Sunday, January 31, 2010

Anak muda kuasai dunia!

Bangun anak muda bangun!
Tekak dah mual dengan kelentong si oligarki!
Bangun bangun!
Student power! Student power!

Berikan seribu anak muda, bergegarlah dunia.
Putera-puteri sejati jiwanya merdeka
bukan tunduk tuli dan buta.
Pecacai ditarik hidung bukanlah kita..
kalau takut potong saja punai bagi makan anjing gila!

Friday, January 29, 2010

gua kaya bila umur gua 50, gua tahu!



Hari ini 2 tahun yang lalu sewaktu sedang memandu di federal highway, sms sampai ke henfonku datangnya dari Dayah.."Bang! Sedihnye..Loloq dah meninggal!"..aku telefon Dayah, line tak clear!

Aku terkejut. Sham yang sedang tidur panik. "Kenapa?" tanya Sham.
Aku terus menelefon nombor Loloq dan seseorang menjawab.
"Betulkah apa yang saya dengar?" tanyaku.
"Ya!" katanya. "Jenazahnya sampai kejap lagi."

Aku terus ke Sungai Buloh. Sampai di surau berdekatan rumahnya, aku lihat ramai orang. Hujan lebat. Kawan aku Cikgu Seli sampai dengan motosikal.
Aku masuk ke bilik mandi jenazah. Ku buka selimut yang menutupi jenazah. Dadaku berat. Aku sedih tapi aku belum pernah menangis untuk sebuah kematian. Kematian Tok, Pah, Mak Alang, Ayah Tua dan ayahanda Raja MUhaiddin bapa mertuaku semuanya ku terima dengan redha. Tiada air mata. Tapi aku tetap sedih.

Mamat Khalid mengesat matanya. Tam Spider, Nan Saturnine, Firdaus Keyboard, M.Nasir dan ramai lagi kulihat gagal mengawal sedih. Ilham, anak M.Nasir tersedu-sedu. Aku berpaling ke sebelah kananku apabila terdengar dua wanita kecil molek bertudung dan serba hitam teresak-esak. Ah! Ella dan Jojie. Jaclyn Victor, Amy Search, Joe Wings, S.Amin Shahab, Farihin dan sangat ramai. Mereka tak kenal aku.

Aku teringat Loloq seperti guru aku yang mengajar banyak falsafah kehidupan. Tentang Tuhan dan diri- di mana kesebatiannya. Seringkali kami melepak dan kadang2 mencangkung di tepi hiway Sg.Buloh bicara soal Tuhan, alam dan insan. Tentang hayat. Dia beritahu aku, tanah apa yang nampak dulu apabila banjir Nabi Nuh mula surut dan apa yang berlaku selepas itu. Dia ajar aku tentang teori penghanyutan pulau dan sebagainya.

Dia boleh baca tulisan tangan Jawi lama dengan pantas mengalahkan aku sewaktu aku bawa sebuah kitab yang aku dapat dari seorang kawan.

"Gua tahu gua akan jadi kaya bila gua 50 tahun!" katanya yang sangat ku ingat.
Ya..kaya bermakna dah cukup segalanya.
Maka itu dia meninggal pada usia 50 tahun setelah segalanya cukup untuknya.
Seperti pengalaman "Laukku Cukup Masin" yang diceritakan.

Al Fatihah! JUga Mufti Selangor Ishak Baharom yang meninggal dunia pada hari yang sama.

Wednesday, January 27, 2010

da making of pidi'em

Biasanya begini -

Zunar akan panggil aku untuk dia kemukakan idea kasar ceritanya. Aku akan mencatat dan bertukar-tukar idea. Kemudian kami bawa idea itu kepada kartunis-kartunis dan kartunis2 akan memberi respons dan menokok tambah idea2 lagi.
Aku kemudiannya akan menulis skrip dan melakar secara kasar jalan cerita yang benar2 dikehendaki (seperti storyboard) dan membincangkannya dengan Zunar. Biasanya pertengkaran berlaku. Zunar mahu itu mahu ini, aku tak mahu itu tapi mesti begini. Kemudian kami ketawa berdekah2 dan keluar dari bilik dengan linangan air mata dan termengah2 kerana ketuaan kami. Cerita siap. Batuk-batuk lepas ketawa biasanya akan menjadi virus dan setiap kali menerbitkan sesebuah buku, hampir semua kami akan jatuh sakit bergilir2.
Art, Jonos dan Orangorang pun melukis dan hasil lukisan mereka melebihi apa yang kami jangkakan. Sekali lagi Orangorang mewarna secara digital dan proses akhir yang paling memeningkan ialah memasukkan dialog, merekaletak dan menyusun kemas dilakukan oleh artis grafik berpengalaman, Naza.

Proof reading dilakukan oleh semua orang supaya tak berlaku kesilapan pada karya-karya tersebut.

Jeng-jeng... di bawah ni cerita "Sumpah di bumi Komisen" .
Sewaktu hendak memulakan cerita ini, aku jatuh sakit. Sebelum tu Jonos. Terpaksalah Zunar turun padang draf kasar skrip dan jalan cerita untuk dilukiskan Jonos, Art dan Orangorang. Aku datang semula selepas sihat untuk mengolah sedikit saja beberapa bahagian dan sekali lagi Zunar menyempurnakan skripnya.

..dan ini dari PD ke Mongoria

Cerita ni diadaptasikan berdasarkan kisah yang benar berlaku beberapa tahun dulu. Dengan maklumat yang kami dapat, aku draf jalan ceritanya. Aku jatuh sakit dan Zunar mengolah sedikit jalan ceritanya untuk dilukiskan 10 muka surat oleh Oly.
Hasilnya? Kah kah kah....aku sendiri tergelak tengok air tangan Oly ni...

AWASI TAYANGANNYA!!
Pelancarannya Sabtu 30 Januari 5 ptg di Selangor-KL Chinese Assembly Hall, Jalan Maharajalela.
harga maintain RM10.

Duli Patik Pacal

ulang siar dari entry aku April 2009 dulu... keratan akhbar oleh Pak Raja

Monday, January 25, 2010

Barua dan Teman


haha...tajuk entry skema je..

woit! Jom tonton cerita ni.


Diarahkan oleh Teddy Chan Tak Sum dan beberapa penulis skrip seperti Chun Tin Nam, Yuen Sai Sang, Guo Jinli, Wu Bing (ada lagi yang tak dikredit) dan pelakon-pelakon hebat seperti Wong Xueqi, Tony Leung Kar Fai, Hu Jun, Tse Sing, Eric Tsang Chi Wai, Leon Lai Ming dan cameo Jackie Cheung gua jamin best yeop!


Aktivis demokrasi, Chen (lakonan Tony Leung) dapat mesej Dr Sun Yat Sen, tokoh revolusioner yang juga rakannya akan datang ke Hong Kong untuk bertemu dengan pimpinan2 aktivis lain dalam usaha menggulingkan dinasti Qing. Akhbar propaganda milik Chen dibiayai oleh saudagar Li Yue Tang (Wang Xueqi) marah kerana Chen dikatakan mempengaruhi anak lelaki tunggalnya Chung Guan (Wang Bo Chieh) menyertai pergerakan revolusinya.

Dinasti Qing telah menghantar orangnya Xiao Guo (Hu Jun) untuk memastikan Dr Sun mati sebelum pertemuan tersebut. Mereka telah menyerang dan menculik Chen sementara kawan2 Chen telah dibunuh.
Li telah menemui nota yang ditinggalkan Chen sebelum diculik agar meneruskan misi mengawal keselamatan Dr Sun agar tidak mati dibunuh. Li mengubah pendirian politiknya selama ini dan berhasrat membantu Chen. Dia kemudiannya mencari sekumpulan orang untuk menjadi pengawal Dr. Sun. Misi ini sungguh berat. Chen berjaya membebaskan diri dari tahanan dan mereka telah merancang strategi yang seseorang perlu menyamar menjadi Dr Sun dahulu kerana mereka tak tahu bagaimana bentuk ancaman bahaya yang akan musuh mereka gunakan untuk membunuh Dr Sun. Anak Li, Chung Guan telah terpilih dalam undian tersebut dan dia sanggup menghadapinya walaupun pada mulanya Chen sendiri tidak sanggup mengambilnya.

Korang saksikanlah sendiri bagaimana hebatnya mereka mempertahankan pejuang mereka sehingga wira-wira tak didendangkan ini mati. Ada yang usianya masih belasan dan ada yang akan berkahwin hari esoknya. Nama-nama mereka dikreditkan sebagai pejuang. Siapa mereka? Adakah tulisan ini tertinggal sesuatu? Korang tontonlah sendiri. Emosi aku terusik menonton filem ini.


Aku teringat bagaimana strategi anak-anak muda PKR menyelamatkan Anwar dari ditangkap sewaktu Saiful buat laporan polis diliwat Anwar. Bagaimana beberapa orang menyamar jadi Anwar dan yang lainnya menjerit "Reformasi" beberapa kali sehingga orang tak tahu dan tak dapat kesan bagaimana Anwar dibawa dari bilik hotel Quality Shah Alam turun ke tempat parking menuju kedutaan Turki. Waktu itu kami berkampung sampai subuh di lobi hotel tersebut.

Saturday, January 23, 2010

Untuk adik-adik mahasiswa!


bersama adik2 mahasiswa di depan balai polis dang wangi 11.30 malam sebentar tadi

Untuk adik-adik siswa yang berdemo menentang auku pagi tadi dan ditangkap, teruskan perjuangan!!
Kamu ditangkap kerana mereka gentar dengan kamu. Biar sedikit tapi berbisa dan percayalah ia akan bertambah ramai. Kalau kamu tak ditangkap maknanya kamu kurang berbisa. Lihat demo kepala lembu atau demo depan bangunan Pas serta demo pasal Allah. Kenapa tiada tangkapan? Sebab itu demo bodoh dan tak berbisa.
Teruskan!
Anak muda mesti berani!
Berani hidup berani mati! Berani terang berani gelap!

Syabas dari aku!

misteri kari kepala" ikan mata satu"


Awe, jiran selang 2, 3 pintu dengan kedai kami bertanya Sham, isteri aku bila nak buka cafe.

"Saya dah tak tahan asyik dok kedai mamak tu!" kata Awe dengan loghat Kelantannya sambil dia menjuihkan bibirnya ke arah restoran mamak depan.

Memang kami berhajat nak buka kafe yang menghidangkan makanan ringkas dan ringan. Bolehlah kawan2 dan aktivis2 bersantai melepak minum-minum sambil buat program. Tapi modal masih belum cukup.

"Kakak janganlah makan kedai mamak tu. Saya dengan kawan2 selalu hanya minum saja. Kami dah buat ujikaji dah kak!" katanya.

"Ujikaji apa?" tanya Sham.

"Lauk dia tu entah berapa hari punya tah.." kata Awe.

"Mana kau tahu? Ujikaji apa?" tanya Sham lagi.

"Kami cungkil sebelah mata kari kepala ikan tu kak. Esoknya kami tengok ikan tu ada lagi. Esoknya ada lagi. Esoknya ada lagi. Dua minggu kak oii!" katanya. "Saya cakap kat mamak tu boleh tak bagi saya ikan tu free" Mamak tu cakap kena bayarlah. Saya cakap sampai bila ikan buta sebelah ni nak duduk sini? Kelam kabut mamak tu tembelang dia pecah ."

"Masya Allah!" jerit Sham.


nota: aku suka makan mee goreng dan nasi goreng ayam kat pelita bangsar, sedap. Tapi kari kepala ikan dia GAGAL!

Wednesday, January 20, 2010

mereka lupa bikin kebenaran

Mata makin layu. Syafiqsunny sudah berdengkur di sebelah. Alin isteri Zunar yang duduk di depan juga sudah diam. Zunar memandu dalam keadaan letih selepas program tamat jam 1.00 pagi di Ipoh Timur tadi. Harap-harap kopi di R&R Sg. Perak tadi memberi sedikit kekuatan. Harus sampai Penang sebelum subuh sebab esok pagi kena hadiri satu lagi program di sana.

Aku : Walaupun depa kata ada banyak filem Melayu baguih la ni, gua masih rasa belum yakin
untuk menonton.

Zunar : Ya! Sebab mereka tak buat filem yang orang ramai mahu tonton. Mereka langsung tak
mahu pijak realiti. Mereka mahu mengelak sedangkan rakyat gelisah mahu sesuatu. Apa yang rakyat
gelisah? Macam-macam. Tidak langsung mereka mahu sentuh soal itu.contohnya babak orang biasa
yang mengeluh tentang tol dan harga barang naik. Ini pun depa tak sentuh! Langsuuung tak mahu..

Aku : Kita tak suruh depa condong ke arah siapa tapi soalnya 'realiti'.

Zunar : Apa yang berlaku dalam 10 tahun ini di Malaysia? Mana karyawan filem kita? Apa
yang kita telah dokumenkan untuk generasi 50 tahun akan datang? Mereka tak tahu apa pun
yang berlaku sekarang.

Aku : Kita dah lihat banyak filem period dan epik, Sarjan Hassan P.Ramlee gambarkan
realiti waktu zaman sebelum merdeka. Begitu juga Bukit Kepong . Karyawan 90an juga bikin filem zaman tu
macam Leftenan Adnan dan Embun. Mengapa tak buat cerita zaman ini? Tiada apakah yang berlaku sekarang? Takde langsungkah?

Zunar : Persoalannya takut, jangan kata nak buat filem tentang Anwar atau reformasi, menyelitkan sedikit unsur dalam filem mereka pun tak berani. Takut kena gam, kena haram. Masalahnya mereka sendiri pun belum cuba.

Aku : Bukan filem saja, painting- sajak- atau apa-apa karya seni tidak dihasilkan oleh karyawan atau seniman yang mengaku perakam suara marhaen. Ketika rakyat mula bicara, karyawan tertinggal di belakang dan cuba mengajak orang lain berkhayal tentang lain. Tentang sawah terbiar, anak-anak muda meninggalkan kota dan mat rempit.

Zunar : Hahahaha! Betul! Sentuh atas saja tak sampai ke dasar. Mengapa sawah terbiar dan mengapa rempit berlaku , mengapa anak muda ke kota tak dihuraikan sedalam-dalamnya. Mana painting yang menceritakan gelombang reformasi? Tarakkkkkkk!! Seniman dan karyawan lebih umno dari umno.. Apahal mahu takut. Kau pandanglah sesuatu isu itu dari sudut seorang seniman. Tak boleh?

HAHAHAHAHA!!

Zunar : Apa yang depa takut pun tak tahu. Bikin filim bukan masuk politik. Katalah kau bikin filem pasal Burhanuddin Helmi punya perjuangan untuk merdeka. Apa masalahnya?

Aku : Ya! Itu dari sudut pandangan aku seorang karyawan. Aku boleh kata yang aku hormati pejuang lain tetapi aku berminat untuk mengadaptasikan Burhanuddin. Apa masalahnya? Orang lain buatlah tokoh lain, Hati Malaya ka? Haha!

Zunar : Bagi aku, kalau mahu mengangkat martabat filem Melayu atau karya lain, buat apa yang dimahukan rakyat. Sampaikan kegelisahan mereka. Macam filem Iran, mengapa popular? Aku rasa kalau kita tak laku di sini pun, ia meletup di luar.

Aku : Apa kata kita bikin filem Anwar? Pasti bom! Hahaha!

Zunar : Betul! Tapi takpe, kita bikin filem atas kertas cukup. Komik kita akan jadi storyboard yang dah siap untuk depa filemkan.

Aku : Gua ingat kalau Pakatan Rakyat memerintah suatu hari nanti, karyawan-karyawan inilah yang mula2 sekali terhegeh-hegeh mahu bikin filem perjuangan.

Zunar : Tentu sekali dong!

Hahahaha......

Alin tersedar, Syafiq menyapu air liur. Kami dah sampai jambatan Pulau Pinang. Aku teringat lirik Nasir Jani yang dinyanyikan M.Nasir (harap sifu pun kena dengar balik lagu ni) dalam lagu "Bikin Filim"..

"Mereka cuma bikin filim mereka lupa bikin kebenaran
Aku terlupa bikin filim aku bikin kenyataan"...

Monday, January 18, 2010

abu hasan penchuri


1990

Selalu dia datang ke Gerai Anep di CM, berbual-bual dengan kami sebelum atau sesudah bertugas. Namanya Abu, mat pet Bangsar. Pencuri sepenuh masa. Bermodalkan suratkhabar Utusan (kah kah! Akhbar ini juga bersubahat) yang dijadikan alat "cover line" dia mampu mencuri dengan pantas. Barang-barang curiannya dijual untuk mendapatkan dadah. Dia memang mahir.

"Kau ada baca-baca kot?" tanya aku..
"Sori! Pukau-pukau tak main aa..tapi Pak Cik aku memang pakai ilmu. Dia boleh curi duit bawah bantal orang yang sedang tidur tanpa orang tu sedar. Aku cuma pakai skil. Tu kau tengok kedai kaset tu!" Dia memuncungkan bibir tebalnya ke arah kedai kaset Horizon. Tersembur sedikit air liur dari celah dua batang gigi rongaknya.

"Bagi aku 2 saat saja, tauke tu berpaling saja aku mampu curi kaset dia." Musim sale di pasaraya membeli belah adalah pesta baginya. Kadang2 budak2 bola mengirim barang2 seperti stokin atau seluar pendek sukan kepadanya. Dengan seluar besar fesyen GQ (top masa tu) kau pasti tak mampu bayangkan bagaimana dia boleh peronyokkan sehelai seluar pendek sukan seperti tisu dan memasukkan sepuluh helai di sebelah poket seluar kirinya dan sepuluh lagi di sebelah kanan. Dan dia boleh keluar dengan selamat. Dia pernah meminjamku RM10 sebagai modal hendak ke Subang Parade. Dia mencuri jam dinding di kedai bawah dan menjualnya di kedai atas. Seperti yang dijanjikan, petang itu juga dia membayar semula hutangku.

Seminggu dia hilang. Apabila dia muncul dia mengatakan yang dia dilokap kerana tertangkap di Sungai Wang Plaza.
"Aku curi CD dan masukkan dalam baju. Aku dah sampai pintu keluar tapi guard nampak. Dia tolak aku sehingga jatuh dan 30 keping cd berlambak di atas lantai. Polis yang ambil keterangan terkejut bagaimana aku boleh curi sampai 30.' Dia ketawa.
"Aku tak kisah kena lokap cuma satu je tak tahan..boring! Kah kah kah!". Pernah dia kata sewaktu dilokap dia dapati pak ciknya juga berada di lokap sebelah. Terpaksalah dia menyorok2.
"Aku kena cari lawyer, bicara bulan 12 ni! Nak kena cari duit". Dan dia terus mencuri untuk mendapat wang membayar lawyer.

Beberapa bulan kemudian dia datang lagi.
:
"macamana, Cukup duit?" tanya Anep.
"Tak jadilah. Aku rasa aku kalah nanti!" jawab dia.

Aku tak tahu apa jadi selepas itu. Apakah Abu masih hidup hari ini ? Adakah dia masih di luar atau di dalam? Kalau di luar adakah dia masih mencuri? Kalau di dalam adakah dia serik? Seribu kali pun dihukum, Abu tetap Abu. Melainkan tangannya dipotong, dia mungkin insaf dan Allah mencuci dosanya dengan hukuman itu. Memenjara hanya menyeksanya dan dosa itu masih belum dibersihkan. Bagaimana pula pencuri2 kacak bergaya "di atas" yang mencuri juta-juta dan billion? Patutlah mereka takut akan hudud.

Sunday, January 17, 2010

aku, cinta dan kun fayakun

"Adakalanya sering ku tertanya-tanya
Mengapa tidak saja ku dilahir di istana.."

Jerit alunan suara serak Adi Jagat ditelan ngauman deru bas mini, kereta-kereta yang lalu di tepi Central Market menggamit aku duduk sampai ke malam.. Aku biasanya akan melepas lelah di sini setelah seharian bekerja sebelum pulang ke rumah. Aku kerja di seksyen 51A, PJ sebagai pomen di bengkel pemasangan trak polis hutan. Jika trak itu masih wujud lagi sekarang, akulah di antara orang yang memotong, mengikir, menggerudi, mengimpal besi dan logam tersebut secara manual sehingga ia menjadi badan trak. Boss dan penyelianya Cina dan semua pomennya kecuali aku berbangsa India. Hinggakan aku sendiri walaupun tak mampu bertutur tetapi boleh faham dan ketawa mendengar mereka berbual dalam bahasa Tamil.
Waktu itu dari PJ ke Bas Stand Klang 5 petang tidaklah sesesak sekarang lebuhraya persekutuan itu. Sempatlah aku menonton pengamen-pengamen menghiburkan warga kota. Menonton pelukis-pelukis memalitkan warna di kanvas sambil mencuri -curi skil mereka. Kemudian melepak di gerai cenderamata Anep, kawanku. Kadang-kadang aku melukis di situ. Pernah suatu hari aku melukis dengan begitu khusyuk dan apabila mengangkat kepala, aku dapati ramai orang mengelilingi melihat aku. Terus aku berhenti melukis dan blah.
Kawan-kawan peniaga amat mesra. Di sebelah kami gerai jamu Mustika Ratu (masih ada lagi hari ini walaupun bertukar pekerja) yang mana Laila, Delvina dan Nila ku anggap seperti kakak-kakak aku. Pernah suatu hari Nila (ibu saudara penyanyi kanak-kanak Andrian) begitu bimbang melihat aku sugul dan pucat.
"Kau ambil dadah ke Lup?" kata Nila sambil menyisir rambut aku dengan jari-jemarinya. Anehnya aku tidak membantah dan tidak pula berasa apa-apa. Setelah didesak berkali-kali aku menjawab yang aku sebenarnya belum makan sejak pagi lagi. Serta-merta dia menghulurkan not lima ringgit dan menyuruhku makanlah apa saja. Beberapa hari kemudian aku cuba membayarnya dan dia menolak. Puas kuunjuk tapi dia enggan malah seakan tersinggung. Mungkin persahabatan lebih bermakna dari uang baginya.

Satu lagi sebab mengapa Central Market sangat melekat di hatiku ialah kerana dia...Jasmine, amoi cina yang bekerja di kedai emas depan Mustika Ratu. Aku mengaku suka kepadanya dan saling kami tenung menenung. Tanpa kata. Mungkin juga kami masih belum faham bahasa mata. Anep mencabar aku mengajak Jasmine menonton konsert.
"Kalau dapat, aku sponsor tiket dan makan untuk date pertama kau!" cabar Anep. Dengan seribu harapan tapi kosong keyakinan aku pergi mendapatkan Jasmine. Kami berbual dalam suasana yang cukup menyenangkan tetapi dia terpaksa menolak dengan baik ajakanku kerana kebetulan konsert tersebut jatuh pada hari Krismas (dia kristian). Kami berbual serba sedikit tentang latar belakang dan percayalah, itulah kali pertama dan terakhir kami berbual. Esok-esoknya kami kembali tenung menenung, tak senyum atau berkata apa. Sesekali sesiapa yang tak tahan ditenung akan berpaling dan kemudian menenung lagi. Apa punya turrr!!

