Sunday, May 5, 2013

Surat dari kawan kepada aku

Kawan,
Usah bersedih. Kalah menang bukan urusan. Tugas kita lawan. Berbanggalah kau tidak terpedaya dengan silau emas palsu yang dihampar depan mata. Kehebatan kau itu aku kagum. Doakan agar aku tetap bersamamu. Aku ini kecil.

Kawan,
Rasulullah ditawarkan hebat kemewahan harta dunia oleh musuh asalkan baginda berhenti melawan tetapi baginda tolak. Kita kecil sahaja tetapi kecil kita biarlah sekecil burung yang tidak dapat mengangkat setimba air namun menggunakan paruh mengumpul air untuk membantu memadamkan api yang cuba membakar Ibrahim alaihissalam.

Kawan,
Kita insan lemah. Tak terdaya kita menentang jentera. Tetapi kita ada senjata. Kita ada maruah. Sehina-hina akhlak ialah apabila kita sengaja membutakan mata hati untuk melihat dusta depan mata.

Kawan,
Sekecil-kecil kita, berdoalah agar kita terus bertahan. Lawanlah lagi biarpun pedih dan tersisih.

Kawan,
Ajarkan anak-anak kita agar bermaruah. Biar susah, biar terpisah, kita ada maruah.
Moga kita terus tabah. Sesungguhnya di hati ini amat menghormati pendirian kamu.

Jangan silap. Ini bukan bunyi lemah. Ini bukan bunyi menyerah. Ini isyarat untuk terus menggempur, ini isyarat terus bangun. Ini amaran untuk lawan dan kawan. Kita sentiasa terus memasang mata.

Kita tidak akan membiarkan tanah ini seinci pun dipijak kezaliman. Kita terus lawan.

Selagi ada semangat, nyawa dalam diri. Kita lawan!





Dari aku,
Kawanmu yang sama kecil sama sama melawan

No comments: