Monday, June 14, 2010

lelaki misteri karya tuhan

Dalam seronok-seronok jumpa kawan-kawan dan sosok-sosok terkenal di pesta buku alternatif semalam, aku tersentuh apabila terjumpa seseorang yang sangat aku kenali dulu. Aku merapati dan menyapanya.
Sepuluh tahun dulu (sewaktu menaip sepuluh tahun dulu ini, aku tak dapat putuskan sama ada jarak waktu itu singkat atau lama), sewaktu mengajar dan sekaligus menjadi warden asrama sebuah sekolah di Pahang, dia adalah muridku. Dia sangat unik dan misteri. Pelajar-pelajar lain dengan kumpulan masing-masing berkawan, dia menyendiri. Dengan dunianya. Dia berjalan seorang diri berteman beg sandangnya, main seorang diri dan bercakap-cakap dengan dirinya. Kalau ada pun seorang dua sesekali duduk berbual dengannya. Anehnya, jika selalu terjadi pergaduhan sesama pelajar atau kes buli, tak pernah pula dia menjadi mangsanya. Mungkin budak lain tak mahu mengganggunya.
Aku masih ingat sewaktu lepas makan malam, semua pelajar mesti ke surau untuk maghrib. Hujan lebat dan surau lebih kurang 300 meter dari asrama. Budak-budak lain akan mengikut tepi-tepi bangunan atau susur gajah supaya tidak basah. Dia tidak. Dia mengeluarkan baju hujan dari beg sandangnya - salah satu barang misteri yang sering aku tertanya-tanya apa isi yang ada di dalam begnya terjawab. Dia memakai baju hujan dan berjalan tenang meredah hujan lebat menuju surau. Dia tinggal lebih kurang 15 km dari sekolah. Apabila hujung minggu atau cutii sekolah sering juga aku ternampak dia merayau di pekan. Kadang-kadang waktu malam. Masih dengan beg sandangnya. Kadang-kadang berbaju hujan. Ya, bercakap-cakap seorang diri.
Sebagai warden aku sering juga buat pemeriksaan di dorm-dorm dan kelibatnya sangat aku perasan. Pernah aku memeriksa buku catatannya sewaktu dia sedang mengulangkaji pelajaran di kelas persediaan malam. Catatannya penuh unsur-unsur protes. Aku teringat bait "My life is wild" tulisannya. Aku tak pasti sama ada itu karangannya sendiri atau dipetik dari mana-mana lirik lagu. Tetapi jika itu karangannya sendiri pun aku percaya. Hey, dia adalah salah seorang pelajar yang sering mencatat keputusan peperiksaan yang baik di sekolah.
Lepas SPM aku dengar dia menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi di Trolak. Aku terus lupakan dia sehinggalah petang semalam.
Aku merapatinya yang sedang asyik menyaksikan persembahan dan bertanya sama ada dia masih kenal aku. Dengan senyum jujurnya, dia menggelengkan kepala. Aku tahu dia jujur. Mungkin juga fizikal aku yang semakin berisi, tidak bermisai lebat lagi dan sudah berambut panjang membuat dia tidak perasan. Tetapi apabila sham mengingatkan dia yang aku bekas gurunya, dia sekali lagi menggelengkan kepala. Tak mengapalah. Mungkin aku kurang berkesan dalam hidupnya membuatkan ingatannya terhadapku luput.
Hari ini dia sudah 28 tahun tetapi masih begitu. Sewaktu duduk makan bersama kawan-kawannya di restoran Annexe, dia memilih untuk duduk di hujung sekali. Tidak menyampuk kawan-kawannya yang sedang rancak berbual. Sesekali dia menoleh ke arah lain dan berbual-bual dengan dirinya.
Dia kata dia tidak bekerja. Aku faham mengapa. Kalau aku bapanya sudah pasti aku tak mahu dia berjauhan dengan aku. Paling sayu melihat dia jalan terdengkot-dengkot sekarang. Tak tahu kenapa.
Fadhil tidak pernah ku anggap kurang siuman. Dia manusia unik lagi misteri. Fadhil ada dunianya sendiri. Lahirnya untuk kita fahami erti hidup. Dia karya misteri dari Tuhan.

3 comments:

Anonymous said...

heh.. kau pulak yg boleh ingat nama dia
dia langsung tak cam dgn kamu
macam dah terbalik :)

-abg-

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

aku juga masih misteri

Anonymous said...

... mamat nie macam dalam cerita 'beautiful mind' ke...

D'ayo