Suatu hari Nila berkata yang hari itu hari terakhir Jasmine bekerja kerana dia akan berhijrah ke Singapura esoknya. Aku ingin berkata sesuatu kepadanya tapi tak mampu. Kami hanya pandang memandang saja. Sehinggalah kedai emas itu ditutup dan dia berjalan pulang bersama kakaknya kami tidak berkata apa-apa. Sesekali dia menoleh. Dan esoknya - sehingga hari ini aku tidak jumpa lagi dengan dia.

Sejak itu aku mula berfikir tentang Kun Fayakun. Kalau Kun itu Tuhan suratkan apakah Fayakun itu dilaksanakan oleh kita? Aku punyai pilihan masa itu untuk bergerak merapati dia tetapi kerana aku tidak mahu maka ia tidak menjadi. Terlalu banyak "mujur" dan "nasib" dalam hidup ini. Jika tidak, mungkin hari ini perjalanan hidup tidak sama lagi. Dan apa yang kita lalui sekarang inilah yang terbaik dari Tuhan untuk kita. Atau apakah "tidak bergeraknya" aku pada masa itu telah disuratkan di dalam "kun" itu sendiri. (Hari ini aku telah faham akan Kun Fayakun dan tidak berhasrat untuk menghurainya namun aku alu-alukan kalian mengomen)

Oh ya! Waktu itu aku dah mula ketagih nikotin dan tar bernama dunhill....

Saturday, January 16, 2010

Kulup"tukartiub"Sakah kah kah kah!

Tukartiub sms aku minta nombor seorang kawan. Aku maleh tanya dia kat mana. Masih autsteseng kot. Maka itu aku ganti tukartiub jap.Kah kah kah!

Rekod 30,000 apam gubah logo 1Malaysia
Jan 15, 10 6:31pm
Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini mengiktiraf usaha pelajar Kolej PTPL di Shah Alam yang mencipta logo 1Malaysia dengan menggunakan 30,000 biji kuih apam yang dimasak sendiri oleh mereka.

Pengiktirafan berdasarkan penggunaan logo dari kuih.

Usaha yang bermula dari semalam itu disertai oleh 200 pelajar jurusan Hospitaliti serta Seni Kulinari yang membabitkan kos RM15,000 yang dikeluarkan pihak pengurusan kolej dalam usaha menyemai semangat kerjasama di kalangan pelajar.

Presiden Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kumpulan Kolej PTPL, Datuk Prof Mohd Shukri Ab Yajid berkata proses menyusun kuih apam berkenaan di atas sebuah meja di kawasan padang kolej itu dimulakan seawal pukul 8 pagi tadi.

Beliau berkata logo 1Malaysia itu disusun menggunakan kuih apam yang sebahagiannya dibalut dengan kertas berwarna biru, putih dan merah.

"Saya bangga kerana usaha yang dilakukan para pelajar ini dapat membantu mereka menjadi generasi masa depan yang kreatif dan kompetitif," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelajar kolej itu selesai menyusun logo 1Malaysia di Shah Alam hari ini.

Mohd Shukri berkata pelajar kolej itu mengambil masa empat jam untuk menyiapkan logo berkenaan dan diiktiraf oleh MBOR kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Usaha pelajar kolej berkenaan turut disaksikan oleh wakil dari MBOR iaitu penolong penerbitnya Azrene Manap.

- Bernama

KAH KAH KAH... inilah siswa kita..KAH KAH KAH... munkee ni semua bakal jadi kangkung setaraf Universiti Sintok. KAH KAH KAH....Takde benda lain ke nak buat rekod...KAH KAH KAH.... kueh apam? Nak perli isteri PM ke?.ops...silap... suami PM...KAH KAH KAH...mentang mentanglah BikMama tembam macam apam..KAH KAH KAH..Hentikanlah projek membodohkan Melayu...

Thursday, January 14, 2010

1990-2010

Dari desa nan sepi dia berjalan kaki
menuju ke kota indah penuh cita-cita
panas matahari yang bersinar
menjadi teman dan debu-debu di jalanan
sering mendakapi

(Lagu Pelukis nyanyian M.Nasir - lama lagu ni dah)

Aku sampai KL Disember 1990 dua minggu selepas SPM. Datang penuh harapan.Menumpang rumah Ayah Alang di Wangsa Maju. Apa nak jadi masih belum tahu. Tapi aku sudah berazam untuk pergi ke Creative Enterprise, pejabat majalah Gila-Gila. Aku mahu jadi kartunis. Kalau dapat kerja di sana lebih bagus. Suatu hari semasa mengikuti rombongan sekolah, bas yang ku naiki telah tersesat ke Bangsar Utama dan aku ternampak pejabat Gila-Gila. Sejak haritu aku berazam aku akan ke sana. Kat mana Bangsar aku tak tahu tapi satu-satunya yang boleh aku jadikan tangkal, ia tak jauh dari Muzium Negara. Alah..zaman bas mini 50 sen bukan susah. Masa tu bawa RM5 dah boleh makan minum dan selamat tambang pergi balik. Tak payah bawa dompet, cukup bawa kad pengenalan lama yang liat tu di poket belakang.

Sampai di muka pintu pejabat Gila-Gila tingkat bawah (opis baru di Bangsar Utama ni, sebelum itu di Jalan Pantai Baru) dada aku suspen. Nak naik atau tidak. Nak masuk atau tidak. Perangai malu orang kampung masih tebal. Dari pintu itu tiba-tiba keluar kartunis Roslim, Kulat dan Not. Nak pergi makan barangkali. Aku berpaling pura-pura tak nampak . Mereka tak pedulikan aku pun. Seorang lelaki menegur aku, "Adik nak hantar kartun? Jom naik?". Aku membuntutinya. Dia memperkenalkan dirinya kartunis Nasa, penyumbang ruangan Senyum Skot (ruangan kartun untuk askar-askar atau polis). Sewaktu mendaki tangga berselisih dengan kartunis Roy dan CikLi . Aku kagum.
Naik ke tingkat 4 menuju bilik Rejabhad, Aku nampak Fatah. Dia mengangkat kening kepadaku. Zunar serius tak menghiraukan sesiapa. Aku juga nampak Gedek dan Azman Yusof.

Pak Jab bersalam dengan Nasa dan aku. Aku hanya diam mendengar mereka berbual.
"Dari mana?" tanya Pak Jab kepada aku.
"Pahang!" kataku.
"Pahang? Datang sini seorang?" Dia pantas mengambil kamera dari laci mejanya. Kebetulan Boy PJ ada di dalam biliknya dan dia menyuruh Boy PJ mengambil gambar aku dan dia. Kemudian dia mengambil gambar aku dan Boy PJ. Kedua-dua gambar itu amat lemah komposisi sudutnya. (Seminggu kemudiannya apabila aku datang, arwah Pak Jab menunjukkan gambar itu kepadaku sambil ketawa mengatakan dirinya dan Boy tak layak jadi kameraman).

"Sebenarnya dia ni kartunis juga!" Nasa memberitahu Pak Jab. Aku ada beritahu Naza di luar tadi yang aku pun kartunis tapi malu nak mengaku dengan Pak Jab. Aku pun memberitahu karyaku ada tersiar dalam ruangan Senyum Pelajar. Pantas juga Pak Jab mencari Gila-Gila isu tersebut dan sewaktu melihat kartunku dia berkata (selalunya dengan bahasa standardnya) "Rupa-rupanya anda seorang kartunis."

Pak Jab ada sebuah buku panduan melukis kartun yang dibikinnya sendiri dan dijual dengan harga RM10.
"Tapi, oleh kerana anda masih belum bekerja saya tidak mahu mengambil duit anda. Anda pinjam saja buku ini dan pulangkanlah nanti,". Aku membawa pulang dan memang aku pulangkannya sebulan kemudian. langkah aku baik hari tu kebetulan Fauziah Latiff datang untuk interbiu majalah Humor. Kartunis Long memperkenalkan kepada kami

"Amboi! Anda beruntung hari ni, dapat salam dengan Fauziah Latiff!' kata Pak Jab kepada aku.
Sejak itu aku selalu datang ke bilik Pak Jab belajar.
"kalau saya boss, saya ambil anda bekerja dulu sebagai peon di sini sambil tu boleh belajar melukis. Tapi saya bukan boss!' kata arwah.

Aku keluar dari pejabat tersebut dengan penuh keazaman. Melihat pelukis dan pengamen di Central Market menambah lagi semangatku.

Tak sedar 20 tahun sudah berlalu dan hari ini aku rasa seperti baru hendak bermula. Ke mana aku selama 20 tahun ini, aku tak pasti. Yang seronok, ramai dari mereka dah jadi kawan aku.

Hidup ini hanyalah suatu lukisan
Yang dilukiskan oleh Maha Pencipta

Wednesday, January 13, 2010

Di bawah atap rumbia berteman pelita

"Berenti.."kata Tok. Aku menurut. Surah An-Nur yang sedang aku baca terpampang di atas rehal. Bulu landak yang dijadikan penunjuk huruf ku goyang-goyang.

"Sambung semula" arah Tok. Aku menyambung bacaan.

"Berenti" katanya lagi. Aku berhenti dan berasa pelik. Apa kena Tok ni?

"Sekarang kamu diam dan mintak Quran ni bacakan surahnya sendiri!" kata Tok. Aku yang baru akil baligh ketika itu ternganga.

"Tak boleh Tok!" kataku.

"Jadi di mana letaknya kesucian ayat-ayat Quran itu tadi?" tanya Tok. Aku menggaru buku lali.

"Pada diri kamu. Dari suara kamu yang ghaib itulah sucinya. Suara yang tiada rupa itulah Al Quran yang takkan hangus jika dibakar dan selagi ayat2 itu ada di dada penghafalnya, Quran takkan pupus."

Aku tak faham.

"Cuba kamu ambik api dan bakar Quran ni. Terbakar tak?" tanya Tok.

"Tentulah Tok." Aku pasti tentang itu.

"Kitab ni hanya perantara" kata Tok. "Segala-galanya ada pada kamu, mengapa tidak kamu telek?". "Wafi''anfusikum afala tufsiruun!". "Cuba kamu mengucap dua kalimah Syahadah!"

Aku menurut dengan lancar. "Asyhadu an La ilaha illallah, wa asyhadu anna muhammadarrasulullah!"

"Antara syahadah Tauhid dan syahadah Rasul itu tidak boleh putus kerana Allah dan Muhammad tiada bercerai lekang! Ia disatukan dengan "nafs" (diri) dan nafas. Asyhadu an lailaha illaHUwa asyhadu anna muhammadurrasulullah. Hu itu adalah nafas yang suci dan di antaranya tersimpul dua kalimah tadi."

Aku ternganga.

"Cukup sampai situ dulu!" pesan Tok.

Tuesday, January 12, 2010

Dialog Allah milik siapa suatu kemenangan.

Aku pergi menyaksikan forum tentang isu Allah malam semalam di Dewan Perhimpunan Cina Selangor &KL malam semalam
Blog ummuasiah ada menceritakan semua ini.

Berbagai hujah dilontarkan oleh semua ahli panel termasuk budayawan Eddin Khoo (aku dah mula meminatinya). Pro dan kontra. Masing-masing mempertahankan hujah-hujah. Sama ada anda setuju atau tidak Allah dikongsi adalah suatu perkara lain. Aku sendiri berpendirian Allah itu milik semua manusia..ops..semua manusia adalah milik Allah. Jadi beberapa hujah dari panelis yang tak sehaluan dengan aku adakalanya agak melucukan dan aku mengharapkan mereka dapat meyakinkan aku dengan hujah2 sokongan mereka supaya aku boleh menerima tetapi aku hampa. Seperti kata isteriku, Sham "Tolonglah berikan hujah yang aku di bawah ini tak tahu, semuanya sudah aku fikirkan."
Panelis yang menentang penggunaan nama Allah asyik menyatakan kerisauan tentang kemungkinan umat Islam akan keliru dan merasa terancam dengan dakyah Kristian tanpa mahu mengambil kesempatan bahawa kesepakatan menggunakan nama yang sama ini sepatutnya menjadi satu kelebihan untuk kita terus berdakwah dengan lebih mudah.

Dengan khalayak yang terdiri dari berbagai kaum dan agama malam tadi, sedar atau tidak 'dakwah' telah berlaku. Percanggahan pendapat ini adalah tanda manisnya ilmu dan luasnya ilmu Allah itu sehingga boleh dicungkil dari berbagai2 sudut. Secara tidak langsung, penonton bukan Islam malam tadi dapat melihat bahawa konsep syura' atau kebebasan bersuara dengan aman dapat memberikan manfaat kepada semua ummah.

Hujah panelis yang menentang penggunaan nama Allah oleh agama lain dapat menunjukkan bahawa betapa umat Islam begitu sayang akan Tuhannya dan betapa mereka tidak mahu Allah yang Esa itu diganggu gugat. Sementara yang setuju dengan nama Allah digunakan pula menunjukkan bahawa Islam itu ada toleransi dan bijak strateginya dalam berdakwah. Aku malas nak hujah banyak2 tetapi malam tadi adalah suatu permulaan yang baik untuk terus kita menyuburkan ilmu. Dakwah sedang berjalan. Teruskan. Subur dan murnikan nawaitu bahawa akhirnya biarlah segalanya berkesudahan dengan yang baik.

Tidak salah jika kita bersetuju untuk tidak bersetuju asalkan berlapang dada tidak disertai dengan nafsu untuk menang. Berdebat sesama Islam sehingga tegang urat leher adalah suatu kerugian.
Teruskan bergerak.
Cuma kalau khianat bukanlah Islam,
kalau aniaya bukanlah Islam
kalau zalim bukanlah Islam

kerana Islam itu "sejahtera" ...

Sunday, January 10, 2010

gelisah ini siapa yang bikin?


"Teksi bang?" kata pemandu teksi itu sewaktu aku keluar dari stesen komuter pagi tadi. Aku baru pulang dari Penang.

"Ya!" Aku bertanya berapa tambang ke rumahku dan dia menjawab "RM15".
"Ah! Saya ada RM12 saja" kata aku.
"Takpe bang! Rezeki awal2 pagi ni tak boleh tolak"

Dia memandu kereta sewanya.

" Saya tak boleh tolak. Susah bang! Permit tak dapat. Padahal ramai pemandu teksi macam saya ni Melayu. Mengapa kerajaan tak tolong orang Melayu macam saya?"

Aku selidiki mamat ni dan ternyata dia bukanlah penyokong mana-mana parti. Dia hanya mengeluh pasal dirinya. Warga yang terjepit.

"Sejak bila kerajaan tolong Melayu?" kata aku. "Bukankah banyak permit teksi dibagi pada seorang dua kroni mereka saja? "Kalau dia nak tolong Melayu, bagilah pada beratus pemandu teksi Melayu, maka akan lahirlah beratus Melayu yang berjaya. Tapi seorang kroni dia saja yang kaya!" kata aku. Aku bab Melayu-melayu ni maleh nak layan sangat.

