artikel ini telah disiarkan di akhbar Citra Keadilan 11 januari 2011, dapatkan..
Penulis: Kulupsakah
Seniman adalah insan istimewa yang dikurniakan bakat untuk melahirkan
sesuatu mengikut kecenderungan mereka berdasarkan pemerhatian tajam
dan sensitif deria pengamatannya bagi dinikmati oleh manusia yang
lain. Karya yang dihasilkan adalah rakaman dari apa yang dilihat,
didengar atau dialami oleh dirinya ataupun masyarakat sekelilingnya.
Ekspresi ini diterjemahkan dalam bentuk puisi, lukisan, nyanyian,
catatan dan khalayak yang tidak mampu melahirkan karya turut dapat
berkongsi perasaan seterusnya menikmati apa yang dipersembahkan.
Karyawan yang jujur akan merakamkan realiti. Untuk itu, memerdekakan
jiwa dan tidak menjadi hamba kepada manusia lain adalah pra syarat
menjadi karyawan yang agung. Karya yang dihasilkan mestilah jujur dan
berpijak di bumi yang nyata. Karya yang jujur biasanya akan melangkaui
batas masa dan zaman. Ia bersifat malar segar dan menjadi pencetus
idea, diperdebatkan dan dihormati. Karya yang mengelak untuk bercerita
tentang realiti adalah karya yang gagal dan tipu. Potret Monalisa,
filem-filem P.Ramlee, Arabian Nights atau Mahabhrata akan dikenang
zaman berzaman antara karya 'berjiwa' yang lahir dari jiwa yang jujur.
Di Malaysia hari ini bilangan para karyawan boleh dikatakan menjangkau
ribuan orang. Pelukis, penulis, penyair, pencipta lagu, penyanyi,
pelakon dan bermacam-macam lagi terus aktif melahirkan karya mereka.
Persoalannya berapa ramai yang mencipta fenomena? Mengapa karya-karya
hari ini gagal diingat dan disambut khalayak? Kerana karyawan kita
hari ini gagal/ takut/mengelak untuk menceritakan realiti. Keluh kesah
rakyat di jalanan, warung kopi, rumah pangsa, setinggan, penjawat awam
tidak diangkat dengan betul. Cerita-cerita di televisyen bersifat
khayal. Kalau ada pun drama kisah orang miskin yang melampau sungguh
miskinnya tidak ada dialog " Bagaimana mak nak bayar yuran sekolah
kau, nak... yuran mahal. Dulu kata sekolah percuma tapi bohong
semuanya. Harga barang semakin melambung...bla..bla..". Dialognya
merapu entah apa-apa.
Awal 90an dulu, penulis sering menghadiri program baca sajak, teater
dan sebagainya yang dianjurkan oleh para seniman tanahair. Ketika itu
isu Perang Teluk, pembunuhan etnik di Bosnia-Herzegovina maka
bergegarlah pentas dan padang sajak-sajak garang membelasah Amerika,
Serbia atau pun Zionis. Tetapi ketika negara hari ini tunggang
langgang dengan isu rasuah, salah guna kuasa, pembaziran wang dan
sebagainya ke mana perginya suara-suara tajam ini menyorok? Malah
ketika isu Bahasa Melayu dibuli pun mereka ini memekakkan telinga dan
mengecutkan diri. Berapa ramai generasi hari ini ingat mereka yang
pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara selain A. Samad Said?
Siapa lagi yang lantang selain Dinsman, Azizi Abdullah dan Shahnon
Ahmad? Ke mana tenggelamnya mereka bersama buku-buku tak laku mereka
dan puisi-puisi bodek di akhbar-akhbar arus perdana? Takkan hanya
bercerita tentang sawah padi, kampung halaman saja? Cerita rakyat
ditembak polis bagaimana? Tidak terusikkah kesenimanan mereka apabila
orang asal Bakun dirampas tanah adat mereka?
Jangan salah faham! Ini bukan isu politik, ini isu rakyat. Kartunis
Zunar dilokap hanya kerana melukis tentang isu rakyat ketika
kartunis-kartunis lain masih melukis lembu mengayuh basikal atau ayam
bermain gitar. Zunar bukan kartunis politik tetapi kartunis rakyat.
Masalah di Malaysia kerana suka label melabel. Tetapi jika karyawan
menghasilkan karya politik, apa salahnya? Mengapa membelenggu dan
mecipta sempadan?
Setengah abad merdeka masih lagi disogokkan dengan lagu-lagu cinta
kecewa. Butakah mata penulis lirik dan komposer lagu dengan harga
barang yang semakin melambung dan kehidupan rakyat yang semakin
terjepit? Pekakkah mereka sehingga tak mampu mendengar riuh jentolak
meradak kampung Berembang, Chubadak dan Kerinchi yang sejengkal saja
dari pusat bandaraya? Tiadakah Iwan Fals (penyanyi Indonesia yang
lantang mengkritik dalam lagunya) versi Malaysia?Adakah lukisan atau
catan yang dihasilkan menggambarkan lanskap politik dekad ini atau
sibuk melukis conteng-conteng warna yang kononnya hebat dan jika tak
faham maka tidak berjiwa senilah kita? Melukis itu tidak mengapa tapi
itu sajakah? Tiadakah seorang karyawan filem membikin filem pejuang
kemerdekaan seperti Ahmad Boestamam atau Burhanuddin Helmi? Takut?
Kalau filem merdeka pasti sudah terbayang oleh kita filem itu pasti
akan memaparkan kisah perjuangan suci parti pemerintah sekarang. Tidak
bolehkah karyawan berfikir dari sisi lain bahawa tokoh yang disebut di
atas juga adalah pejuang? Barulah karya anda dilihat hebat,
kontroversial dan mengundang perdebatan yang akan menelurkan sejuta
ilmu. Jika dikritik atau dilabel dengan pro itu pro ini jawablah
sebagai seorang karyawan yang melihat dan menghayati sebagai seorang
karyawan. Bukan ahli politik atau pengampu.
Berbuat apa pun perlulah jujur termasuklah menghasilkan karya.
Menghasilkan karya mengampu demi menjaga periuk juga tidak ke mana
perginya. Buku tetap tak laku dan nama semakin tenggelam. Justeru itu
hari ini, karyawan generasi baru (ada juga yang lama) telah mengorak
langkah memecah tradisi. Mereka tidak lagi mengharap media arus
perdana. Mereka mencetak buku tulisan sendiri dengan kos semurah
mungkin. Seniman Fared Ayam, Rahmat Haron, Hishamuddin Rais dan
beberapa orang lagi terus berkarya di internet, pentas atau di
mana-mana ruang anti establishment. Fahmi Reza dan Amir Muhammad
mengutip dokumen-dokumen sejarah yang dicicirkan lalu bikin filem
pendek sendiri. Karya-karya ini akan berlegar di dunia maya dan akan
kekal sepanjang zaman kerana ia 'real' dan realiti akan selalunnya
relevan.
5 comments:
zaman sekarang kebanyakannya hanya karyawan cari makan..karyawan yg menghasilkan seni "berjiwa" boleh di bilang dengan jari...mereka bacul menentang arus kerana takut tak menang anugerah..hehe
salam bro..
hebat dan tajam sekali tulisan ini.
biasanya penjawat awam, bila nak pencen baru cakap pasal realiti.
masalahnya karyawan ni, tak ada istilah pencen, mereka berharap dapat masuk media perdana selagi hayat dikandung badan....jadi, tiadalah karya-karya realiti..
ada yang berkarya kerana nak popular.
ada yang berkarya kerana nak menyampaikan.
ramai yang berkarya kerana nak jadi paria.
macam aku
http://payabesarpedas.blogspot.com/2011/01/selamat-hari-lahir-tuanku.html
Karya yang berjiwa berfifat personal,
Tafsiran isu dari kaca mata tertentu..
Ada perkarya bukan niat mereka mahu glamour..
Tetapi kalau ada yang mahu mengangkat dan dibayar..
Takkan mahu ditolak..?
.......
++KOMIK PEDIH++
BEST!
Post a Comment