Sunday, February 13, 2011

p.ramlee nostradamus politik negara

artikel ini telah disiarkan di akhbar Suara Keadilan 2 keluaran 8 februari 2011.

penulis: Kulupsakah

Dekad terakhir abad 20 sehingga hari ini, awal dekad di abad ke 21 adalah dekad reformasi. Tiada siapa boleh nafikan. Api reformasi menggelembung, memecah, meletup dan laharnya muntah di mana-mana. Ia meletup di Myanmar, Nepal, Thailand, Indonesia juga di Malaysia. Mutakhir ini menyaksikan kebangkitan rakyat di Tunisia, Yaman dan Mesir. bagai mata air di bawah tanah, ia telah menjalar ke sana Reformasi mengubah segala yang bersifat arus perdana (mainstream) menjadi tidak relevan. Siaran televisyen, drama tv dan filem, majalah dan buku, industri muzik dan hiburan, komik dan kartun yang tidak mendengar keluh-kesah marhaen dikuburkan oleh rakyat. Di Malaysia, kita dapat lihat apa yang disebutkan tadi berlaku. Rakyat membunuh media yang tidak merakam suara mereka. Jika masih hidup, ia tawar, hambar dan tinggal nyawa-nyawa ikan. Satu-satunya yang masih relevan sejak zaman merdeka sehingga ke hari ini di era reformasi ialah filem P.Ramlee. Ini kerana P.Ramlee berani melawan arus. Bukan tiada pengarah Melayu ketika itu tetapi P.Ramlee telah mengambil langkah berani dalam berkarya. Mendengar rintihan rakyat lalu mengadunkannya mengikut selera penonton.

"Bukanlah saya gemar menghasilkan filem komedi tetapi kehendak pasaran. Namun begitu saya tidaklah membuatnya main-main." Begitulah ungkapan yang pernah beliau nyatakan. Benar, P.Ramlee menjadi pengkritik sosial, menyindir dalam sinis sejak filem pertama arahan beliau "Penarik Beca" sehinggalah yang terakhir beliau mewasiatkan filem "Laksamana Do Re Mi" untuk tatapan generasi selepasnya. Penarik beca cerita cinta tak kesampaian jejaka marhaen Melayu kasta pariah (boleh gunakah perkataan ini?) dihalang oleh bapa sang dara yang merasakan keturunannya terlalu mulia untuk digandingkan dengan sang penarik beca yang miskin papa kedana itu. Cerita ini cerita sedih tetapi yang menjadi lucunya di era reformasi lagu "Azizah" dan "Engkau laksana bulan" di dalam filem tersebut telah diharamkan oleh kerajaan kerana Azizah adalah nama presiden Parti Keadilan Rakyat manakala bulan adalah lambang bendera Parti Islam seMalaysia (Pas). Filem terakhir beliau pula, Laksamana Do Re Mi menyaksikan bagaimana sebuah kerajaan Pasir Dua Butir telah dirampas oleh menteri Fasola persis Barisan Nasional merampas negeri Perak dari kerajaan Pakatan Rakyat. Deria seniman P.Ramlee seolah-olah kasyaf (juga diharap istilah ini tidak menakutkan) dan dapat melihat apa yang akan berlaku di tanahairnya sendiri. Bahkan, P.Ramlee juga pernah tak dibenarkan masuk ke negeri Perak kerana 'hal keluarga dengan istana'. P.Ramlee seperti Nostradamus yang bisa meramal masa akan datang. Nostradamus yang hidup kurun ke 15 terkenal dengan ramalan-ramalan dunianya dalam bentuk pantun empat kerat.