"Ni barang naik lagi ni. Gula naik. Tak lama lagi minyak naik pulak! Belanja sekolah anak, yuran dan bas makin naik" keluh dia.

"Bila gula naik, profesor kangkung kata takpe, gula tak baik untuk kesihatan. Kita tak perlu gula banyak Memanglah....tapi peniaga kuih perlukan gula untuk buat kuih." kata aku.

"Yalah! Yang jual kuih kecil2an pun ramai Melayu!" kata dia lagi. Melayu lagi.

Aku menambah,"Kacang, ikan bilis untuk nasi lemak pun mahal tapi peniaga nasi lemak tak boleh jual nasi lemak mahal nanti orang marah. Terpaksa jual murah. Margin untung jadi kecik. Penat saja badan!"

"Pun ramai Melayu yang jual nasi lemak" katanya lagi.

Sebaik melewati sebuah taman perumahan yang sedang dalam pembinaan dia berkata,"tengok rumah ni..Mesti ramai Cina yang beli. Melayu kalau ada pun 10% jelah. Tak mampu, mahal!"

"takkan kita nak salahkan Cina pulak bila kita tak mampu beli? Mereka mampu sebab mereka berusaha dan saling bantu membantu. Tapi kita? Seratus projek sepatutnya diberikan kepada seratus orang dan seratus orang akan berjaya tetapi bangsat di atas hanya bagi kepada seorang . Seorang itulah yang jadi sangat melampau kayanya dan langsung tak ingat dengan saudaranya." aku membebel.

"Okey dah sampai! RM12 sudahlah". Aku membayar.

"Bang!" kataku "Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan. Dia menjelir lidah.

Saturday, January 9, 2010

sumpah seranah untukmu!

kepada mereka yang cuba menimbulkan ketegangan, membakar gereja atau apa2 yang jelas BERTENTANGAN dengan kebenaran dan kehalusan Islam,

"Celakalah Anda!"

Thursday, January 7, 2010

ke utara..

hari ni Jumaat aku akan ke Perak dan terus ke Penang sampai Ahad dalam siri jelajah Utara. Antara program petang ni ialah mengeteh dengan Ir Nizar.

(foto akan menyusul nanti)

Wednesday, January 6, 2010

Nak ikut Nabi pun salah..


Kepada pencinta nama "Allah untuk orang Islam" masalah ini dah hampir selesai. Keputusan menangguhkannya adalah satu kemenangan kepada mereka yang mana mereka sendiri bikin isu dan nampak seperti merekalah jua penyelamat. Tahniah..

Aku ada satu lagi isu yang perlu kau orang perjuangkan iaitu menarik balik larangan memakai kopiah putih dan jubah di dalam sektor awam atau di jabatan kerajaan.

Kakitangan awam yang beragama Islam tidak dibenarkan memakai serban, kopiah putih dan berjubah. Apa masalahnya? Sikh boleh berturban dan Hindu boleh me"nandek" di dahi tapi kita nak berserban tak boleh.

Jangan bagi aku hujah bodoh mengatakan dalam Islam taklah wajib pakai jubah, kopiah atau serban. Aku tahu. Yahudi pun berjubah berserban. Aku tahu. Jangan cakap kat aku dalam Islam yang penting pakaian itu bersih, sopan dan menutup aurat. Aku bukan mangkuk. Masalahnya Rasulullah saw suka memakai serban dan apa salahnya orang Islam nak ikut fesyen Nabi mereka? Tak bolehkah? Pakai kot dan tali leher di tengah iklim panas terik jadah hapa? Ikut fesyen tu boleh pulak? Hormatilah minat orang lain. Jatuh salah pula dari sudut kod etika berpakaian di jabatan kerajaan. Berdosa dari kacamata kod tu..

Serban yang dipakai Rasulullah saw itu sangat diminati oleh pencinta Muhammad kerana serban berbentuk huruf "miim" iaitu miim awal Muhammad. Dijunjung di kepala nama kekasih Allah itu tanda cinta yang sangat tinggi lagi suci. Yang salah pasai apa?

Pernah dalam satu kursus yang dihadiri kawan2 sejabatan aku ada seorang penceramah profesor kangkung memberi ceramah sebab tak boleh pakai kopiah putih adalah kerana putih cepat kotor. Mujurlah aku tak pergi dan memang sengaja aku ponteng sebab aku tahu kes camni akan ada punya. Kalau aku ada mahu aku suruh dia cadangkan kalau dia mati jenazah dia dikebumikan dengan kain kafan biru, merah atau hitam sebab putih akan cepat kotor. Cakap jelah pakai kopiah putih nampak macam orang Pas.

Kangkung mangkuk kangkung bodoh!

nota: aku tak suka pakai serban. Aku suka pakai snow cap sebab kampung aku ada salji.

Monday, January 4, 2010

Siapa ALLAH?

Sama ada kalian hendak berdebat siapa nak guna nama Allah aku malas nak campur kerana bagi aku sebagai Tuhan sekalian alam (Rabbul alamin) tidak salah sesiapa mengakui akan keesaanNya sebagaimana firmanNya "Tidak aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaku".

Cuma persoalannya di sini bukan perkataan atau nama. Masalahnya bagaimana hendak mengenal "Allah " itu? Setiap insan mempunyai tafsiran yang berbeza sebenarnya tentang "Allah". Maksud aku bukan huruf Alif Lam Lam Ha atau A..L..L..A..H.. itu. (alangkah susahnya kalau orang Melayu tak dibenarkan menulis rumi perkataan Allah kerana huruf roman bukan milik Melayu).

Bagaimanakah yang dikatakan Allah sebenarnya yang kita diberitahu amat "hampir" dengan urat merih itu? Yang sangat diminta akan Dia supaya mengenal kita akan Dia ."Awaluddin makrifatullah" (awal agama mengenal Allah). Kalau ada namanya mestilah ada 'benda'nya. (maujud). Tapi ke mana rindumu hendak kau dakapkan jika kau tak dapat mengenal Allah dari segi dzat, sifat, asma dan afa'alNya?

Apa komen Allah dalam isu perebutan nama ini? Bagaimana hendak kau dengar suara Allah sedangkan Allah itu berkata-kata sifatNya (kalam). Bagaimana kau hendak mendengarnya? Bahasa apa yang Allah gunakan untuk berkata-kata? Bahasa apa?

Bahasa rohani. Yang perlu dicapai untuk mendengar bahasa rohani ialah dengan laduni (apokalips). Menafikan wujud yang lain selainNya dan berjalan ke tingkat-tingkat nafsu dalam usaha membersihkan diri. Proses tajalli, tahalli dan takhalli, agar yang buruk digugurkan, yang bersih dimasukkan dan akhirnya yang bersih itu dipantulkan. Barulah kau dapat merasai kewujudanNya. "Rasa" (Ilmu Roso) amat penting dalam membina keyakinan yang Haq (Haqqulyaqin).

Untuk mereka yang berebutkan nama Allah itu sila "crystal clear"kan "Allah" itu dari jiwa kamu. Allah mana yang kamu sembah? "Asma" sajakah? Huruf-huruf itu sajakah? Jika kau mengaku menyembah Allah, apa bentuk persembahan kamu? Mana 'duduk'nya yang kau sembah itu? Allah di arasy yang Rasulullah SAW jumpa waktu Mikraj ke Sidratul Muntaha itu kah? Atau Allah yang meruntuhkan bukit Tursina sewaktu Musa mahu melihatnya? Allah yang "Barang ke mana kamu menghadap , di situlah wajah Allah" itukah?..
Jelaskan..


Sifat 20 yang kamu amat hafal itu apa sebenarnya? Bukankah hanya makhluk saja yang bersifat? Jadi 20 sifat yang dibahagi 4 iaitu Sifat Nafsiah, Salbiah, Maa'ni dan maknawiah itu apa?
Dari empat dipecah kepada dua iaitu Isti'na dan Istikha (ejaan dan sebutan berlainan) itu apa?

