Thursday, February 17, 2011

kenapa saya bukan komunis?

aku jarang copy paste artikel orang tapi sewaktu ulangbaca buku "Pilihanraya vs Pilihan jalanraya Hishamuddin Rais aku tertarik dengan artikel di bawah ni. lalu aku search di internet dan aku copy paste di sini. Menarik!


kenapa saya bukan komunis?

Jika ditanyakan satu perkataan dalam negara kita ini yang paling tidak difahami, selalu disalahertikan dan sering disongsangkan maknanya; maka saya akan menjawab, communist atau komunis.

Satu ketika dahulu, Wilfred Burchett, seorang wartawan Australia, telah dituduh sebagai komunis oleh kerajaan konservatif Australia. Hak kerakyatannya dirampas. Beliau kemudian diberi suaka politik oleh Republik Rakyat Vietnam.

Sebagai wartawan, beliau terus menulis dan memimpin The Guardian Weekly yang diterbitkan di Amerika. Mingguan bebas ini telah menjadi bahan wajib untuk sesiapa saja yang prihatin terhadap perang Vietnam pada 1960-an hingga 1970-an. Anak muda dan siswa dari Melbourne, London, Paris hingga ke Berkeley - semuanya akan cuba membaca akhbar berhaluan kiri ini.

Apabila kerakyatannya dirampas Burchett telah ditanya oleh seorang wartawan: ‘Are you a communist?’ Tanpa berfikir banyak beliau menjawab ‘I am an Australian, mate.’

Ini berlaku dalam suasana Perang Dingin, apabila pertempuran ideologi antara kapitalisme dan sosialisme sedang hebat berjalan. Amerika Syarikat yang mewakili kepentingan kaum pemodal antarabangsa sedang mengancam negara-negara Dunia Ketiga yang baru merdeka atau sedang berjuang menuntut kemerdekaan.

Negara-negara Dunia Ketiga pula dibantu oleh blok Soviet dan China yang menyokong hak rakyat tanah jajahan untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Dalam suasana siasah inilah munculnya kesongsangan takrifan makna perkataan komunis itu di dalam negara kita.

Perkataan communist atau komunis berasal dari perkataan Perancis commune. Perkataan ini membawa makna daerah tempat tinggal satu kumpulan manusia. Jika ditukarkan ke bahasa Melayu, istilah itu bermakna mukim atau kampung. Semua warganegara Belgium, Perancis dan Switzerland tinggal dalam sebuah commune yang kemudian menjadi daerah dan akhirnya negara.

Apabila mula sampai ke Belgium, saya tinggal dalam commune Braine-le-Comte. Ini bukan bermakna saya menjadi komunis Braine-le-Comte. Apa yang terjadi ialah saya menjadi sebahagian komuniti dan masyarakat di commune ini.

Makna songsang

Perkataan commune membawa konsep komuniti dan komunikasi - perhubungan sesama insan - secara luas membawa konsep kemasyarakatan. Makna komunis seperti ini sengaja disongsangkan oleh penjajah Inggeris dan diterus digunakan oleh Umno hingga ke hari ini. Inggeris menyongsangkan makna komunis ini untuk terus menjajah Tanah Melayu. Mereka sedar bahawa satu-satunya kuasa yang boleh menumpaskan kuasa penjajah dan imperialis Inggeris di Tanah Melayu ialah kekuatan politik dan ideologi Parti Komunis Malaya.

PKM memang mengangkat senjata untuk membebaskan negara ini daripada terus menjadi tanah jajahan Inggeris. Mereka memang menembak mati musuh mereka - kapitalis dan pemodal - yang menjajah dan memunggah harta kekayaan negara kita. Mereka menjalankan taktik revolusi bersenjata untuk mempertahankan diri dan melawan kekuatan tentera Inggeris dan tentera negara-negara Komanwel.

Bagaimanapun harus disedari bukan semua pejuang dalam PKM itu insan komunis. Dan bukan semua yang mengangkat senjata itu ahli Parti Komunis Malaya. Mereka sebaris bersatu berjuang kerana ingin membebaskan Tanah Melayu.

Penjajah Inggeris yang terdesak telah menjalankan perang saraf yang licik untuk menggambarkan bahawa komunis itu jahat dan ganas, pembunuh dan bandit. Kepada mereka yang mempunyai pegangan agama, komunis ditohmahkan anti-Tuhan dan tidak mempercayai agama.

Hingga ke hari ini, saya lihat takrifan ini masih digunakan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Momokan komunis terus digunakan untuk menfitnah musuh-musuh politik Umno.

