Wednesday, July 6, 2011

HIKAYAT PENYAKIT KUNING


HIKAYAT PENYAKIT KUNING
oleh Ronasina

Alkisah bermula cerita di sebuah negeri bernama Malassiasia. Rakyatnya hidup berbilang bangsa, sengsara berduka di bawah konsep 1Merana. Kais pagi nak makan senja, kais malam nak bayar hutang keliling kepala. Tidak seperti Menteri Perdana, hidup mewah di dalam istana, beg tangan isterinya saja segudang banyaknya. Berbagai warna berbagai jenama, harganya sudah tentulah teramat istimewa. Tidak mengapa, beban cukai dihempapkan ke jemala rakyat jelata.
Inilah ceritera baru nak bermula, kisah Menteri Perdana yang gundah gulana. Entah apa petaka penyakit ganjil mula melanda. Tidaklah tahu bagaimana punca, bak kilat virus datang menyerang tubuhnya.

Menteri Perdana jatuh gering,
segala dilihat semuanya kuning
masuk tandas nampak kuning
tengok dinding warna kuning
kucing melintas berbulu kuning
sarapan telur setengah masak nampak kuning
pendek kata semua kuning
tidak ada yang tidak kuning
semuanya kuning belaka

Dalam keadaan gering yang semakin parah, Menteri Perdana tetap tak mahu kalah, depan pegawai dia tunjuk gagah, seolah-olah tiada masalah. Mesyuarat bersidang seperti biasa, untuk mengetahui perkembangan semasa, segala menteri melapor berita, untuk pengetahuan sang Menteri Perdana.

"Wahai Menteri Pertanian dan Tumbuh-tumbuhan! Bagaimanakah keadaan projek pertanian kita?" Soal Menteri Perdana. Menteri Pertanian tersengih kerang, mata yang layu tetiba terang, mujur laporan sudah siap dibentang, betul salah cerita belakang.

"Inilah laporan projek pertanian kita wahai Menteri Perdana yang sangat kami kasihi lagi disayangi. Ke semuanya sedang menjadi-jadi. Padi sudah masak dan sawah sudah MENGUNING......."

"Arghhhh!!! Jangan sebut kuninggg!! Beta tak boleh dengar...tubuh beta akan jadi seram sejuk dan perut memulas-mulas. Tolong teruskan tapi berhati-hati dengan perkataan.." jerit Menteri Perdana sambil menekan perut. Muka pula berkerut-kerut bagai diserang angin senggugut.

"err..ampun Menteri Perdana. Seterusnya juga projek tanaman durian, rambutan gading dan mangga harum manis di sebelah utara semuanya sedang masak meranum dan berwarna........"

"Jangan sebuutt warnanya. Beta tahu warna buah-buahan tersebut kuning. Arghh!" Kali ini Menteri Perdana jatuh berguling-guling sebab terdengar perkataan kuning yang beliau sendiri sebutkan. Tapi beliau kuatkan semangat dan bangun semula duduk di takhtanya. Isterinya yang bertubuh besar tidak sempat bangun sebab terlalu berat. Jika tidak, dia akan bangun mengangkat Menteri Perdana dengan tangannya yang gagah perkasa.

"Sudah! Menteri Pengangkutan pula bagaimana?" Tanya Menteri Perdana menahan sakit. Mulutnya tersebik-sebik.

Menteri Pengangkutan berdiri gagah membentang laporan. " Kenderaan-kenderaan awam kepunyaan kita banyak yang rosak. Kontraktor yang mengambil tender membaiki kenderaan kita sudah lari. Tapi jangan risau, patik akan mencari kontraktor yang lain dalam YELLOW Pages..."

Kali in bukan kepalang. Penyakit kuning semakin menerjang. Menteri Perdana tergolek terlentang, terdengar YELLOw matanya terbuntang. Bak disampuk mambang, isterinya juga tiba-tiba tumbang, menggigil tubuhnya bak ikan ternampak memerang. Jangkitan kuning tak dapat lagi dihalang.
Menteri Kesihatan pantas bangkit, berfikir mencari penawar penyakit. Virus mesti dibunuh cepat sebelum semua menteri juga mendapat. Seluruh pelosok negeri dicanang, diminta semua bomoh dan pawang, kalau handal silalah datang, ubatkan penyakit yang menyerang, segala hadiah dan ganjaran usahlah bimbang, lumayan gila bang!
Tapi entah apakah malang apalah dosa, sudah seribu tabib berusaha, semuanya sia-sia belaka, penyakit kuning tetap bermaharajalela. Menteri Perdana, isterinya dan seluruh menteri dalam istana sugul, hatinya masygul.

