Friday, May 3, 2013

ABU yang mana?


“Geram betul aku dengan si anu itu. Entah kenapa dia sakit hati sangat dengan aku sampai kenaikan pangkat aku pun gagal disebabkan sabotaj daripada dia. Perangai mengalahkan Abu Jahal!” Rongos rakan Paparon sewaktu kami duduk minum-minum di sebuah restoran. Paparon hanya diam. Yang Paparon fikirkan bukan masalah yang dirungutnya itu tetapi entah mengapa tiba-tiba fikiran Paparon terkesan dengan nama Abu Jahal yang disebutnya. ABU ini slogannya memang menjadi fenomena dalam iklim politik tanahair hari ini. Asalkan Bukan Umno atau ‘Anything But Umno’. Dan slogan ABU ini entah mengapa bertingkah dengan nama Abu Jahal yang rakan Paparon rungutkan sebentar tadi. Bertingkah menari dan menjadi satu. Tidak semena-mena watak kenalan yang diceritakan oleh kawan Paparon  tadi tenggelam kerana Paparon lebih tertarik dengan watak Abu Jahal itu dan entah mengapa fikiran  Paparon mula menyelak watak-watak ‘Abu’ di sekeliling Rasulullah S.A.W dahulu. Oh! Bukan juga slogan ABU yang Paparon nyatakan tadi. Dalam sejarah Nabi Muhammad berjuang, watak ‘Abu- Abu’ ini begitu hebat dan menyumbang banyak dalam siri usaha baginda menegakkan Islam tidak kira watak itu jahat atau pun baik. Dan watak-watak itu Paparon rasakan tidak mati malah terus wujud sehingga hari ini.
Paparon teringatkan Abu Lahab, paman Rasulullah sendiri yang cukup-cukup menentang dakwah Rasulullah. Digambarkan perwatakannya cukup ganas malah gelaran Abu Lahab itu sendiri membawa maksud api kemarahan yang cukup marak. Kebenciannya terhadap gerakan Rasulullah sangat kuat dan sentiasa cuba menzalimi Baginda S.A.W dengan seribu satu perancangan kotor. Watak Abu Lahab ini diabadikan oleh Allah di dalam Al Quran sebagai salah satu surah dan di dalam surah itu Allah mencerca Abu Lahab.
Seorang lagi paman Rasulullah, Abu Talib berbeza pula wataknya. Abu Talib pemimpin dan pelindung Bani Hasyim, sangat dihormati sehingga kaumnya segan untuk mengganggu Rasulullah dek kerana keperibadian Abu Talib itu sendiri. Abu Talib begitu menyayangi Rasulullah, melindunginya dan mengakui kebenaran apa yang disampaikan Muhammad S.A.W tetapi sehingga ke akhir hayat, Abu Talib tetap kekal dengan pegangannya dan tidak memeluk Islam. Puas Rasulullah memujuknya di perbaringan saat nyawa di hujung hidung tetapi sia-sia.
Ingatan Paparon beralih kepada pemimpin utama Bani Quraisy dari suku Bani Abdu Syams iaitu Abu Sufyan bin Harb. Awalnya beliau sangat menentang Rasulullah dan sentiasa berusaha untuk menggagalkan usaha Rasulullah akan tetapi apabila hidayah tiba, Abu Sufyan memeluk Islam dan benar-benar menjadi pejuang membela Islam. Keberanian dan sungguh-sungguh Abu Sufyan membela Islam begitu terbukti sehinggakan beliau kehilangan matanya di dalam Pertempuran Yarmuk dan beliau akhirnya dikenang sebagai salah seorang panglima Islam di dalam sejarah zaman berzaman.
Abu Jandal bin Suhail, di dalam kedudukannya yang masih baharu memeluk Islam terpaksa kembali semula ke Mekah, ke pangkuan kafir kerana kehendak perjanjian Hudaibiyyah yang dimeterai antara Baginda S.A.W dengan Suhail bapa kepada Abu Jandal sendiri. Abu Jandal telah disiksa dengan hebat, diuji keimanannya dan ketika berjaya melepaskan diri dari siksaan kaum bapanya, Rasulullah dan sahabat dengan sayu dan hiba meminta Abu Jandal kembali ke Mekah seperti dijanjikan walaupun Abu Jandal merayu untuk bersama Islam. Pengorbanan Abu Jandal agak berbeza kerana terpaksa murtad. Adakah watak Abu Jandal pada hari ini? Terpaksa murtad demi keharmonian sebuah perhubungan kekeluargaan?
Ahh! Apa yang hendak dikhabarkan lagi terhadap Abu Bakr As Siddiq, sahabat karib Rasulullah yang telah bersama ke mana sahaja tidak kira ketika zaman susah apatah lagi pada waktu senang, sama-sama bersembunyi diburu musuh bahkan bukti keakraban beliau terhadap Rasulullah dikuatkan dengan menyerahkan puterinya Aisyah untuk diperisterikan Rasulullah. Apa sahaja yang dikatakan Rasulullah adalah benar belaka tanpa ragu-ragu walaupun ketika terjadinya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang sangat mencabar akal waras manusiawi.
Selembar demi selembar nama-nama sahabat yang lain seperti Abu Dzar, Abu Hurairah dan lain-lain mengetuk jemala. Paparon cuba mencari hubung kait watak-watak ini dengan diri Paparon dan watak-watak persekitaran Paparon yang hidup pada hari ini. Bahkan ketika kawan Paparon merungut di awal cerita Paparon ini tadi Paparon tidak pasti di manakah kedudukan diri Paparon . ‘Abu’ yang manakah Paparon pada hari ini di dalam kehidupan yang serba mencabar dan menuntut pendirian yang tegap? Abu Sufyankah  atau Abu Talib? Atau terawang-awang tidak menjadi apa pun, hanya seperti abu terbakar (bukan Abu Bakr) yang ringan ditiup taufan puting beliung? Kalian juga bagaimana? Abu (bukan slogan ABU) yang mana?

Paparon - tulisan asalnya adalah untuk dimuatkan di dalam kolum yang diberikan kepada Paparon di dalam majalah Milenia pada Januari 2013 lalu tapi majalah tu tutup kedai.....

1 comment:

pesfreak said...

abu jandal = ezam? lol