Tuesday, October 20, 2009

Tak Ada Tajuk Yang Sesuai!

Ilham menulis entry ini datang ketika siaran tv berbayar yang asyik dok ulang cerite yang sama sepanjang malam tu (Always Same Thing Replay Overnight) sedang menyiarkan program cekup bini orang dan make up kan dia agar kelihatan cantik dan seksi. Jurusolek dan perunding imej tu dok gelakkan pakaian, aksesori bini orang tu dan kemudiannya bini orang itu dibawa shopping lalu dipakaikan cantik2 sebab asalnya sang suami dok komplen bini dia asyik pakai baju kurung je.. Huh! panjang sungguh ayat ni...

Masalahnya ialah:- Mengapa ada 'pihak' lain yang akan memutuskan yang itu baik, yang ini buruk, yang itu cantik yang ini hampeh?
Mereka yang menentukan dan mereka yang meletakkan piawai. Siapa mereka? Dan trend ini mula membarah! Jika tak sesuai dengan standard mereka, kau boleh blah.

Lagu anda tidak terbaik jika anda tak tersenarai dalam Juara Lagu mana2 carta radio atau TV. Taraf anda jadi mahal jika anda berada di situ. Seorang kawan lama aku meletakkan harga sekian-sekian untuk aku bayar persembahannya kerana katanya "aku dah masuk Muzik-Muzik'..
Prettt! Aku hadiahkan cirit pada dia..Hah! Kau tak popular pun!

Akhirnya kita kurang keyakinan diri dan jati diri terhakis. Seorang komposer terpaksa mencipta lagu yang menepati selera stesen radio popular agar dia boleh terus mentedarah. Jangan cerita pasal visi, misi dan perjuangan sendiri. Tanggungjawab sosial tu ibarat bahasa sanskrit. Tak siapa paham dan menghayatinya. Penerbit drama tiada pilihan lain, terpaksa berkompromi dengan RTM, Media Prima atau Astro untuk berkarya. Kena ikut garis panduan.
Cuba tengok drama dan filem kita. Macam kunyit hidup..semua channel muka tulah, cerita macam tulah, lawak macam tulah.. *apanerakakah yang pergi ke atas? (watde hell is going on?)

Semuanya kita buat kerana orang. Bukan kerana kita sendiri percaya akan apa yang kita nak buat. Kita tak yakin akan apa yang kita hasilkan. Kita hanya menyerah pada keadaan. Tak berani buka line baru. Sebab kita tak bisa. Nak suruh mereka ubah mereka tak tahu. Budaya bebalisme masih membelenggu kita hingga kreativiti kita terkincit. Orang-orang bahlol yang diberi amanah untuk menjayakan semua ini gagal kerana merasakan diri mereka amat berkuasa dan sewenang-wenangnya bikin peraturan sendiri. Bodoh betul.

Dalam filem Anak Sarawak arahan Rahim Razali dulu ada memaparkan seorang bekas pejuang menentang penjajah (lakonan Ahmad Yatim) enggan menyertai program pertanian tajaan kerajaan walaupun kononnya program itu bertujuan baik. "Baik macamana pun tujuannya, ia tetap memaksa. Saya punya tanah, jadi kalau saya nak tanam lalang pun tiada siapa boleh menghalang saya".

Ya! Sistem yang memaksa. Kita kena ubah sistem ini sebelum kita jadi lesu dan letih.

Program di ASTRO dah tamat. (Aku pasang Astro ni 2 bulan lalu sebab tak bagi bibik boring jaga anak-anak aku sepanjang hari. Ceh! Kerana orang jugak).

Bawah ni lirik REVOLUSI MENTAL nyanyian kawan aku arwah Loloq sewaktu dia bersama kumpulan Rastari. Album kumpulan ni keluar tahun 1992 dengan tajuknya "Tak Ada Tajuk Yang Sesuai".

REVOLUSI MENTAL

Hey kalian semua
di kota dan di desa
inginkan perubahan
fahamilah semua
Hey kalian semua
di atas dan di bawah
inginkan perubahan
mengertilah semua
kami inginkan revolusi mental
kami inginkan revolusi mental
kami inginkan revolusi mental
Aku ingin mengubahnya tapi masih lagi ragu
kamu ingin mengubahnya tapi tak tahu dan tak bisa
kamu perlukan revolusi mental
kamu perlukan revolusi mental
kamu perlukan revolusi mental

3 comments:

uncle gedek said...

Kapitalis bro....

kulupSakah said...

tepat lg menepatkan!

Unknown said...

lawatan sosial kebangsaan.