terpelajar dan bergelar bijak pandai~ keliru. Hanya kerana ditipu politikus.

Apa yang hendak direbut dan dimilikperibadikan kalimah Allah? Agama langit seperti Islam, Kristian dan Yahudi memang mengakui menyembah Tuhan yang sama. Yang berbeza persembahan. Ritual. Agama sikh juga. Sehingga bentuk rumah ibadat pun hampir sama. Maknanya asal usulnya kepercayaan adalah tuhan yang sama; Al Ilah.

Jika kita berkisar soal politik selalunya akan timbul hujah-hujah bodoh, mual dan langsung tidak membina sama ada kefahaman ilmu mahu pun tahap kepercayaan (iman). Dan itulah yang dimahukan oleh penipu-penipu yang memaut kuasa menggunakan agama. Mahu kebodohan terus diangkat. Sebaliknya jenayah rasuah atau penyelewengan yang ditegah Allah langsung tidak dipedulikan.

Allah yang mana direbutkan? Nama? Dari huruf alif, lam ,lam, ha itukah? Jika dibuang huruf, tidak dibunyikan suara bagaimana hendak menikmati Allah? Ingat bagaimana peristiwa Bilal bin Rabah disiksa supaya tinggalkan agama. Dihempapkan bebanan berat di dada di tengah panas gurun, Bilal bertahan dengan terus melaungkan "Ahad! Ahad!" atau ertinya Yang Maha Esa. Mengapa tidak menyebut kalimah Allah? Kerana kalimah itu hanya menyebut sebuah nama. Sebuah nama tidak cukup untuk menjelaskan akan sesuatu. Menyebut mengenali kawan kita bernama Ali contohnya hanya sekadar menyebut nama Ali tidak cukup. Mesti dibayangkan rupa Ali, sifat, tabiat, perangai, apa bagai semuanya barulah sempurna. Laungan "Ahad" oleh Bilal cukup menggambarkan ketauhidan menyeluruh merangkumi nama (asma), dzat, sifat dan afaal. Bukan sekadar kalimah.

Yang hari ini direbutkan apa? Sekadar nama? Bagaimana dengan dzat? Sifat dan afaal? Sudah kenal rata-rata? Atau ikut-ikut latah orang politik yang memang mahu memperbodohkan lebih-lebih lagi jika kita mengaku pandai. Sedarlah! perebutan nama ini hanya isu politik. Jangan terlibat dengan kebodohan. Orang politik sudah lama hilang malu, kejujuran atau rasional. Dijebaknya kita sekali.

 Allah suruh mengenalnya pada permulaan agama 'awaluddin makrifatullah'. Hal berebut nama ini tak timbul jika makrifat akan hakiki. Sebab itu awal 'bismillah' maksudnya dengan 'nama' allah kerana asal wujudnya insan dari kalimah itu. Ahli sufi apabila sampai ke maqam kamil mukkamil - menyebut nama pun bagi mereka adalah syirik kerana telah menyekutukan. Maha Suci bagi mereka tidak boleh dikotorkan atau disamakan walaupun dengan huruf dan suara. Sifat 20 kena dalami sedalam-dalamnya. Tiada satu pun tuhan menyerupai makhluk. Kalau makhluk ada nama apakah Tuhan juga sama? Di sinilah perlu faham wujud dan maujud, dan pecahan sifat 20 kepada empat bahagian Nafsiyyah, Salbiyyah, Ma'ani dan Maknawiah.

Jangan fikir Allah akan bersuara jika kita fahami bersuara itu seperti tiba-tiba keluar bergema dari langit "Jangan mempermainkan aku!'. Hendak mencari Allah pun sudah tidak boleh di luar lagi. Ia di dalam. Kerana apabila mengetahui di dalam, maka luar dan dalam akan bersatu. Bagaimana bisa mencari dan mengharapkan Allah menjawab kerana:-

" Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni’mat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agamamu"

Al Maidah ayat 3

Semuanya sudah cukup dan ada di sini jawabannya. Di alam ini. Alam saghir dan alam kabir.

Monday, October 14, 2013

Thursday, October 10, 2013

12.54 jumaat

Dalam gelap hanya disuluhi cahaya monitor komputer, menyuap susu untuk An-Nur
merenung dalam-dalam wajahnya
dan susu yang ditelan sebagai bekalan hingga esok
kau tak mampu memaksa ilham bertandang
jika resah di jiwa sedang berperang


Monday, October 7, 2013

isu OKU: respon awam jika ia disensasi dan respon jika tidak didramatikkan

Mari lihat berita yang dimuatnaikkan pada hari semalam yang setakat ditulis di sini sudah lebih 200 komen


OKU terpaksa merangkak ke pejabat pengarah JKM

Seorang lelaki OKU yang mewakili satu NGO terpaksa bersusah payah menaiki tangga pejabat Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) di Kulim hari ini untuk menyerahkan memorandumnya kepada pengarah jabatan tersebut.
MP Padang Serai N Surendran berkata, seramai 50 anggota Persatuan OKU Setia Daerah Kulim pada awalnya berhimpun di luar jabatan tersebut sebagai bantahan berhubung bantuan kebajian pada kira-kira jam 1.30 petang.

Bagaimanapun, pengarah JKM Kulim Rohana Yusof enggan menerima memorandum tersebut dan tidak berganjak dari pejabat tersebut di tingkat satu, kompleks bangunan majlis perbandaran.

Katanya, selepas menunggu lebih satu jam di bawah pancaran matahari terik, salah seorang anggota persatuan tersebut. Gnana Pragasan, yang tidak boleh berjalan, bertindak menaiki tangga tersebut untuk menyerahkan sendiri memorandum tersebut kepada Rohana.

Gnana, 53, dengan memorandum di mulutnya, menggunakan tangannya untuk memanjat tangga dan mengetuk pintu pengarah tersebut sehinggalah pegawai itu keluar untuk menerima memorandumnya.

Surendran berkata kejadian itu menunjukkan bahawa jabatan berkenaan tidak sensitif kepada warga kurang upaya dan warga emas di negara ini.

[Baca berita penuh]


sementara isu yang ini hanya 17 komen walaupun sudah empat hari dimuatnaik iaitu 3 Oktober

NGO tuntut sekolah khas pesakit kelumpuhan otak
12:36PM Okt 3 2013
Sebuah NGO berkaitan penyakit kelumpuhan otak besar atau cerebral palsy (CP) mendakwa kanak-kanak kelainan upaya itu dinafikan hak untuk pendidikan apabila tiada sekolah khas disediakan untuk golongan "OKU terlantar itu".
Pertubuhan Harapan Anak Cerebral Palsy (Hope2Walk), dalam memorandumnya kepada timbalan perdana menteri berkata, berbeza dengan negara lain, di Malaysia golongan ini tidak layak memasuki sekolah dan rawatan hospital juga cukup singkat.

"Rawatan fisioterapi dan latihan cara kerja dibuat di hospital seminggu sekali selama sejam. Bolehkah anak ini mempelajari semua itu dalam waktu sesingkat itu?

"Bayangkan, bolehkah anak normal menguasai kemahiran membaca jika hanya datang sekolah sekali seminggu selama satu jam? Apatah lagi anak CP, khususnya yang terlantar," memorandum kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik.

Memorandum enam halaman itu diserahkan oleh Timbalan Pengerusi Hope2Walk, Mohd Affandi Ramli di lobi Parlimen di ibunegara semalam.

Kartunis itu malah hadir bersama isteri dan anak perempuannya yang turut mengalami nasib sama.

Hope2Walk juga berkata, penafian hak bersekolah itu juga "amatlah kejam" dan tindakan perlu diambil dengan mengetepikan permainan politik demi pembelaan terhadap golongan itu.

"Mahukan kita melihat Malaysia menjadi negara pembunuh nombor satu bagi kanak-kanak CP (dengan membiarkan mereka)?" menurut memorandum itu lagi, sambil menjelaskan sebab utama kematian apabila potensi diri semakin merosot.

