Sunday, October 6, 2013

Wujud Segera Kementerian Hal Ehwal Orang Kelainan Upaya (OKU)

sebelum itu baca di sini http://www.malaysiakini.com/news/243149



Wujud Segera Kementerian Hal Ehwal Orang Kelainan Upaya (OKU)
Merujuk berita baru-baru ini tentang bagaimana seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) terpaksa merangkak menaiki tangga Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) di Kulim, Kedah untuk menyerahkan memorandum saya secara peribadi berasa tidak senang dengan perkara tersebut. Tidak diketahui memorandum itu berkenaan masalah peribadi beliau atau membawa permasalahan keseluruhan OKU saya merasakan salurannya tidak tepat. Jika memorandum tersebut berkenaan kebajikan peribadi maka yang mungkin boleh selesai masalah peribadinya tetapi saya berpandangan Ahli Parlimen Padang Serai perlu membawa segera permasalahan ini ke parlimen kerana isu ini adalah isu yang melibatkan dasar. Kita berhadapan dengan masalah sistem.
Menghantar ke JKM tidak tepat seperti contoh; kita membantah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke sekolah-sekolah. Sudah tentulah sekolah tidak boleh membuat apa-apa keputusan.
Menyelesaikan sesuatu isu dengan sentimen politik biasanya mengundang kontroversi dan berlarutan adakalanya menjadi tidak rasional. Jika ahli politik Pakatan Rakyat membawa isu di negeri yang diperintah Barisan Nasional, hal yang sama akan berlaku apabila ahli politik Barisan Nasional juga akan berbuat perkara yang sama. Maka objektif sebenar membela nasib OKU selalunya akan tersasar. Hal berkaitan OKU pada pandangan saya terlalu rumit untuk difahami masyarakat. Ia isu kemanusiaan dan mesti diusahakan melangkaui fahaman ideologi politik.
Pihak kami Hope2Walk bersedia menawarkan diri untuk bekerjasama dan berbincang berkenaan isu OKU. Malah pernah bekerjasama dengan penggerak kempen ‘OKU Bangkit 2012’ mengadakan sesi dialog bersama pemimpin Pakatan Rakyat sebelum PRU 13 yang lalu. Memorandum telah pun diserahkan kepada Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu. Sehingga hari ini memorandum tersebut tidak pasti sudah dibincangkan atau tidak untuk diajukan ke peringkat lebih atas.
Dengan tidak menafikan niat baik untuk membantu OKU di Kulim kelmarin, saya berpandangan ahli parlimen Padang Serai yang prihatin boleh terus memainkan peranan yang lebih proaktif di parlimen nanti seperti membawa cadangan penubuhan segera Kementerian Hal Ehwal OKU. Ini kerana jumlah OKU di dalam sesebuah negara di dalam dunia ini dianggarkan oleh Bank Dunia dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) sebanyak 15%. Suatu jumlah yang cukup besar dan langsung tidak sesuai diletakkan hal OKU di ‘Jabatan dalam Jabatan’.
Saya merayu semua pihak terutama ahli politik, wakil rakyat dan menteri agar mengenepikan perbezaan politik ketika membawa isu OKU kerana matlamat utamanya adalah untuk kesejahteraan golongan ini yang juga RAKYAT Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Mohd Affandi bin Ramli juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Harapan Anak-Anak Cerebral Palsy (Hope2Walk)

No comments: