Sunday, October 27, 2013

bukan apa-apa

Seorang lelaki tua sekitar 80an usianya berjalan perlahan tetapi kemas langkahnya menuju sebuah meja kosong di warung tempat aku membasahkan tekak di tengah matari terik. Pakaiannya lusuh tetapi bersih. Rambut, janggut dan misai yang memutih meskipun panjang tetapi tersisir. Dia menunduk sahaja tidak mempedulikan orang lain juga sepertimana orang lain tidak pedulikannya. Tiba-tiba dia mengangkat kepala memandang aku yang memerhatikannya asyik sejak tadi. Sebelah matanya dikenyitkan dan menghantar senyuman isyarat. Aku tersentak. Apakah dia boleh membaca situasi?

Aku bangun berpindah ke mejanya. "Mahu ke mana Aki?" tanya aku. Dia menggeleng kepala sambil tersenyum. "Sini aje..." suaranya perlahan. "Kejap lagi belum tahulah. Ikut Kudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama', Basar dan Kalam-lah ke mana tujuannya lepas ini". Pekat loghat Pahang belah-belah Lanchang. Tapi bukanlah loghat itu menarik perhatianku. Tetapi kata-katanya.

"Itu sifat ma'ani." kataku. Dia senyum lagi menampakkan giginya yang masih penuh. Pekedai meletakkan secawan kopi o kepada dia. Oh! Barangkali aki ini biasa di pekan kecil ini. Aku yang orang luar. Patutlah orang lain seakan tak ambil kisah.

Diam. Tiada apa hendak dibicarakan. Setengah jam berlalu aku meminta diri meneruskan perjalanan ke pekan seterusnya. Aku menghulurkan tangan bersalam. Dia menyambut dan senyum. Mata berbalas renung. Sedikit renjatan listrik di dada kiri aku rasakan. Mungkin sebuah isyarat. Tanpa kata dan hanya menggunakan bahasa ghaib. Terasa ketika bersalam, ibu jarinya lembut.

Aku mengengkol enjin motosikal dan beredar. Panahan pandangan mata aki terkenang-kenang. Yang aku perasan dia tidak bertanya bukan-bukan atau menyibuk akan hal aku seperti "Mau ke mana?", "dari mana?", "Kerja apa?".

Sepatah katanya itulah membongkar dunia batin sehingga diriku berdialog dengan diriku juga malam itu...

1 comment:

Anonymous said...

Situa itu bukan dia
Diri mu itu bukan kamu
Yg mnulis ini pon bukan aku
krn..kamu dia & aku adalah SATU
krn..sumenya DIA, mrk pon DIA juga..
\
I AM immortal
YOU immortal too
I AM not a body
YOU r not yr body too

I AM love
I AM love to give
I AM love to share
MY spirits-LOVING GIVING SHARING..