CP adalah sejenis kecacatan yang dikesan pada bayi apabila pengendalian otot gagal atau tidak berfungsi, kaku, lumpuh serta gangguan fungsi saraf.
Mengapa ini terjadi? 
Mengapa tiba-tiba respon pelayar internet melonjak? Apakah kesedaran terhadap isu  OKU benar-benar tinggi? Atau nilai berita yang dibawa berunsur 'politik sensasi' oleh orang politik maka peminat politik galak mengomen? Atau melihat susah-payah OKU yang terpaksa merangkak itu menjadikannya panas? Berapa ramai yang tanya apa isi memorandum yang dibawa oleh Gnana Pragasan? Berapa ramai yang benar-benar hendak tahu isi memorandum tersebut selain mengutuk pihak JKM dan struktur bangunan yang menyusahkan? ini memorandumnya

apa yang ditulis di sini bukan soal JKM sahaja tetapi soal dasar dan sistem. Struktur yang susah bukan salah JKM tetapi dasar! OKU yang merangkak terpaksa merangkak juga jika ke hendak naik ke pasar raya atau ke pusat ibadah sekali pun? Dasar dan pelan yang tidak punya kesedaran terhadap OKU-lah menyebabkan semua ini berlaku. Salahkan JKM sahaja tidak cukup. Orang buta tetap tidak nampak dan terpaksa mendaki tangga. Anak aku terpaksa aku cempung untuk naik tangga. Gilalah aku kalau marahkan bangunan tersebut.
Ramai marahkan pengarah JKM. Itu satu hal. Tetapi bagaimana jika aku katakan ada ahli politik yang anda suka, dari PR lah yang menunjukkan muka tak berminat, melencong tak mahu berjumpa semasa kami ajak berbincang tentang Cerebral Palsy? Tidakkah kami juga yang kena kutuk sebagaimana kami dihentam teruk sewaktu mengkritik Manifesto PRU oleh Pakatan Rakyat sebelum PRU13 tempoh hari? Sebab itu beberapa kali kami cuba buat pertemuan tapi acuh tak acuh.
Berbalik soal perbandingan dua berita tadi mengapa kita selalu bersifat reaksionari? Aku percaya kita hanya marah kerana politik tetapi tidak pun mahu bergerak membantu orang-orang seperti Gnana atau An-Nur menikmati hak sewajarnya.
*Barangkali jika kami sekeluarga berbaring atas tar di parlimen tempoh hari pasti akan jadi sensasi! tapi bukan itu matlamatnya!!! 

Sunday, October 6, 2013

Wujud Segera Kementerian Hal Ehwal Orang Kelainan Upaya (OKU)

sebelum itu baca di sini http://www.malaysiakini.com/news/243149



Wujud Segera Kementerian Hal Ehwal Orang Kelainan Upaya (OKU)
Merujuk berita baru-baru ini tentang bagaimana seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) terpaksa merangkak menaiki tangga Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) di Kulim, Kedah untuk menyerahkan memorandum saya secara peribadi berasa tidak senang dengan perkara tersebut. Tidak diketahui memorandum itu berkenaan masalah peribadi beliau atau membawa permasalahan keseluruhan OKU saya merasakan salurannya tidak tepat. Jika memorandum tersebut berkenaan kebajikan peribadi maka yang mungkin boleh selesai masalah peribadinya tetapi saya berpandangan Ahli Parlimen Padang Serai perlu membawa segera permasalahan ini ke parlimen kerana isu ini adalah isu yang melibatkan dasar. Kita berhadapan dengan masalah sistem.
Menghantar ke JKM tidak tepat seperti contoh; kita membantah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke sekolah-sekolah. Sudah tentulah sekolah tidak boleh membuat apa-apa keputusan.
Menyelesaikan sesuatu isu dengan sentimen politik biasanya mengundang kontroversi dan berlarutan adakalanya menjadi tidak rasional. Jika ahli politik Pakatan Rakyat membawa isu di negeri yang diperintah Barisan Nasional, hal yang sama akan berlaku apabila ahli politik Barisan Nasional juga akan berbuat perkara yang sama. Maka objektif sebenar membela nasib OKU selalunya akan tersasar. Hal berkaitan OKU pada pandangan saya terlalu rumit untuk difahami masyarakat. Ia isu kemanusiaan dan mesti diusahakan melangkaui fahaman ideologi politik.
Pihak kami Hope2Walk bersedia menawarkan diri untuk bekerjasama dan berbincang berkenaan isu OKU. Malah pernah bekerjasama dengan penggerak kempen ‘OKU Bangkit 2012’ mengadakan sesi dialog bersama pemimpin Pakatan Rakyat sebelum PRU 13 yang lalu. Memorandum telah pun diserahkan kepada Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu. Sehingga hari ini memorandum tersebut tidak pasti sudah dibincangkan atau tidak untuk diajukan ke peringkat lebih atas.
Dengan tidak menafikan niat baik untuk membantu OKU di Kulim kelmarin, saya berpandangan ahli parlimen Padang Serai yang prihatin boleh terus memainkan peranan yang lebih proaktif di parlimen nanti seperti membawa cadangan penubuhan segera Kementerian Hal Ehwal OKU. Ini kerana jumlah OKU di dalam sesebuah negara di dalam dunia ini dianggarkan oleh Bank Dunia dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) sebanyak 15%. Suatu jumlah yang cukup besar dan langsung tidak sesuai diletakkan hal OKU di ‘Jabatan dalam Jabatan’.
Saya merayu semua pihak terutama ahli politik, wakil rakyat dan menteri agar mengenepikan perbezaan politik ketika membawa isu OKU kerana matlamat utamanya adalah untuk kesejahteraan golongan ini yang juga RAKYAT Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Mohd Affandi bin Ramli juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Harapan Anak-Anak Cerebral Palsy (Hope2Walk)