Aku rasa perebutan nama itu tidak membahayakan umat Islam jika mereka mampu menghuraikan semua ini dan merasai wujud dan maujudnya Allah yang disimpulkan dalam dzat, sifat, asma dan afa'alNya.

Ingat, Awaluddin makrifatullah, jika peringkat awal pun masih tak lepas, bagaimana hendak meneruskan yang lain?
Bukankah soalan pertama talqin "Siapa Tuhan kamu?"
Jika menjawab "Allahu Rabbi!" maka Allah yang mana yang kamu rujukkan?

Pejam mata dalam-dalam, tanya hati ..apabila menyebut Allah, apa yang kamu bayangkan dan 'rupa'kan?
(silap "bayang' kau sesat dan syirik)
Wallahua'lam

tulisan aku ini adalah pandangan peribadi aku dan tidak berniat memprovok sesiapa. Aku bertanggungjawab sepenuhnya apa yang aku tuliskan.

Saturday, January 2, 2010

Chow Kit: Warga tikus dan kucing (siri KulupSakah bercakap dengan mak nyah..)

Jalan Chow Kit ,KL 2 Januari 2010.
Tanpa Chow Kit warna KL suram. Realiti kehidupan dipaparkan di sini. Warga kota di sini hidup seperti tikus. Memburu dan diburu. Tewas bererti mampus..


Melewati lorong masuk ke belakang mati, dari jauh aku nampak bangunan tinggi gagah sebuah parti yang telah memerintah Malaysia lebih 50 tahun. Mereka selalu mengagung-agungkan ketuanan. Sesekali mereka laungkan soal moral.
Komponen mereka ada di lorong ini juga. Tampak seperti mereka bersedia berkhidmat membanteras gejala negatif di lorong ini.
Ada juga MCA
Sebuah bangunan yang dipunyai oleh parti yang memperjuangkan Islam. Antara sebab mereka berpindah ke sini dulu adalah satu usaha untuk mendekati warga kota yang hanyut dibawa arus kesesatan. Aku rasa anak-anak muda mereka yang selalu turun menentang konsert-konsert harus juga turun mendepani dan menyantuni jiran-jiran mereka di sini.
Tidak jauh dengan pejabat parti itu ada balai polis, penjaga keamanan yang sangat hampir untuk memastikan keselamatan warga kota terjamin.
Tidak jauh dari bangunan-bangunan tadi, ada jiran mereka. Mereka melambai memanggil aku. Aku datang berbual dan bertanya khabar. Ada berbilang kaum di lorong 1malaysia ini. "Saya dari Indonesia" dan "saya orang Myanmar" kata mereka. Aku memujuk untuk bergambar dan mereka mahu. Sebaik aku mengacukan kamera, mereka menoleh ke arah lain.
Si dia mengajak aku lepak-lepak di biliknya dan bergambar di atas. Aku menolaknya dengan baik. Aku terbayang kaum Luth dan jika jenayah yang dilakukan (tuduh puak2 sana) Anwar kepada Saiful itu besar salahnya, bagaimana dengan yang ini?
Bergambar? Boleh saja bang...
Warga tikus
warga kucing
siapa makan siapa
siapa takut siapa
siapa perangkap siapa?
Aku yang bebal tertanya-tanya siapa Chow Kit dan siapa Haji Taib

Friday, January 1, 2010

Ayuh berdemo lagi!

Malam tahun baru di Dataran Merdeka aku dan Sham duduk di depan Coliseum sambil jual coklat dan roti. Ribuan manusia berpusu-pusu saie, tawaf dan wukuf di Dataran Merdeka menunggu seruan untuk upacara yang selalu diritualkan.
Mercun dan bunga api entah berapa juta ringgit dibakar dan meletup. Hadirin gembira.

Sewaktu mereka pulang melalui jalan TAR, aku berdiri di atas benteng dengan Sham mengucapkan selamat TUHAN baru kepada mereka dan memberitahu bahawa gula naik 20sen pagi karang dan bersiap sedialah dengan kenaikan harga yang lain. Aku dan Sham menjerit tentang yuran sekolah dan asrama yang bakal naik, GST yang tak diketahui oleh rakyat apa ke jadah perlu dibayar dan bermacam2 lagi. Tersengih2lah pak cik dan makcik berseluar slack, berkasut tinggi berkilat yang tumpang sebok di situ. Anak-anak muda aku tak kisahkan.

Ini demonstrasi unjukrasa aku yang pertama tahun 2010.

Demonstrasi dan seninya

Budaya berdemo masih asing bagi kita dari sudut seninya. Walaupun BN pernah mengejek di media mengatakan demonstrasi haram bukan budaya kita, alih-alih mereka semakin kerap pula berdemo. Silakan dan raikanlah perbezaan pendapat. Asalkan perhimpunannya aman- tiada provokasi dan pasukan keselamatan memantau dengan baik. Bukan menjadi babi pengacau. Demo kepala lembu boleh, yang aman tak boleh. Bodoh!

Islam memberi ruang umatnya berdemo dan menunjuk perasaan dengan saluran yang betul dan tertib. Melontar jamrah semasa mengerjakan haji adalah seni demo. Dikatakan ada syaitan di depan, walhal itu hanyalah kiasan. lontaran kekotoran dari batiniahlah yang perlu dilontarkan ke luar, tepat ke arah target. Itu seni.

Kita jarang menggunakan taktik seni. Dengan kostum, sepanduk dan gimik yang menarik akan membantu penyampaian mesej dengan lebih berkesan.



Gambar aku sekeluarga berdemo di atas telah juga digunakan untuk dijadikan bahan kempen pilihanraya yang lalu. Brochure yang dijual kepada calon2 itu (wow! Mereka bikin uang tanpa berbincang dengan aku yang mereka kenal) menggambarkan seolah2 aku sekeluarga sangat susah dengan kenaikan harga tol wal hal aku cuba menyampaikan mesej bahawa kesan kenaikan tol tersebut menyerang seisi rumah, bukan diri kita seorang. Itu mesejnya. Ada sedara mara aku menangis tengok gambar ni sebab dirasakan aku susah sangat (kah kah kah). Mereka tak faham malah ada pula kutipan derma di jalanraya untuk aku. kami menolak. kami mengajak mereka turun sekeluarga. Kalaulah demonstran yang diketuai pemimpin2 atasan turun membawa keluarga aku rasa penangannya lebih hebat. Sebab itu kerajaan heboh berpesan jangan memperalatkan kanak2 dalam demo. Antara yang selalu turun demo satu keluarga ialah Saari Sungib (kini YB) dan Kak Aliza serta anak mereka Muthanna dan Urwah, Dr.Badrulamin dengan Kak Zumrah- si kakak dan si kembar , Dr.Hatta (kini YB), keluarga Abang Bad dan Kak Nashitah dengan anak2 mereka.

Sebab itu ayuh jangan takut turun ke jalan. Lawan tetap lawan.
"u don't have to beat them, just fight them!'

menjadi Man Laksa di Kajang


Kak Nashitah dan famili selaku kameraman jemputan kami (haha) awal2 dah sampai..


bikin show di Kajang, tempat tinggal aku memanglah best. Bak Bon Jovi bikin konsert di New Jersey atau M.Nasir perform di Temasik kalaupun bukan Bret Hart bergusti di Calgary. Segala artis jemputan dah mereka atur dan aku hanya diminta (bukan dibayar) untuk menjadi emcee malam tu, jadi aku tak boleh buat apa. List awal Ito, Dinsman, Meor dan Pyanhabib aku rasa tak cukup kuat. Ito bagi aku dah tak sesuai jadi artis terakhir bikin gempak. Aku tengok pelbagai program yang disusun di Karnival JomHalal anjuran Pas H.Langat itu banyak yang gagal selain faktor hujan dan promosi yang kureengg..aku risau!

