Sunday, January 17, 2010

aku, cinta dan kun fayakun

"Adakalanya sering ku tertanya-tanya
Mengapa tidak saja ku dilahir di istana.."

Jerit alunan suara serak Adi Jagat ditelan ngauman deru bas mini, kereta-kereta yang lalu di tepi Central Market menggamit aku duduk sampai ke malam.. Aku biasanya akan melepas lelah di sini setelah seharian bekerja sebelum pulang ke rumah. Aku kerja di seksyen 51A, PJ sebagai pomen di bengkel pemasangan trak polis hutan. Jika trak itu masih wujud lagi sekarang, akulah di antara orang yang memotong, mengikir, menggerudi, mengimpal besi dan logam tersebut secara manual sehingga ia menjadi badan trak. Boss dan penyelianya Cina dan semua pomennya kecuali aku berbangsa India. Hinggakan aku sendiri walaupun tak mampu bertutur tetapi boleh faham dan ketawa mendengar mereka berbual dalam bahasa Tamil.
Waktu itu dari PJ ke Bas Stand Klang 5 petang tidaklah sesesak sekarang lebuhraya persekutuan itu. Sempatlah aku menonton pengamen-pengamen menghiburkan warga kota. Menonton pelukis-pelukis memalitkan warna di kanvas sambil mencuri -curi skil mereka. Kemudian melepak di gerai cenderamata Anep, kawanku. Kadang-kadang aku melukis di situ. Pernah suatu hari aku melukis dengan begitu khusyuk dan apabila mengangkat kepala, aku dapati ramai orang mengelilingi melihat aku. Terus aku berhenti melukis dan blah.
Kawan-kawan peniaga amat mesra. Di sebelah kami gerai jamu Mustika Ratu (masih ada lagi hari ini walaupun bertukar pekerja) yang mana Laila, Delvina dan Nila ku anggap seperti kakak-kakak aku. Pernah suatu hari Nila (ibu saudara penyanyi kanak-kanak Andrian) begitu bimbang melihat aku sugul dan pucat.
"Kau ambil dadah ke Lup?" kata Nila sambil menyisir rambut aku dengan jari-jemarinya. Anehnya aku tidak membantah dan tidak pula berasa apa-apa. Setelah didesak berkali-kali aku menjawab yang aku sebenarnya belum makan sejak pagi lagi. Serta-merta dia menghulurkan not lima ringgit dan menyuruhku makanlah apa saja. Beberapa hari kemudian aku cuba membayarnya dan dia menolak. Puas kuunjuk tapi dia enggan malah seakan tersinggung. Mungkin persahabatan lebih bermakna dari uang baginya.

Satu lagi sebab mengapa Central Market sangat melekat di hatiku ialah kerana dia...Jasmine, amoi cina yang bekerja di kedai emas depan Mustika Ratu. Aku mengaku suka kepadanya dan saling kami tenung menenung. Tanpa kata. Mungkin juga kami masih belum faham bahasa mata. Anep mencabar aku mengajak Jasmine menonton konsert.
"Kalau dapat, aku sponsor tiket dan makan untuk date pertama kau!" cabar Anep. Dengan seribu harapan tapi kosong keyakinan aku pergi mendapatkan Jasmine. Kami berbual dalam suasana yang cukup menyenangkan tetapi dia terpaksa menolak dengan baik ajakanku kerana kebetulan konsert tersebut jatuh pada hari Krismas (dia kristian). Kami berbual serba sedikit tentang latar belakang dan percayalah, itulah kali pertama dan terakhir kami berbual. Esok-esoknya kami kembali tenung menenung, tak senyum atau berkata apa. Sesekali sesiapa yang tak tahan ditenung akan berpaling dan kemudian menenung lagi. Apa punya turrr!!

