Thursday, November 15, 2018

Baran dan marah marah

Siapa yang tak baran waktu darah muda penuh mengalir dalam tubuh?  Aku pun baran juga dulu. Pantang ada yang menguji,  cepat betul nak menyinga,  nak bertempik. Hebat betul rasa diri. Lagi pulak bila kita rasa kita di pihak yang boleh menang ikut celah mana pun. Lagilah kuat rasa.

Kita baran sebab kita rasa yakindiri dengan keupayaan kita berhadapan dengan orang yang kita rasa boleh makan.  Jarang kita berhadapan dengan orang yang sama baran. Jarang buku bertemu ruas.

Mengapa boleh baran?  Sebab selalunya pada kebanyakan keadaan kita sebenarnya orang biasa yang gemar ketawa, gembira dan baik?  Siapa yang mempengaruhi sikap kita?  Diri sendiri,  keluarga,  tempat kerja,  persekitaran dan apa kecenderungan kita dalam berfikir. Politik?  Hahhaha... Itu tempat orang Bermuka muka. Tak payah masuk. Politik macam candu. Kuat tarikan untuk kita masuk dalam kancahnya yang menyala nyala tu.

Masa baran kitalah hebat. Orang kita tengking.  Bini kita sekeh. Anak kita jerkah. Mak bapak kita jegil.

Baran. Tak ada apa yang hendak dibanggakan dengan sikap itu. Roda kehidupan berputar.  Bila sampai masa turun,  yang baran asyik tampar bini akhirnya akan terlantar lemah tak bermaya dan bini yang ditampar itulah yang menjaga kencing berak kita. Mana gagahnya kita?  Menangislah hari hari kita sebab menyesal. Itupun nasib baik bini tak campak kita tepi longkang dan cari orang lain. Baran kononnnn!

Tapi marah marah perlu ada. Kita marah bila kita diperlekehkan. Kita marah kita ditipu. Kita marah bila kita dibuli,  dipijak,  ditindas. Lalu dengan kemarahan kita bangkit bersuara dan bertindak.  Tindakan yang kita rasa berbaloi untuk meredakan api kemarahan kita. Ada orang menjadikan kemarahan sebagai suatu pemangkin untuk dia bangun berjaya. Untuk membuktikan yang dia bukan seperti apa yang diperkatakan sehingga membuat dia marah. Ada yang hancur dalam bertindak kerana membalas dendam. Kemarahannya diterjemahkan dalam bentuk membunuh potensi diri.

Pernahkah kita membuat orang lain marah? Wajarkah?


"Jangan buat macam tu,  Mat. Tuhan marah. "

Tuhan pun marah? Samakah marah kita dengan kemarahan Tuhan. Jika sifat amarah adalah nafsu paling rendah martabatnya bagi insan dalam pendakian menuju makam makam lawamah,  mulhamah,  mutmainah,  mardhiah,  radiah dan kamaliah,  bagaimana dengan marah Tuhan?

Itu cerita lain,  bang. Berselak selak berlapis lapis berangkai rangkai...