Malah Sham pun bungkus gerainya selepas dua hari karnival berlangsung. Orang takdak. Slot kami pula hari Rabu bukan hari minggu. Aku cuba cadangkan Nikbinjidan perform tapi gagal. Nama Hishamuddin Rais dan Rahmat Haron dicadangkan dan aku hubungi mereka. Rahmat sibuk tetapi Isham setuju. Aku masih mahukan Nik dan aku pelan2 aturkan Nik juga dijemput secara senyap2.. Nik setuju tapi mungkin lambat sikit sebab ada program lain di KL bersama Meor.

Persoalannya macamana nak isi slot mula2 sebelum mereka sampai. Apa nak digoreng? Jonos dan Art plan nak melukis. Syafiqsunny nak baca sajak dulu. Orait.

Petang sebelum program sewaktu menunggang motosikal dari Bangsar ke Kajang Zunar forward sms Dinsman tak dapat hadir, ada kenduri anak buah. Dengan lagak stuntman aku jawab sms sambil tunggang motor bagitahu yang Nik akan ganti. "Dia bagus" kata aku melalui tulisan.. Sampai di Cheras aku terdengar henfonku berbunyi sms masuk. Sebagai ahli firasat yang selalu tepat mengagak, aku tahu Zunar membalas "ok".

Selepas maghrib aku ke stadium dan terkejut gerai kami dah dipenuhi dan Oly dah sibuk melukis karikatur untuk pelanggan. Kawan-kawan sedang sibuk.
"Cool!" kataku yang baru dinobatkan cool di tukartiub.blogspot.com (hehe)..

9.30 show bermula. Orang dah ramai. Syafiqsunny tiba2 hilang kejantanannya untuk beraksi. Organ di celah kangkangnya mengecut untuk meyakinkan dia beraksi walaupun kawan2 menggalakkan dan mencabar. Tetapi dia telah menjadi pengurus pentas yang cemerlang!
Mampus! Nik dan Meor tak sampai lagi. Aku bagi henfon kepada Syafiq untuk call Meor. Meor jawab "on d way bro!"

Masalahnya plan B nak kena guna. Aku pun naik dan belasah apa yang patut.


Art (atas) sedang buat lukisan sementara di sebelah kiri pentas Jonos dan Orang2 bikin lukisan berduet .(gambar bawah)
Sementara tu aku dah kelam-kabut di belakang macam Man Laksa..apa nak ku gebang lepas ni? Lalu kami panggil penonton untuk teka siapakah watak yang kartunis lukiskan?
Asiah naik ke pentas (eheh! Asiah cute memang bijak weh!) terus meneka Art lukis seorang wanita rambut tebal sedang shopping itu namanya "Rosmah". Dia menang sebuah majalah.
Lepas tu budak 19 tahun ni namanya Syafiq meneka Jonos dan Orang2 lukis gambar "Najib". Dia bukan saja meneka malah membelasah secukup rasa watak tersebut. Ceh! Aku pulak naik seram dengan keberanian dia.

lepas seksa lagii........

Pyanhabib yang datang awal menyelamatkan keadaan. Beliau terpaksa naik awal dan bacakan puisi smsnya. Orang ramai terhibur.
Sementara tu di belakang pentas Zunar bagitahu aku supaya banyakkan interaksi dengan penonton dan bukan macam berceramah. Aku tahu dan semuanya dah aku plan..Syafiqsunny menyuruh Zunar rileks, semuanya akan okey..saat-saat macam ni selalunya jangan kacau aku, nanti aku pening dan terjejas. Aku panggil Jonos dan minta dia buat demo lukis kartun lepas ni.

Yes! taktik menjadi. Orang ramai seronok tengok Jonos lukis kartun dengan pelbagai memek muka dan Asiah sekali lagi naik (amboiiii) untuk turut sama melukis kartun. Dia dapat hadiah lagi. Tak kasi orang boring, aku pun buat pengumuman "Sesiapa yang ada kehilangan enjit jet, sila ke kaunter urusetia sekarang!'..
Penonton ketawa.
Aku nampak antara yang hadir selain kawan2 di Kajang, jugakawan lama sang presiden persatuan anak minang yang juga pelakon teater dan drama, Ibrahim Akil (Pak Yop Kidal dalam sitcom Restoran Santan Berlada yang popular tahun 80an)
Tak dapat dibendung lagi dan tak tahu nak gebang apa lagi, aku pun panggil Zunar naik berucap. Di bawah Zunar berkata sambil ketawa, "point I semua u dah cakap. I nak cakap apa lagi?"..hahaha!
Tapi Zunar ramai peminat. Orang ramai seronok mendengar labunnya.
Pyanhabib bikin gempak..

Semasa Zunar berucap Nik dan Meor sampai. Pehh! Kentut aku lawas....aku suruh terus sound check, jangan nak isap2 rokok lagi..mereka terus sound check, aiseh mula2 susah jugak nak dapat tapi Zunar yang memang jarang dapat mikrofon terus bercakap dan Syafiqsunny berdoa di sisi aku supaya Allah banyakkan lagi ilham Zunar untuk bercakap. Syukur!
Nik balun "Bersiaplah untuk sebuah revolusi" dan Meor balun "Membenarkan kebodohan". Masa yang senggang ini sempat aku turun ke bawah dan perhatikan gelagat crowd. Aku duduk sebelah Sham dan aku nampak kartunis sibuk menandatangani autograf. Oly berpeluh2 buat karikatur. Aku tengok penonton kagum dan beri respon positif dengan Meor dan Nik. Aku mahu mereka nyanyi lagi last nanti tetapi Zunar tetap mahukan Ito.
Hishamuddin Rais punya ramalan tahun baru bikin aku gelak. Semua yang dia nak belasah, dia belasah. Ada penyokong Pas yang agak berumur sedikit bersungut bengkek apabila Isham membedal pemimpin PR. Biasaklah pak cik. Orang macam kami tak menganut fahaman politik sangat dan tak taksub sangat dengan individu. Yang buat hal kami taruk!

Meor dan Nik yang baru perform terpinga2 bila aku panggil mereka semula naik menyanyi. Apo nak buek..patutnya lu orang balun lagu penutup "Syuhada Memali', "Ke Jalan Lagi" dan "Ikut Suka Aku" dan Nik balun lagu2 panas dia..tapi bukan aku tokey malam tu. Aku hanya Man Laksa!
Performance mereka sekali lagi membuat penonton ternganga. Album mereka menjadi buruan selepas itu.

Zunar bagi idea suruh buat acara lelong lukisan. Oraittt!!!
Tak sangka slot tu menjadikk! hahaha! Semua konco naik ke pentas dan sign atas lukisan tadi.
lukisan Rosmah laku dengan harga RM50 dibeli oleh brader dari Sungai Sekamat dan gambar Najib laris dengan harga RM40 (nasib ko lah Najib) dibeli oleh budak AMBU (Anak Muda Benci Umno).
Aku dah kata Ito kurengg impak! "Angin Pendamai" dan "Apo Nak Dikato" versi dikir barat dinyanyikan dengan baik tapi nampak macam anti klimaks...
ahhhh!! takpelahh!
Cuma memang aku nampak terganggu konsentrasi sebab plan banyak berubah..
budak AMBU beli lukisan Najib (atas) dan brader dari Taman Sekamat dengan lukisan Rosmah
penonton tak berganjak


kartunis sibuk..
terima kasih kepada semua dan pemilik gambar2 ini dari website Pas Dusun Tua dan Ummuasiah.
Patutnya ummuasiah dan family jadi cameraman kami setiap kali program. Syabas!