Saturday, October 5, 2013

Jalantelawi.com:- Ronasina: Memaknai semula hiburan

Ronasina atau nama sebenarnya Mohd Affandi Ramli lebih dikenali sebagai seorang kartunis. Walhal beliau juga adalah seorang aktivis, penulis dan penerbit. Kali ini beliau tampil dengan projek terbaru beliau iaitu Posto, sebuah majalah yang diterbitkan secara tidak berkala, yang mana isu pertamanya diluncurkan pada bulan Mac yang lalu. Posto menawarkan wawancara, laporan eksklusif, cerpen, ulasan filem dan tulisan daripada penulis seperti Hishammuddin Rais, Pyanhabib dan Adam Adli.

Apa itu Posto?

Posto sedap disebut. Dalam Bahasa Itali bermaksud ‘tempat’ tetapi nuansanya lebih luas dan menepati ciri yang kami mahukan sewaktu memikirkan konsep majalah ini iaitu ‘ruang’, ‘keadaan’ atau ‘duduk perkara,’ dan ‘tumpuan’ jika ia boleh diterjemahkan begitu. Kalau kita menonton filem Ahmad Albab betapa penghantar surat yang melaungkan ‘Posto!’ itu sangat berghairah melaksanakan tugasnya sehingga sampai masuk ke dalam rumah.

Selanjutnya di jalantelawi.com/2013/10/memaknai-semula-hiburan/


Segera! Anak kami perlu sekolah!

2 Oktober haritu aku, Sham dan An-Nur dengan membawa mesej dari pertubuhan kami Hope2 Walk telahke parlimen menghantar memorandum menuntut sekolah bantuan penuh kerajaan untuk anak Cerebral Palsy. Dengan bantuan Haris Zuan, setiausaha politik kepada ahli parlimen Bukit Bendera YB Zairil Khir Johari dan Zairil telah menerima kami sebagai tetamunya, kami berjaya menyampaikannya.

Antara isi memorandum:-


Kanak-Kanak Cerebral Palsy di Malaysia dinafikan hak bersekolah

Hari ini 2 Oktober 2013 adalah Hari Cerebral Palsy Sedunia. Dianggarkan seramai 17 juta penduduk dunia mengalami kecacatan Cerebral Palsy (didefinisikan sebagai Kelumpuhan Otak)
Apa itu Cerebral Palsy?
Cerebral Palsy (CP, Kelumpuhan Otak Besar) adalah sejenis kecacatan yang dikesan pada bayi apabila pengendalian otot tidak atau kurang berfungsi, kaku atau lumpuh serta gangguan fungsi saraf lainnya.
Cerebral Palsy terjadi pada 1-2% kes dari 1000 bayi, tetapi 10 kali lebih sering ditemukan pada bayi lahir pra-matang dan 10-15% kes terjadi akibat kecederaaan otak semasa proses kelahiran seperti kekurangan oksigen dan sebagainya.
Cerebral Palsy bisa disebabkan oleh cedera otak yang terjadi pada saat:
- bayi masih berada dalam kandungan
- proses persalinan berlangsung
- bayi baru lahir
- anak berumur kurang dari 5 tahun.