Kerana Perang Dingin telah selesai, maka menjadi kewajiban intelek saya untuk menerangkan kepada orang ramai apakah sebenarnya insan yang dipanggil komunis. Telah sampai masanya momok komunis itu dihapuskan. Kita sebagai rakyat tidak perlu lagi takut kepada perkataan komunis itu atau mudah ditakut-takutkan dengan momok komunis.

Bagi saya, seorang komunis itu adalah insan yang tinggi inteleknya, luas pembacaan dan luas bidang pemikirannya. Insan komunis adalah seorang internasionalis - berjuang bukan untuk bangsa tetapi untuk seluruh kemanusiaan. Insan komunis menolak kotak-kotak kecil yang memisahkan sesama manusia. Secara tidak sengaja dia dilahirkan di Tanah Melayu, maka kancah perjuangannya di bumi Melayu ini. Jika dia dilahirkan di Berlin maka di Berlin pula dia akan berjuang.

Insan komunis tidak mempunyai sikap dan nilai perkauman. Jika dia seorang lelaki dia akan menghormati wanita bukan sebagai objek seks tetapi sebagai manusia. Insan komunis adalah seorang feminis dan tidak sexist nilai hidupnya. Komunis tidak mempunyai nilai prasangka tanpa penelitian yang rapi. Seorang komunis menghormati budaya-budaya dan cara hidup insan lain.

’Tiga Abdul’ bukan komunis

Insan komunis akan melangkah satu kilometer ke hadapan untuk melakukan kebaikan. Insan komunis tidak pernah berundur daripada berfikir, menulis dan bercakap tentang kebenaran. Insan komunis menghormati kepercayaan mereka yang beragama dan juga menghormati kepercayaan mereka yang tidak beragama.

Insan komunis mungkin beragama dan mungkin tidak beragama. Seorang komunis adalah intelek tulen yang mengabadikan hidupnya kepada kebenaran.

Pernah pada tahun 1977, saya ditanya oleh seorang anggota Parti Buruh di Australia, apakah ‘Tiga Abdul’ yang ditahan di bawah akta ISA itu orang-orang komunis. Jawapan saya cukup senang. Mereka bukan komunis kerana mereka tidak mempunyai nilai-nilai yang setaraf dengan nilai insan komunis. Adalah satu komedi absurd jika ‘Tiga Abdul’ ini diangkat ke taraf komunis.

Baru-baru ini Siqiu yang membuat rayuan pilihanraya untuk masyarakat Tionghua telah dituduh sebagai komunis. Tuduhan ini adalah salah dan tidak betul. Telah amat jelas bahawa Suqiu bukan komunis - mereka tidak mempunyai nilai-nilai komunis yang unggul, suci dan bersih. Mereka bukan mewakili golongan tertindas - mereka mewakili golongan pemodal pertengahan bangsa Cina. Berdolak-dalik bukan sifat insan komunis. Insan komunis pendiriannya teguh dan tidak pernah bergoncang. Datanglah apa saja, termasuk tali gantung - insan komunis tidak pernah mengundur.

Saya juga selalu ditohmah sebagai seorang sosialis dan komunis. Saya rasa ini adalah satu penghormatan yang terlalu tinggi untuk diri saya. Saya tidak sanggup menerima penghormatan ini. Saya terpaksa menolak kerana saya tidak mempunyai kualiti dan nilai-nilai hidup seorang insan komunis.

Menuduh saya sorang komunis samalah seperti mengangkat martabat saya ke satu tahap insan yang begitu suci.

Seminggu sebelum saya meninggalkan kota London setelah 20 tahun tidak pulang ke Malaysia, saya telah ditanya oleh seorang wartawan wanita Malaysia di kota itu - apakah saya seorang komunis?

Lalu saya menjawab ‘saya bukan komunis - saya daripada suku Biduanda dari Jelebu, Negeri Sembilan’.

10 comments:

Marhaenonymous said...

pendedahan tentang makna sebenar komunis yg telah lama di salahertikan..terima kasih kerana sudi berkongsi bersama khalayak pembaca blog ni.

uncle gedek said...

Kita selalu dipaksa melihat cerita dari satu sudut je... Menjengkelkan!

sabdakalam said...

..arwah datuk aku dulu komunis.(^_^)kg aku pon banyak bekas komunis, banyak dah arwah. Ada seorang saudara keluarga(makcik) yang aku sangat berminat nak tahu cerita dari dia. Dengar cerita dulu 'pakar bom dan jerangkap samar' tapi yg pasti dia seorang pejuang dan masih nampak..

Cikli said...

ente kartunis dan kolumnis. pejuang juga tu.

