Wednesday, March 20, 2013

politik membodoh-bodohkan penyokong

Ini sudah kita maklum dilakukan oleh BN sejak mereka berkuasa. Mereka sentiasa mahu rakyat di dalam keadaan bodoh, lemah dan susah supaya mereka berada di dalam keadaan menagih bantuan dan keperluan. Apabila datang kepayahan, pemerintah hulurkan penawar. Apabila tidak tenteram, pemerintah bagi ubat. Media dikawal, suara-suara bantahan dipengap. Ini kita dah tahu.

Ahli politik mengawal semuanya sampailah ke dunia seni dan hiburan, sukan mahu pun perkembangan budaya. Mereka mempergunakan sesiapa untuk kepentingan sendiri. Mana-mana yang mereka lihat lantang, cepat-cepat dipujuk, ditawar itu ini termasuk jawatan agar mulut mereka tersumbat.

Yang harus rakyat sedar, kita mestilah sentiasa peka dan sedar akan kuasa. Jangan diperalatkan dan dipaksa bersetuju. Sedar tak sedar ketaksuban sudah berjangkit kepada penyokong parti Pakatan Rakyat. Pemimpin, dasar, pelan mereka dianggap terbaik dan tidak boleh dikritik. Jika dikritik melenting, dikutuk dan dimaki hamun, dituduh agen umno. Inilah proses pembodohan yang secara tidak disedari (atau mungkin disedari) ditanam oleh ahli politik walau di dalam parti mana sekali pun. Apabila aku mengkritik Manifesto Rakyat tanpa OKU, aku dan saudara Rosli Ibrahim yang cacat penglihatan dimaki hamun malah mula dijeling masam oleh ahli politik termasuk penyokong-penyokong yang kebanyakannya masih baru dan hanya melekap di depan komputer. Seolah-olah parti itu milik peribadi mereka sahaja. Cukup cantik, jangan diusik-usik, kami tahu yang terbaik. Itu kata mereka. Disuruhnya juga kita bersyukur, macam orang umno.

Apabila timbul kes seorang anak wakil rakyat menggunakan AP bapanya untuk membeli kereta mewah yang sangat mewah, bermati-matian penyokong mempertahankannya dengan hujah 'itu hak dia', 'salahkah dia menikmati sedikit kemewahan hasil perjuangan' dan macam-macam lagi walhal orang dah bongkar sikap temberang anak pemimpin itu. Ini bukan isu hak dia atau apa, ini persepsi. Kalau berceramah selalu kita petik kisah khalifah Umar Abdul Aziz atau Umar Khattab yang langsung memelihara diri dari sebarang persepsi khususnya melibatkan ahli keluarga, tapi bila timbul bab ini, lesap semua tazkirah - keluar segala hujah taksub. Apabila aku membantah cadangan orang politik kawasan aku yang mahu mengambil artis realiti fantasi yang tak tentu hala pendiriannya semata-mata mahu menarik khalayak ke majlis rumah terbuka, mereka berkata ini politik baru dan kita mahu 'tarik crowd'. Aku mencadangkan nama artis kita yang sudah lama menghasilkan karya melawan tapi ditolak kononnya tak popular. Ya! Kita terjerat dengan budaya popular dan glamour. Sebab itu sambutan masuk artis arus perdana cukup gila-gila, diarak ke sana-sini. yang sudah lama menghasilkan karya mereka tak sokong. Mereka bukan mahu angkat seni tetapi mempergunakan populariti orang lain demi kepentingan mereka.

Aku banyak terluka tentang isu OKU ini ditangani. Kalau ada yang kata ini perjuangan berkepentingan peribadi sebab aku ada anak OKU, hey! Pendidikan percuma bukan perjuangan peribadi kamu yang ada anak normal? Ketika aku menyokong itu, mengapa tak kata aku pejuang yang tidak hirau kepentingan peribadi? Tapi....sebelum itu, jangan label aku pejuang. Jauh sangat tak layak. Cuma aku dapat sedikit merasa kepayahan OKU ini. Menjadi OKU tidak susah, tetapi hidup sebagai OKU di Malaysia agak susah. Kesedaran masyarakat terhadap keperluan OKU sangat lemah. Yang orang politik ajar duit, duit, duit. BN dan PR berlumba-lumba siapa bagi duit banyak.

Yang paling asas apa? Potongan 50% cukai taksiran terhadap OKU? Berapa peratus OKU di Selangor ada rumah sendiri? Gaji minimum RM1500? Berapa ramai OKU bekerja makan gaji? Menjual tisu dan main muzik tepi jalan berapa gaji minimum dan mampu beli rumahkah untuk dipotong separuh cukai taksirannya?
Yang paling asas ialah masalah asas itulah! Pekerjaan! Pendidikan! Bukan naikkan elaun atau itu ini percuma sahaja...
Janganlah sombong dan segan memanggil wakil golongan ini untuk berbincang tentang merangka pelan dan strategi. Kenalilah mereka. Tapi berhati-hati sebab ada juga yang teringin nak jadi YB atau cuba mengambil kesempatan. Itu biasa.

Mari kita bertenang, jadi waras, kurangkan sombong. Jangan memperbodohkan dan diperbodohkan!

1 comment:

akasia said...

Assalamualaikum...Aku punya adik OKU..alhamdulillah masih lg mampu berjalan dan kesekolah walaupun hospital adalah rumah kedua semenjak dia kecil sampai sekarang. jadi aku faham serba sedikit perihal 'pemberian kerajaan' pada golongan ini, faham serba sedikit akan penerimaan masyarakat sekeliling..aku setuju dengan tulisan tulisan saudara mengenai OKU. Pada aku kerajaan memang ketepikan warga OKU..jika di bandingkan dengan negara di mana aku menumpang tuah sekarang, aku sebak bila setiap hari melihat kenderaan khas sekolah yang ambil dan hantar seorang remaja lelaki yang tidak mampu gerak kan tangan dan kaki yang berkerusi roda. Tidak perlu ibu bapa yang menghantar kesekolah seperti mana anak cukup upaya yang lain..aku kagum dengan kerajaan negara ini yang menyediakan kenderaan khas untuk OKU cerdik pandai ketempat kerja..bukan kenderaan milik syarikat tetapi milik kerajaan.ya itu adil..orang lain yang bukan OKUada bus, metro, train dan tram untuk ketempat kerja dan warga OKU juga punya pengangkutan awam khas ke tempat kerja. Special pada OKU kerana hanya perlu membayar 50% -0% dari harga tiket.belum lagi dikira pemberian rumah percuma kepada golongan ini..aid medical untuk OKU..sekiranya perlu operation sekalipun, operation dahulu duit cerita kemudian..bukan seperti di Malaysia duit dahulu operation cerita kemudian..segala macam kemudahan untuk rakyat dari negara yang tiada hasil minyak seperti Malaysia..