Sudah diketahui umum dan menjadi gurau senda di internet dialog Sudin dalam Pendekar Bujang Lapok, "Alif mim nun wau, Alif tendang wau - sarkis!". Entah kebetulan atau memang P.Ramlee berpendirian yang alif, mim, nun, wau (Umno) memang sarkis penjajah tidaklah diketahui tetapi semangat patriotik dan bencikan penjajah telah dibuktikan P.Ramlee dengan menghasilkan "Sarjan Hassan". Ketika hari ini Perdana Menteri sibuk dengan konsep 1Malaysia yang cuma retorik walhal Umno sarat dengan semangat perkauman, P.Ramlee sudah lama menerima kaum lain sebahagian dari Malaysia. Tontonlah filem Ali Baba Bujang Lapok babak sarjan penyamun (lakonan Ibrahim Pendek) berbual dengan apek tukang kasut untuk menyiasat di mana rumah Kassim Baba. Setelah diberitahu di mana rumah Kassim Baba, sarjan penyamun tergesa-gesa meninggalkan apek yang bersungguh-sungguh mahu membawanya ke rumah tersebut. Ketika itu apek itu terhalang kerana diserbu pelanggan yang ramai datang hendak membaiki kasut. Apek tukang kasut telah mengucapkan dialog yang sinis," Tak usah gaduh-gaduh, gua pun local citizenship." Apa maknanya itu?

Konflik cinta terhalang akibat berbeza darjat memang popular sehingga hari ini tidak kiralah filem Melayu atau Hindustan sampailah ke filem Yusof Haslam dan Razak Mohideen. Banyak filem sebegitu telah dihasilkan tetapi P.Ramlee berjaya menyelitkan unsur-unsur lain di dalamnya. Filem Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku di antaranya. Sultan yang ego telah dibuli oleh nujum Pak Belalang agar masuk merangkak di dalam gua seperti menyindir meminta Sultan 'turun padang' dan jangan asyik megah di singgahsana sahaja. Tidak hanya cinta, P.Ramlee membongkar keluh golongan pekerja yang ditindas majikan melalui filem Labu dan Labi. Kemudahan tempat tinggal dan gaji pekerja bawahan si Labu dan Labi telah diabaikan oleh majikannya Haji Bakhil yang gemar membuli. Labu dan Labi takut memprotes sebaliknya hanya berani melawan dan membuli Haji Bakhil di dalam angan-angan dan mimpi sahaja. Kaum majikan sebenarnya bukanlah berani sangat jika golongan pekerja berani memprotes. Sebagaimana Labu yang terus melawan kerana menyangkakan dia masih bermimpi, sang majikan tiba-tiba berubah menjadi takut. Ia seperti mengajar kita bersatu dan berani menyuarakan hak kita.

Sebagai muslim, P.Ramlee bereksperimen dalam filem Semerah Padi bagaimana sebuah negara ditadbir mengikut undang-undang yang termaktub di dalam kitab Al Quran. Tidak seperti filem 'agama' yang pernah dihasilkan di Malaysia yang seperti kuliah dan ceramah, P.Ramlee menggambarkan indahnya menjalankan syariat Allah. Semerah Padi menunjukkan bagaimana Islam dijadikan panduan hidup yang memelihara keamanan dan menegakkan keadilan dengan penuh hikmah. Menyingkap filem "Musang Berjanggut" pula, ulama pengampu kerajaan dibidas kerana sibuk menyuruh orang berbuat baik sedangkan dirinya seperti bapa ketam yang berjalan mengereng. Ungkapan "Ini undang-undang kanda yang bikin, itu semua boleh padam" oleh Menteri Nikah Kahwin sangat pedas kerana dalam sesuatu hal, undang-undang boleh dipinda mengikut selera mereka yang berkuasa. Rakyat biasa buat akan dihukum tetapi orang atas tidak mengapa.

Tulisan ini sekadar memetik sepintas lalu sahaja beberapa filem P.Ramlee untuk mengajak kita berfikir bahawa cabang reformasi amat luas dan perlu digunakan sebaiknya oleh penggiat seni dengan penuh kebijaksanaan. Kezaliman harus ditentang dan untuk meruntuhkannya, ia perlu dikepung dari semua sudut sama ada melalui partai politik, NGO mahu pun kegiatan seni. Mahu bikin sesuatu bikinlah agar dapat difikirkan oleh anak cucu, jangan tinggalkan sampah untuk dibebani sebagaimana setiap kepala generasi hari ini dan esok menanggung hutang negara yang amat besar.

16 comments:

author faethal said...

The Best artikel aku pernah baca berkaitan P.Ramlee, but it from a different side.

Patutla Diqin asyik puji lu..
Wakaka...

Ahmad Tarmizi said...

Best. Tulisan yg bagi senang org paham, tak berbelit2.
Tahniah

Marhaenonymous said...

P.Ramlee mmg berfikiran jauh dan mendahului zaman..kalaulah beliau masih hidup tentu akan ada banyak lagi filem kritikan sosial yg beliau hasilkan..hahaha.

Fa-T said...

tepat...
memang tepat...
benda2 ni akan terus berlaku...
cuma ssedar atau tidak..

Anonymous said...

Plot bersalam di antara P Ramlee dan Sarimah yang memakai sarung tangan dalam Tiga Abdul sangat menarik. Filem itu ditayang di sekitar PRK Tenang.

Irwan said...

apa yang arwah nampak pada zaman tu, masih replay lagi dalam zaman ni.

malah zaman ni telah amplifykan effect yang ada pada zaman tu 70kali ganda...

P Ramlee bukan Nostradamus
Cuma apa yang dikatakannya itu adalah penyakit biasa bangsa manusia...

Seperti juga apa yang dikatakan dalam Al-Quran....

Wallahualam

alien said...

yeh, banyak kita boleh belajar dari filem beliau apabila kita menonton dengan minda yg terbuka

SHAM metal said...

macam ada relevan plak cerita ni.. bayangan bayangan kini muncul jadi nyata... kerajaan bawah pokok?, parti bulan? keadilan? banyak lagi...

Cikli said...

salam bro,

penelitian hang memang hebat.

boleh sambung lagi ke?

Kamparianz boyz said...

Terbaik bro..maaf aku nak tambah ckit bro.dalam seniman bujang lapok,ada 1 babak p.ramlee kata"Betalah SETAN Aminurrasyid".Dipercayai p.ramlee sengaja menyindir raja-raja melayu kerana mereka mengkritik filemnya yang berjudul ANTARA 2 DARJAT secara membuta tuli..maaf andai aku tersalah info..wallahualam..

Kamparianz boyz said...

Terbaik bro..maaf aku nak tambah ckit bro.dalam seniman bujang lapok,ada 1 babak p.ramlee kata"Betalah SETAN Aminurrasyid".Dipercayai p.ramlee sengaja menyindir raja-raja melayu kerana mereka mengkritik filemnya yang berjudul ANTARA 2 DARJAT secara membuta tuli..maaf andai aku tersalah info..wallahualam..

Along Tapa said...

bro..p.ramlee sebagai nostradamus tu tak mungkin...tapi kalo ko kata p,ramlee tu sebagai manusia yang alert dengan keadaan sosial, aku tabik..

lagipun masalah dunia ni sama jek berulang2...kemodenan arini sama jek macam ulang tayang filem dulu2..tapi berlatar belakangkan bangunan tinggi jek...kan??

Gorengbaek - Koleksi bahasa kias dulu-dulu....

Hangit Habis dah - Kenapa nak double standard??

kulupsakah said...

jika aku kata muka kau 'seperti' brad pitt adakah kau brad pitt?
haha...ini seni propaganda dlm penulisan yg harus kita faham.
tq atas kritikan

Anonymous said...

bro pramlee mmg kasyaf..terpulang nk percaya ke tk..

Payeik said...

Dlm pendekar bujang lapok, lihat plate no motor yg sudin repair sampai terbang naik atas. "S 46"

Payeik said...

Dlm pendekar bujang lapok, lihat plate no motor yg sudin repair sampai terbang naik atas. "S 46"