Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu rakyat meneruskan agenda memperkukuhkan semula ikatan perpaduan yang tercalar selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Baginda bimbang melihat senario ketaksuban pemimpin politik tertentu terhadap parti sehingga sanggup mengabaikan kepentingan memelihara keharmonian kaum.
"Bersatu padulah antara kaum ... Melayu sama Melayu pun bergaduh," titah baginda pada majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-70 di Bukit Ketri dekat Kangar semalam.
Menurut baginda, PRU13 sudah berlalu dan tercatat dalam sejarah, sedangkan kerajaan yang terbentuk hasil proses demokrasi perlu disokong dan agenda memperkukuhkan perpaduan harus dipertahan.
Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap rakyat menyokong kerajaan yang dipilih bagi meneruskan misi dan visi negara dan negeri termasuk Wawasan 2020 dan Perlis Maju 2015.

"Tanpa sokongan 100 peratus kepada kerajaan, ia menyukarkan pencapaian wawasan negara dan negeri," titah baginda.
Pada majlis itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid menyampaikan bantuan berjumlah lebih RM1 juta kepada 33 penerima termasuk bakal usahawan, golongan miskin dan anak-anak yatim.
Sementara itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Bakri Ibni, 59, dikurniakan Pingat Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan menerima sumbangan wang tunai RM2,000 serta sijil yang disampaikan Raja Perlis.
Tokoh bola sepak itu dipilih kerana jasa besar beliau terhadap pembangunan bola sepak negara dan negeri Perlis.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

- Bernama

tuanku, cina sama cina pun bergaduh, yahudi sesama dia pun bertekak...
tuanku, Melayu kaya rembat tanah Melayu miskin macamana?
Melayu fitnah Melayu macamana?

Paparon - melayu sama melayu gaduh, bangla dapat ic