Suatu hari Nila berkata yang hari itu hari terakhir Jasmine bekerja kerana dia akan berhijrah ke Singapura esoknya. Aku ingin berkata sesuatu kepadanya tapi tak mampu. Kami hanya pandang memandang saja. Sehinggalah kedai emas itu ditutup dan dia berjalan pulang bersama kakaknya kami tidak berkata apa-apa. Sesekali dia menoleh. Dan esoknya - sehingga hari ini aku tidak jumpa lagi dengan dia.

Sejak itu aku mula berfikir tentang Kun Fayakun. Kalau Kun itu Tuhan suratkan apakah Fayakun itu dilaksanakan oleh kita? Aku punyai pilihan masa itu untuk bergerak merapati dia tetapi kerana aku tidak mahu maka ia tidak menjadi. Terlalu banyak "mujur" dan "nasib" dalam hidup ini. Jika tidak, mungkin hari ini perjalanan hidup tidak sama lagi. Dan apa yang kita lalui sekarang inilah yang terbaik dari Tuhan untuk kita. Atau apakah "tidak bergeraknya" aku pada masa itu telah disuratkan di dalam "kun" itu sendiri. (Hari ini aku telah faham akan Kun Fayakun dan tidak berhasrat untuk menghurainya namun aku alu-alukan kalian mengomen)

Oh ya! Waktu itu aku dah mula ketagih nikotin dan tar bernama dunhill....

15 comments:

joegrimjow said...

takdir ada 2
yg xley ubah - mati hidup
yg ley ubah - benda yang slalu kite salahkan takdir, miskin, bodoh

pkmhr said...

setuju dgn abg joe.........

Admin said...

lu... : sejarah hidup yang menarik.
cinta.: ada dalam hati.
kun fayakun: dalam...!!

kulupSakah said...

joe,
mati hidup, tak leh ubah? hmmm....
kalau seseorang mati dibunuh, kita anggap saja ia takdir, okey?

ali said...

ini bini baca tak jeles ke dia?
eeeeeee

ujaine alto said...

salam bro..lebih kurang cite zaman gua muda dulu..dok kt bdr tun razak practical kt ss2..ari ari balik keje lepak kt c.m. Layan gak adi jagat & gang basking.. Lapar pekena kt food court roof top..layan bro..

maun said...

Kun kata Allah, pasti Fayakun patuhnya Muhammad, bagai lailahaillah kata Muhammad, Muhammadurasullah kata Allah. Yang bersebab kerana hijab...iman kerana yakinnya, aqal kerana fikirnya, nafsu kerana kebodohannya.....Kalau melepasi semuanya dimana sebab dan musabab..segalanya pujian kepada Allah sekelian alam..tingkat tertinggi perjalanan hamba kehadrat Tuhan dialam tertinggi tercatit dalam ayat kedua Ummul Kitab sebelum yang hadir hanyalah Allah bersifat pemurah dan penyayang yang tidak ada bezanya baik dan buruk segala perbuatan Allah...segalanya baik belaka!!!.
Allah tidak ditanya apa yang Dia buat, manusialah yang ditanya apa yang dia buat....

kulupSakah said...

ya, jawapan abg maun tu barulah naik taraf sikit...ada sapa lagi nak komen?

Sharouk said...

Cinta tanpa kata punya nikmat yang tersendiri. Ingin sekali merasakannya kembali tetapi takut bini kokak aku.

kulupSakah said...

bini aku jeles? haha! well, she really got me now..

uncle gedek said...

Setuju dengan Joegrimjow

ali said...

btul gak tu. Ha HA Ha

Anonymous said...

kulupSakah said...
ya, jawapan abg maun tu barulah naik taraf sikit...ada sapa lagi nak komen?

Tak perlu banyak komen .. Sendiri mau ingat .. jangan ikut terjah melulu

Term Papers said...

Excellent post and wonderful blog, I really like this type of interesting articles keep it up.

Unknown said...

Thanks a lot for sharing. You have done a brilliant job. Your article is truly relevant to my study at this moment, and I am really happy I discovered your website. However, I would like to see more details about this topic. I'm going to keep coming back here.

Term papers