Sunday, July 7, 2013

pesan Pak Jab

Suatu hari penghujung tahun 1990 aku berkunjung ke tingkat empat Creative Enterprise , pejabat majalah Gila-Gila berjumpa penghulu kartun, Rejabhad (Pak Jab). Setiap Sabtu ada bengkel kartun yang dikelolakan arwah.

"Cuba anda tengok kartun ini. Apa pandangan anda." tanya Pak Jab. Seperti biasa, arwah memang gemar menggunakan bahasa yang teratur dan bersastera.

Aku amat-amati kartun kiriman seorang kartunis yang mencuba nasib di ruangan bakat baru itu. Di Gila-Gila ada ruangan mencungkil bakat baru seperti Mekar di GG (ramai legenda kartun bermula di sini), Mak We Korner (yang melahirkan kartunis Cabai dan kakaknya Whitesnake), Pak We Korner, Senyum Skot (untuk Anggota Keselamatan), Senyum Felda, Senyum Pelajar (yang telah menyiarkan kartun pertama aku) dan sebagainya. Aku lupa siapa pelukisnya tetapi stroke kartunis itu amat cantik.

"Ya! Stroke kartun ini sangat cantik. Line kemas, bersih, cukup bagus. Tetapi anak dara yang cantik jika tidak cerdik dan nampak bodoh belum tentu orang suka." Kata Pak Jab berkias. Pak Jab memang suka berkias-berlapik. Aku, baru habis SPM terangguk-angguk.

"Kalau lukisan dah sebegini cantik idea biarlah bagus, bermakna dan berisi. Lihat kartun ini hanya bercerita tentang siapa kentut paling busuk? Sayang dan rugi! Kartunis mesti dilihat bijak." tambahnya lagi. Aku faham. Kepalaku sekali lagi mengangguk sambil memerhatikan dinding bilik kecilnya yang penuh ditampal dengan kartun-kartun kiriman kartunis baru seperti aku. Aku ingat.

**********************************************************************

Seorang kawan menghulur sebuah novel/ buku cerita Bahasa Melayu yang dilabelkan 'indie'.

"Best buku ni, kau cuba baca, aku rekomen." Dia memberi.
Aku membaca satu bab yang dia usulkan. Sekejap sahaja terus aku berhenti. maaf! Mungkin aku kolot. Tetapi aku masih belum boleh menerima carutan dan unsur 'blue' yang selamba dihidangkan di novel atas nama indie. Aku ada juga menulis kata carutan tetapi aku masih jijik jika ia seperti sengaja dibuat. Apalah yang hendak dibanggakan jika ada perenggan menceritakan "dapat menjilat kelentit" atau perkataan "fuck!" "pantat!" dan sebagainya hampir memenuhi buku. Aku tidak bermaksud menghalang kreativiti pengkarya, cuma aku tidak boleh bersama.

"Orang kita ada caranya untuk menulis benda begitu. Kalau kejantanannya tak berfungsi, kita guna 'patah dayung', 'daun sirih' untuk alat sulit wanita, 'si awang' untuk kelamin lelaki." Kata Pak Jab. Aku teringat cerita Periwira Mat Gila awal-awal apabila Mat Gila memakai pakaian burung dan berjaya menembusi istana Tuan Puteri. Mereka terlanjur dan gambaran yang digambarkan adalah air menitis di atas daun keladi.

Mungkin kita sudah ketinggalan kot? Atau anda suka tulis begitu dan biarkan anak-anak anda menatapi karya anda? Mungkin anda sudah ke depan. Aku tidak!



2 comments:

Shahrul Yusof said...

Mungkin yang menulis tu masih bujang lagi. Bagi kita yang dah ada anak ni, dok jaga anak dari influence benda-benda tak senonoh, alih-alih sendiri yang bikin karya yang melucah tak tentu pasal. Awkward kalau anak sendiri dapat tau.

Anyway, sekarang ni ada lagi ke program macam 'Bengkel Kartun' ni? Sejak arwah Pak Jab dah takda, aku tak pasti sama ada program semacam ni masih lagi berjalan atau tak.

kulupSakah said...

tak pasti lak ada lagi atau tak oleh mana2 kartunis