Cikli said...

ente kartunis dan kolumnis. pejuang juga tu.

Irwan said...

aku nak jadi muslim....

Anonymous said...

Bro,

lama aku tak komen dalam blog ko ni..

1.Kalo macam tu elok saja minta penulis tu tinggal di negara yang mempunyai ideologi komunis..kenapa mau balik ke malaysia??Jika bro kulup pun sehaluan aku cadangkan baik bro kulup pun pi cari kawan2x atau pi negara pegangan komunis tu..

2.Nak tau jugak bro kulup dan penulis tu memang baik sangat dan rapat ke dengan orang2x ideologi komunis. contoh kat malaysia ni orang2x cina yang ada ideologi komunis.

3. Cuba 'scan' hati tu ada rasa sayang dan puja sangat ke dengan puak2x komunis tu.Boleh pi lah jengah-jengah diorang kat kampung2x baru cina dalam malaysia ni..puak2x tu masih ada dan turun temurun ke anak cucu diorang.Mereka nilah yang menguasai ekonomi kat 'negara terkutuk' ni.Mereka dengan ideologi komunis nilah yang membuatkan mereka hidup senang serta terkaya di Malaysia ni..

4.Yang masih ketinggalan saudara mara bro kulup dan sepupu sepapat bro.

5.lagi bagus kalo kita tukar pulak ideologi kita orang melayu kepada ideologi komunis.Biar kita pulak jadi komunis dalam negara sendiri lepas tu kita kuasai pulak puak2x komunis sedia ada..baru cantik bro...

6.heee..heee..ada berani??..lepas ni orang melayu kita pulak jadikan bukit pusat judi, buat disko macam2x, segala unsur judi kita bagi berleluasa, ekonomi kita rampas dan kuasai, kuasa serta pemerintahan kita guna cara yang paling berdisiplin 'Kejam dan kuku besi'..haa lebih kurang macam tu..biar kita pulak semua melayu pegang ideologi komunis..kita lawan musuh kita dengan senjata kalo puak2x lain tu melawan pemerintahan kita..

7.Ok Bro??kalo hati bro memang yakin komunisme itu terbaik...aku cadangkan bro bagi tau LKS dan DSAI tubuhkan pemerintahan komunisme..kalo setakat percaya je tapi takut nak praktik dan laksana baik tak payah bro..berkokok lebih tak guna, cakap dan tulis tak guna akal..dungu...

8.Yang hishamuddin rais tulis tu cuma nak laku dan tarik perhatian orang yang seangkatan dengan dia je..dia mana fikir pasal orang islam dan hati bangsa melayu lain..dia ni salah seorang yang telah Allah tarik nikmat hidup dia dan akal dia agar sentiasa melihat orang lain salah..dia je betul...tertutup pintu hati dan akal..

9.dia ni cakap dan tulis beranilah..tapi nak laksanakan idea tu untuk umum..hampeh...jenis telur tak ada dia ni..tutup muka dengan misai dan jambang..cuba sekali sekala bersihkan muka tu biar nampak macam orang komunis..baru real..ini macam pak arab je..

10.Heh..hampeh korang lah..

anon tanpa nama-ikhtiar selagi bernyawa

panglipulara said...

anon 12:13

lu xtau apa lu ckp...komunis yg dlm cte tu xd mengena-ngena dengan apa bangsa sekali pn...
lu memang totok umno, nahu ckp2 lu menggambarkan pemikiran yg agak sempit...

Anonymous said...

panglipulara,

1.Ehh..ideologi komunis tu terbuka sangat ke??? ideologi kita ni sempit???

2.ko tak faham ke aku tulis 'ideologi komunis' bukan bangsa komunis..kebetulan je kot ideologi komunis tu bersangkut paut dengan bangsa cina,haaa..haaaa..lagi2x negara cina..sikit2c tempias kat negara rusia..huuu..huuu

3.So..maaflah ya kalo ko terasa ko ni pun spesis yang punya ideologi komunis..sayangilah puak2x komunis kerana ianya pasti menjamin kehidupan yang sejahtera untuk negara Malaysia...

anon tanpa nama-ikhtiar selagi bernyawa

Anonymous said...

lu komen main sedap mulut je..banyakkan bacaan beb..luaskan pandangan..kalu lu nak sokong umno pun sokong lah..selama ni kita banyak ditipu beb..banyak yang jahat kita dengar pasal komunis.tak ada agama la..mereka tu beragama.aku pun terkejut dapat tahu. cuba taip dalam you tube video pkm..silap-silap lebih kuat amalan dan pegangan agama daripada kita ni...