Tuesday, March 10, 2009

Melayu dan perpaduan Malaysia!

Rakyat Malaysia kalau tidak diganggu oleh ahli politik dan media kawalan mereka sudah lama bersatu padu. Kerana mempertahankan kuasa dan status quo, spin dijalankan oleh media untuk menggelisahkan rakyat dengan kacau bilau yang dimomok-momokkan. Hakikatnya solidariti sudah lama terjalin. Peristiwa 13 Mei wujud kerana mainan politik. Prasangka wujud kerana adu domba politik. Hari ini orang Melayu sekali lagi dihambat dengan 'racun' kacau bilau. Tidak duduk dalam parti orang Melayu dianggap pencetus kekacauan dan tidak sayangkan tanah Melayu.

Orang Melayu tunjang perpaduan. Orang Melayu terkenal dengan semangat setiakawan, mesra dan mudah menerima. Di kampung Melayu orang Cina boleh membuka kedai runcit, Lebai dan pak cik tidak canggung minum kopi di warung Ah Seng atau gunting rambut dengan Muniandy. Menjual botol kosong dengan "india jual botol" dan berhutang kain dengan Pakistan mahupun membeli roti dengan Benggali sudah menjadi budaya. Budaya memberi ang pau pada hari raya adalah saduran dari budaya Cina. Istilah "kow tim", "ong", ngam" dah jadi istilah Malaysia, panggilan "macha" sudah jadi panggilan kepada kawan2 walaupun ia bermakna "ipar". Aku pernah mendengar nyonya tua dan aci menimang anak kecil mereka dan memanggil mereka "sayang". Ini realiti. Seperti teh tarik, roti canai, nasi lemak dan yong tau fu.

Pasukan bolasepak yang gemilang di era 70an adalah benchmark kepada simbol perpaduan. Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Arumugam sama2 berganding bahu mengangkat nama Malaysia yang tercinta. Kalau wujud istilah "orang asing" maka hampir separuh ahli pasukan akan hilang. Nicol David bukankah mewakili Malaysia?

80an sebenarnya lebih terbuka perpaduan dan muhibbah itu dalam industri muzik tanahair apabila Alleycats, Ben Nathan, Moses dan Chris Vadham, Roy dan Francisca, Kenny Remy dan Martin diangkat oleh orang Melayu sebagai artis kesayangan mereka sebagaimana DJ Dave menempa nama pada 70an.

Pemimpin politik dan penguasa seharusnya mengubah sikap. Anda pemimpin dan andalah bertanggungjawab mempertahankan kedamaian ini, bukan menggadaikannya demi mempertahankan kuasa. Pemimpin gelojoh seperti Sultan Mahmud yang membunuh isteri Laksamana Bentan, tali barut seperti Mendeliarlah yang merosakkan negara sehingga tergadai semuanya. Merekalah yang membunuh potensi negara dan menghapuskan insan-insan genius seperti Hang Tuah, Hang Nadim, Hang Jebat akibat diperdaya oleh gunting dalam lipatan yang menyedari kebodohan pemimpin.

Mari kita bermimpi kalaupun tak berdoa agar Mahathir dan Anwar berdamai, Pak Lah tak tidur dan Sultan memegang amanah Allah dalam menegakkan kebenaran dan keadilan langsung membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang diberkati Malikul Mulk!

2 comments:

Anonymous said...

There is nothing wrong with UMNO. Yang salah, Pemimpin Pemimpin mereka.

kulupSakah said...

itu yg bahaya, kereta tak salah bila drebar sesat, tapi seisi di dalamnya yg mengangkat drebar sesat itu dlm bahaya kesesatan.dan jika takut hendak menegur drebar itu kerana takut dimarah, keluarlah! jangan kerana sayangkan kereta tapi kereta menuju gaung