Gejala lain yang ditemukan pada Cerebral Palsy
- Kecerdasaan di bawah normal
- Lewat perkembangan mental
- Sawan / epilepsi (terutama pada jenis spastik)
- Gangguan menghisap atau makan
- Pernafasan yang tidak teratur
- Gangguan berbicara (disartria)
- Gangguan penglihatan dan pemfokusan
- Gangguan pendengaran
- Sendi yang kejang
- Pergerakan menjadi terbatas.
- Gangguan perkembangan kemampuan psikomotor (misalnya menggapai sesuatu, duduk, berguling, merangkak, berjalan)
- Refleks yang seharusnya menghilang tapi masih ada seperti berjalan jinjit atau merangkak dengan satu kaki diseret.
(Rujukan : Wikipedia dan http://www.labparahita.com/)
Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008- ‘Orang Kurang Upaya’ diklasifikasikan sebagai mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.
Kategori OKU
Menurut perangkaan Bank Dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih sepuluh peratus penduduk di dalam sesebuah negara adalah Orang Kelainan Upaya (OKU). OKU pula terbahagi kepada tujuh kategori mana di dalam tujuh kategori tersebut terpecah pula kepada beberapa bahagian. Di antaranya kategori cacat anggota tetapi boleh berfikir dan mengurus diri, cacat anggota tetapi tidak boleh mengurus diri, cacat akal tetapi masih boleh menguruskan diri dan ada juga cacat akal serta tidak mampu menguruskan diri serta lain-lain lagi kategori.
Di Malaysia menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat hampir tiga juta orang didaftarkan sebagai OKU. Di antara kategori ini terdapat apa yang dipanggil ‘OKU Terlantar’ yang mana anak ini dilahirkan terlantar, terencat perkembangan dan pembesaran malah tidak mampu menguruskan diri. Ibu bapa atau penjaga anak OKU kategori ini jika berdaftar akan mendapat elaun sebanyak RM300 setiap bulan. Manakala yang tidak berdaftar disebabkan berbagai-bagai kesulitan juga ramai seperti tiada bapa sama ada sudah meninggal dunia atau lari, tiada kenderaan dan lain-lain. Apakah elaun yang diberikan ini telah dapat menyelesaikan masalah kebajikan anak-anak ini? Apakah bantuan wang ini telah ‘menutup buku’ permasalahan yang membelenggu? Tahukah kita setiap tahun berapa ramai anak OKU Terlantar lahir?
Di Australia kajian menunjukkan setiap seribu kelahiran akan ada dua kanak-kanak mengalami Cerebral Palsy (Kelumpuhan Otak). Berapa ramai pula anak CP mati saban tahun? Mengapa mereka mati? Kebanyakan mereka mati kerana potensi diri semakin lama semakin merosot. Tahap kesihatan mereka merudum bermula dengan kerosakan anggota seperti kekejangan sendi, tulang belakang membengkok (scoliosis), gangguan saraf sehingga kerap diserang sawan berbahaya dan juga jangkitan kuman terhadap paru-paru dan otak yang langsung membawa maut. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini kerana, di Malaysia tidak diperuntukkan sekolah khas bantuan penuh kerajaan untuk anak-anak kategori OKU Terlantar ini. Anak-anak ini dinafikan hak untuk bersekolah.
Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan
Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995.
Tahukah anda bahawa setiap kanak-kanak di dunia berhak mendapat pendidikan mengikut keupayaan potensi mereka? Inilah dasar ‘No Child Left Behind’ (Tiada kanak-kanak keciciran) yang diamalkan di negara-negara maju di mana setiap kanak-kanak tidak kira warna kulit atau bagaimana keadaan mereka sama ada normal atau mengalami kecacatan wajib dibenarkan mendapat pendidikan.
Di negara Scandinavia atau di Lingkaran Artik (Sweden, Norway, Denmark dan Finland) contohnya, selain United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia mereka menyediakan sekolah khas harian percuma untuk anak-anak CP. Lengkap dengan sukatan pelajaran dan kaedah yang sistematik beserta tenaga pengajar dan pembantu yang cukup terlatih. Bayangkan anak-anak yang tidak mampu menguruskan diri ini dijemput dengan kenderaan, diberikan tumpuan penuh oleh guru dan pembantu di mana nisbahnya setiap seorang anak OKU diberikan seorang guru dan seorang pembantu. Pulang ke rumah dihantar. Ibu bapa jika pun tidak diberi elaun masih boleh bekerja seperti ibu bapa yang lain.
Malah objektif utama Dasar Kanak-Kanak Negara ialah untuk memastikan:
1. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;
2. setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat;
Di Malaysia, ibu bapa terpaksa bersaing dengan orang lain demi meneruskan hidup. Anak tidak layak masuk ke sekolah. Rawatan fisioterapi dan latihan cara kerja (Occupational Therapy) dibuat di hospital seminggu sekali selama sejam. Bolehkah anak ini mempelajari semua itu semua dalam waktu sesingkat itu? Bayangkan, bolehkah anak normal menguasai kemahiran membaca jika hanya datang sekolah sekali seminggu selama satu jam? Apatah lagi anak CP khususnya yang terlantar ini. Mereka perlukan sekolah harian untuk pemulihan. Lagi pun anak ini bukan sakit, maka kelas pemulihan mereka bukan di hospital tetapi di sekolah. Kaedah latihan yang diberikan pula sama semuanya walhal anak-anak ini berbeza keupayaannya berbanding anak-anak yang lain.
Disebabkan tidak ada pendidikan khas untuk anak-anak jenis inilah maka hari demi hari kualiti kesihatan mereka merosot, potensi mereka dibunuh sehingga anak-anak ini menemui ajal dalam keadaan yang amat menyedihkan. Seperti mana kerajaan boleh menanggung perbelanjaan yang besar terhadap penagih dadah di Pusat Serenti dan juga pusat pemulihan akhlak untuk kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah juvana besarlah juga harapan agar diwujudkan juga sekolah untuk anak-anak CP.

Selamatkan Segera anak-anak Cerebral Palsy (CP)
Anak-anak CP tidak melakukan apa-apa dosa, jauh sekali menyakiti orang lain. Ketidaksempurnaan ini bukan sesuatu yang dirancang oleh mereka. Mereka sendiri tidak pernah meminta diri mereka dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan ini. Jadi, apakah jalan bagi orang yang sempurna untuk membela nasib anak-anak CP ini?
Hari ini kerajaan melaungkan slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ serta isteri Perdana Menteri yang menjaga badan NGO Permata dengan menumpukan kepada anak-anak OKU; diharapkan kesedaran terhadap segolongan rakyat yang tidak diberikan hak untuk menikmati pendidikan ini lebih tinggi. Amatlah kejam apabila anak-anak CP terus dinafikan hak mendapat pendidikan seperti kanak-kanak yang lain. Ketepikan perbezaan fahaman politik dan bermain politik peribadi di Dewan Rakyat. Anak-anak CP di dalam kecemasan dan sangat memerlukan pembelaan segera. Mahukah kita melihat Malaysia menjadi sebuah negara pembunuh nombor satu bagi kanak-kanak CP?
Justeru, pihak berwajib terutama mereka yang terlibat secara langsung mestilah mengambil langkah yang lebih proaktif dan bersungguh-sungguh agar masalah dan penderitaan kanak-kanak CP ini akan terbela. Semoga hak mereka untuk mendapat pendidikan berkualiti dapat direalisasikan.
Yang Benar,

Pengerusi Pertubuhan Anak Cerebral Palsy Malaysia (Hope2Walk)
Salinan kepada:
1. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
2. Menteri Kesihatan Malaysia, 3. Menteri Belia Dan Sukan
4. Menteri Pelajaran Malaysia
5. Ketua Pembangkang Malaysia
6. Ahli-ahli Parlimen Malaysia