"Wahai Menteri Perdana jangan bimbang, masih ada peluang. Patik ada kenal seorang pawang. Dia bukan orang sembarang, dari timur dia datang. Nanti patik uruskang!" Kata Menteri Kesihatan. Menteri Perdana mengangguk setuju, nak bercakap sudah tak lalu, mentelah pula melihat isterinya terlantar macam paus biru.

Pawang Braheng menghadirkan diri. Berpakaian hitam segak sekali. Songkok dan keris sama tinggi. Menteri Perdana memandang sedikit geli. Bukan tak kenal sahabat lamanya ini, sama-sama mencari katak buat umpan mengail haruan dan keli. Perangai menipunya dulu semua orang tahu. Tapi Menteri Perdana tak peduli, sakit punya pasal Braheng pun jadi.
Pawang Braheng duduk mencangkung seperti katak di celah kangkung. Kemenyan dibakar setanggi dinyala, serapah jampi mula bergema.

"Huh! Dok leh jadi nih! Ni gara-gara tersampuk mambang kuning ni!" Rungut Braheng sambil lidah terjelir-jelir. Menteri Perdana dan isterinya terus jatuh terjelepuk. Menteri Kesihatan segera berlari dan berbisik di telinga Pawang Braheng, "Tolong jangan sebut perkataan 'kuning'. Dia alahan!"

Menteri Perdana tercungap-cungap, isterinya tersangap-sangap. Pawang Braheng meneruskan cakap. "Ambo buleh ubatkan ni denge syarat sediakan semangkuk pulut KUNING..."
Sekali lagi Menteri Perdana dan isterinya menggelepar. Bak kerbau tertelan selipar.
"Jangaaannnn!!!" Jerit isteri Menteri Perdana.
Menteri Kesihatan juga bertempik," Teruskan jampi dan mengubati Menteri Perdana dan jangan cakap apa-apa, nanti lain jadinya, bertambah parah pula."
Pawang Braheng tersipu kerana tak sedar perbuatannya menambah sakit Menteri Perdana dan isteri. Dia lalu tersengih menahan malu.

Kali ini tiada dapat dikawal lagi. Menteri Perdana tiba-tiba tegak berdiri sebelum jatuh mengancing gigi. Mulut berbuih-buih busuk sekali. Isterinya juga begitu, memandang Pawang Braheng menjerit seperti ternampak hantu. Tubuhnya yang besar menjadi lesu. Jatuh menghempap suaminya yang dah lama kaku. Kedua-duanya tak bergerak dan layu.
Seluruh isi istana menjadi gempar. Masing-masing terkejut besar. Pawang Braheng juga panik dan pelik, mengapa tiba-tiba kedu-duanya mati selepas melihat mukanya yang memang tak cantik.

apakah kesudahannya? dapatkan akhbar Suara Keadilan terbaru edisi 23 warna kuning!

7 comments:

.drakula. said...

bro...sampai bila harus bermimpi?

Anonymous said...

Najib apeco makin tido tak lena. smlm dah kena tarik telinga dgn bik mama pasai janji stadium.

kulupSakah said...

mimpi masih percuma bro, bila mimpi pun kena bayar baru kita lawan kot? ngeluhhhhh..

anon,
kihkih

Cikli said...

"Berpakaian hitam segak sekali. Songkok dan keris sama tinggi. Menteri Perdana memandang sedikit geli. Bukan tak kenal sahabat lamanya ini, sama-sama mencari katak buat umpan mengail haruan dan keli. Perangai menipunya dulu semua orang tahu"
kalu nak tahu itulah pandi kutty

kulupSakah said...

hanya sebaris je ayat aku tinggalkan sebagai penamat cerpen tu...cuba beli SK atau korang reka endng dia

diana din said...

woi apa sambungan cita ni?? aku bukan taknak beli SK, tapi kat sini takdak juallll
dah 5/6 kedai srtkabar aku carik, takdek jual :'(

Anonymous said...

Menteri Perdana jatuh gering,
segala dilihat semuanya kuning
masuk tandas nampak kuning
tengok dinding warna kuning
kucing melintas berbulu kuning
sarapan telur setengah masak nampak kuning
pendek kata semua kuning
tidak ada yang tidak kuning
semuanya kuning....

TARIK BTG PUN WARNA KUNING .. HAHAHAHA ...