Friday, October 25, 2013

Sembelih korban dan agamaku agamaku agamamu agamamu

Kamalanathan: Tak perlu pekeliling larang sembelihan http://www.malaysiakini.com/news/244752

Abdul Rahim Sabri
12:34PM Okt 24 2013

VIDEO l 1:47 minit

Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan menegaskan bahawa sekolah tidak dibenarkan menjalankan ibadah penyembelihan korban seperti yang dijalankan di SK Puchong Jaya semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Bagaimanapun, larangan itu bagaimanapun tidak dinyatakan dalam pekeliling tetapi hanya dalam bentuk nasihat kepada pihak sekolah "dari semasa ke semasa".

"Tak (ada pekeliling). Kita akan menasihati dari masa ke semasa. Tak perlu ada perkara itu," katanya ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.

Jelasnya, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menasihati sekolah untuk bekerjasama dengan surau berhampiran apabila pihak sekolah memaklumkan mengenai aktiviti tersebut.

"Sebenarnya benda itu (sembelihan korban) tidak boleh. (Perkara) itu dah kementerian siasat. Biasanya tidak boleh, tetapi masalah yang berlaku apabila PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) tidak dimaklumkan.

"Kalau dimaklumkan di pejabat PPD, biasanya, mereka akan menasihatkan pihak sekolah bekerjasama dengan surau-surau berhampiran. Itu yang digalakkan," katanya.

Selanjutnya boleh baca di Malaysiakini di link yang diberikan.

Begini:-

Bagi saya, masalah yang berlaku di Malaysia ialah terlalu banyak kekacauan yang dilakukan ahli politik dan banyak perkara yang tidak diselesaikan menyebabkan perkara seremeh dan serendah ini terjadi.
Soal pemahaman beragama tidak kira agama yang dianuti individu itu sendiri apatah lagi agama orang lain menyebabkan kecoh-kepoh ini berlaku. Peranan agamawan tidak kira Islam, Kristian, Buddha atau Hindu pun kabur dalam memberikan ketenteraman kepada rakyat. Saya tidak tahu agama lain maka saya tidak berhak campurtangan dalam ibadah agama lain. Tetapi dalam soal ibadah korban ini, benar soal tempat seperti di sekolah boleh dibincang elok sama ada sesuai atau tidak. Ini kerana persoalan akan menjadi meleret apabila penganut agama sentiasa bertekak itu ini tidak boleh. Jika ibadah korban menakutkan pelajar agama lain di sekolah akan timbul pula komplen acara Thaipusam akan menakutkan anak-anak agama lain yang melihatnya di jalanraya. Berulang-ulang, bertaki-taki lagi dengan kesesakan jalanraya ketika umat Islam solat Jumaatlah, isu mendirikan kuil haram di tanah rezablah sehingga apabila tanah hendka diambil semula maka protes berlaku dengan alasan penindasan agamalah. Banyaklah lagi!

Letih! Dan tidak selesai. Sebab orang politik sentiasa menyimpan isu ini untuk dilepaskan apabila mereka tersepit. Agamawan juga sudah hilang formula berdakwah. Agamawan Islam misalnya entah mana yang dipraktikkan kaedah Rasulullah berdakwah dengan Siddiq (Benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan) dan Fatanah (Kebijaksanaan). Kata datuk saya jika mahu berdakwah baca susunan saranan Rasulullah itu secara terbalik. Fatanah-> Tabligh->Amanah->Siddiq.
Pasti cantik.

Saya bukanlah pandai tetapi kepada rakan-rakan Hindu, jika agamawan Islam tidak memberitahu anda akan ini, biarlah saya beritahu. Lembu yang dianggap suci bagi agama anda juga tetap dianggap suci oleh agama Islam. Sama seperti haiwan lain yang patut disayangi. Walaupun ada haiwan haram dimakan tetapi Islam melarang menzalimi. Dalam konteks ibadah korban misalnya, sembelih adalah kaedah terbaik, tidak zalim dan ia sangat berakhlak ketika hendak mengambil nyawa haiwan untuk dijadikan makanan. Itu kaedah Islam yang diajarkan. Sembelih bukan suatu pembunuhan sebaliknya haiwan yang diambil nyawa secara tidak sembelih itulah suatu kezaliman bagi umat Islam. Tetapi umat Islam tidak boleh mengatakan sebegitu kepada agama lain kerana mesti menghormati apa pun cara mereka.

Kedua, lembu dikategorikan di dalam Islam sebagai haiwan ana'am. Haiwan ternakan berkaki empat. Dalam sejarah bagaimana Allah ingin meletakkan amanah khalifah bumi ini kepada makhluk, semua makhluk menolak sama ada gunung, haiwan, tumbuh-tumbuhan kerana tidak sanggup memikul amanah. Hanya manusia mampu. Makhluk yang lain bersedia berbakti kepada manusia, makhluk ciptaan Allah paling mulia demi kecintaan kepada Allah. Sebab itu makhluk seperti jin, haiwan beria-ia mahu berbakti kepada manusia agar Allah redha kepada mereka. Dalam soal korban, memang manusia melakukan korban tetapi haiwan juga seperti lembu diberi penghormatan berbakti untuk manusia dengan mengorbankan diri mereka. Lihat betapa redhanya haiwan-haiwan ini ketika disembelih. Tenang. Yang dikesalkan adalah sikap segelintir umat Islam yang tidak faham menjadikan ibadah ini pesta-pestaan, sesetengahnya menakut-nakutkan haiwan ini kerana tidak faham tertibnya.

Jadi tanggapan ibadah korban suatu pembunuhan haruslah dikikis dan haiwan yang dianggap suci oleh apa jua agama lain turut juga suci pada kaca mata Islam kerana ibadah korban adalah semata-mata tiada lain selain mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa. Wallahualam.